Namun bagi golongan muda memiliki rumah sendiri agar sukar pada hari ini memandangkan harga yang ditawarkan terlalu tinggi dan tidak sepadan dengan pendapatan.

Perkara itu diakui oleh Muhammad Zulhusni Abu Bakar, 28, yang masih belum mampu merealisasikan impiannya untuk memiliki rumah sendiri.

Menurutnya, sukar untuk mencari rumah di ibu kota yang bersesuaian dengan pendapatannya terutamanya kediaman baharu.

“Komitmen bulanan saya boleh dikatakan agak tinggi dan rasanya sukar untuk pihak bank meluluskan pinjaman saya jika harga rumah yang ingin dibeli begitu mahal,” jelasnya yang bekerja di sebuah syarikat swasta.

Sejak mendirikan rumah tangga setahun lalu, Zulhusni berhasrat untuk memiliki rumah sendiri pada tahun ini.

Kini, dia menyewa rumah di Subang Bestari, Selangor pada harga RM800 sebulan.

“Harapan saya pada tahun ini untuk mendapatkan kediaman sendiri dan kami telah mula mencari rumah yang bersesuaian untuk dibeli.

“Daripada pengiraan hasil gabungan jumlah pendapatan bulanan kami, bank boleh memberi pinjaman perumahan yang berharga RM300,000,” jelasnya.

Dalam pada itu, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setakat suku pertama tahun 2017, terdapat 130,000 unit kediaman tidak terjual dan kebanyakannya berharga RM250,000 ke atas.

Dalam satu laporan akhbar baru-baru ini, kebanyakan rakyat di negara ini hanya mampu membeli rumah di bawah harga berkenaan.

Sementara itu, Perunding Hartanah dan Ketua Pegawai Eksekutif ExaStrata Solution Sdn. Bhd., Adzman Shah Mohd. Ariffin berkata, pasaran perumahan untuk tahun 2017 penuh dengan cabaran dari segi jualan dan ia dijangka berterusan pada tahun ini.

Menurutnya, terdapat tiga segmen pasaran perumahan baharu iaitu mampu milik, sederhana dan mewah.

“Bagi segmen mampu milik, harga rumah di bawah RM400,000, manakala sederhana sekitar RM500,000 hingga RM800,00 dan mewah harganya lebih RM1 juta.

“Setiap segmen rumah ada permintaan yang tersendiri. Penjualannya dikatakan sedikit lembap mungkin kerana faktor harga dan lokasi,” jelasnya ketika sesi wawancara bersama Kosmo! baru-baru ini.

Hakikatnya, harga rumah baharu yang dilancarkan dan dibina kini melambung tinggi berikutan harga tanah yang mahal terutamanya di kawasan strategik.

Kos

Pada masa yang sama, kos pembinaan sesebuah rumah juga semakin meningkat dan kesemua itu dipindahkan kepada pembeli dan ia tidak boleh dielakkan.

“Disebabkan itu, jika kita lihat banyak pemaju memberi insentif tertentu kepada pembeli bagi membolehkan rumah yang dibina dapat dijual.

“Sesetengah projek perumahan pula ada yang disiapkan serentak sedangkan ia masih belum dijual sepenuhnya yang menyumbang kepada kelembapan penjualan rumah.

Dalam pada itu, Adzman Shah menjelaskan, kini semakin ramai pengguna beralih kepada pasaran sekunder (subsale). Subsale atau rumah terpakai ialah rumah yang berumur antara 10 hingga 15 tahun dan ingin dijual oleh pemilik asalnya.

Pada tahun 2017, pasaran rumah terpakai menunjukkan peningkatan berbanding rumah yang baru dibina atau dilancarkan.

“Kebiasaannya harga rumah terpakai ini lebih rendah dan pembeli masih mampu berunding dengan penjual. Pembeli boleh terus masuk berbanding kediaman baharu.

“Berbeza dengan rumah baharu, pembeli terpaksa menunggu dalam tempoh beberapa tahun sebelum boleh menduduki rumah baharu.

Pilihan

“Rumah-rumah terpakai menjadi pilihan pembeli kerana lokasinya yang strategik dan lengkap dengan segala kemudahan. Boleh dikatakan setiap ejen hartanah mampu menjual rumah terpakai ini,” jelasnya.

Pada tahun 2018, dia menjangkakan rumah terpakai ini akan menjadi pilihan kebanyakan pembeli rumah pertama.

Dalam pada itu, Adzman Shah menjelaskan, rumah terpakai sering menjadi pilihan pelabur kerana mudah bagi mereka untuk menyewakannya.

Berbanding kediaman baharu, lokasinya agak jauh dari bandar dan sukar disewa. Atas sebab itu, ia kurang mendapat sambutan.

Rumah terpakai pula, kebanyakannya dibina tidak jauh dari bandar dan lengkap dengan pelbagai kemudahan serta memudahkan pelabur mencari penyewa.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang hartanah, Adzman Shah menjelaskan, kebanyakan pembeli rumah adalah mereka yang berusia awal 30-an.

“Pada peringkat umur ini mereka sudah stabil dari segi pendapatan, pekerjaan dan sebagainya. Mereka yang sudah berumah tangga boleh membuat gabungan pinjaman suami isteri bagi membeli rumah,” jelasnya.

Dalam pada itu Adzman Shah menjelaskan, ramai dalam kalangan generasi muda yang berkemampuan membeli rumah, tetapi mereka kurang pendedahan atau tidak mempunyai ilmu dalam bidang tersebut.

Antara persediaan yang perlu dibuat sebelum membeli rumah ialah perlu tahu kemampuan diri.

“Perkara paling penting ialah memohon pembiayaan pinjaman daripada pihak bank. Ramai yang terpaksa membatalkan hasrat untuk membeli rumah kerana pinjaman daripada pihak bank tidak diluluskan.

“Pihak bank sangat teliti dan kadang-kadang kita rasa kita layak untuk mendapatkan pinjaman tetapi sebaliknya gagal. Salah satu faktor yang menyebabkan pinjaman perumahan sukar untuk diluluskan ialah pemilikan kad kredit yang banyak.

“Bagi satu kad kredit pihak bank akan menganggap seseorang memiliki komitmen bulanan sebanyak RM300,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pembeli supaya mendapatkan pandangan daripada mereka yang arif dalam bidang itu bagi memudahkan proses pembelian rumah.

Dalam pada itu, Penyelidik Institut Pengurusan Harta dan Kewangan Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali menjelaskan, untuk mendapatkan pinjaman kewangan daripada pihak bank bagi membeli rumah boleh dikatakan agak ketat.

Menurutnya, untuk meminimumkan risiko, pihak bank akan melihat kepada lima C sebelum meluluskan pinjaman.

“Lima C ini merangkumi Credit Report, Character, Capasity, Capital dan Consistency. Sebagai contoh, untuk Consistency pihak bank akan merujuk rekod pembayaran pinjaman yang pernah dibuat oleh peminjam.

Pembiayaan

“Rekod itu akan menentukan sama ada peminjam mampu membayar pinjaman secara berdisplin atau sebaliknya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Nuradli Ridzwan menjelaskan, bagi individu yang ingin membeli rumah pertama untuk diduduki sebaiknya mereka perlu memendekkan tempoh pembiayaan kewangan.

“Jika tempoh pembayaran pembiayaan dipendekkan peminjam dapat mengurangkan kadar pinjaman yang perlu dibayar.

“Namun bagi mereka yang membeli rumah untuk tujuan pelaburan sebaiknya tempoh pembiayaan itu biarlah panjang. Ini kerana bayaran bulanan mereka akan dibayar oleh penyewa dan untuk tempoh yang panjang, bayaran bulanan pinjaman pula lebih kecil,” jelasnya.