Namun, sejak dua bulan lalu, terdapat satu lagi tarikan yang membuatkan orang ramai berasak-asak untuk singgah ke kedai yang terletak di Kampung Batu Nunggul, Rembau di Negeri Sembilan itu.

Semuanya gara-gara keterujaan mereka untuk merasai pengalaman berada di dalam suasana beriklim sejuk.

Rumah salji Rembau kini menjadi antara daya tarikan terbaharu buat pengunjung untuk merasai pengalaman bermain salji ala kampung.

Jelas tergambar wajah ceria kanak-kanak bersama ibu bapa masing-masing yang sanggup beratur menunggu giliran untuk masuk ke dalam sebuah kontena yang diubah suai menjadi rumah salji.

Salah seorang pengunjung, Mohd. Muttaqin Mulup, 29, yang ditemui kru Panorama berkata, kewujudan rumah salji di Rembau itu sememangnya unik dan menarik.

“Saya memang tinggal di Rembau dan mendapat tahu tentang rumah salji ini selepas ia tular di media sosial.

“Kewujudan rumah salji ini mampu menjadi daya tarikan untuk keluarga datang beriadah bersama anak-anak, sekali gus mempromosikan lagi daerah Rembau,” kata bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Idea mengarut

Menurut Mohd. Muttaqin lagi, walaupun keluasannya terhad, dia dapat melihat pengunjung yang datang ke situ terutamanya kanak-kanak kelihatan cukup teruja dan gembira.

Perkara sama turut dikongsi oleh seorang lagi pengunjung, Zuraidah Sethu Ghani, 53, yang datang dari Batu Kikir, Kuala Pilah semata-mata untuk membawa anak-anaknya bermain di rumah salji itu.

“Keadaannya mungkin tidak setanding dengan rumah salji yang ada di I-City, Shah Alam, tetapi ia satu permulaan baik dan boleh dikembangkan,” kata Zuraidah.

Mungkin tiada siapa pernah membayangkan idea untuk membuka sebuah rumah salji di kawasan kampung, namun bagi pengusahanya, Mohd. Khairul Azman Mustakim, 31, tiada apa yang mustahil jika seseorang itu kreatif dan berusaha mencari peluang yang ada.

Menurut Mohd. Khairul, idea untuk membuka Rumah Salji Rembau telah dirancang sejak tiga tahun lalu memandangkan dia turut mengusahakan produk makanan sejuk beku.

Dek kerana impian untuk membina rumah salji itu, ramai yang mempersoalkan idea tersebut, malah tidak kurang juga ada segelintir kenalan mengatakan bahawa ia satu idea mengarut.

Namun, dia menganggap segala kritikan yang diterima itu hanya sekadar usikan dan tidak terlalu ambil pusing tentang perkara tersebut.

Dengan berbekalkan modal sebanyak RM25,000, bapa kepada seorang cahaya mata itu memulakan langkah dengan membeli peralatan dan barangan terpakai dari sebuah kilang.

“Saya membuka rumah salji ini bukan sekadar semberonoh tetapi telah membuat kajian terlebih dahulu sebelum ia betul-betul direalisasikan pada bulan puasa lalu,” ujarnya.

-4 darjah Celsius

Meskipun mengakui belum pernah merasai kesejukan salji sebenar, melalui pengamatan dan pengalamannya berkunjung ke rumah salji yang ada di Malaysia, Mohd. Khairul akhirnya dapat membuka sebuah rumah salji yang pada asalnya dibina untuk menyimpan stok daging sejuk beku.

Dengan keluasan yang terhad iaitu sekitar 20 meter persegi, rumah salji yang dibina itu mungkin tidak setanding dengan kecanggihan serta keluasan rumah salji yang ada di lokasi lain.

Namun, kewujudan rumah salji itu sekurang-kurangnya dapat memberi pengalaman buat segelintir pengunjung yang mungkin tidak mampu pergi ke luar negara, mahupun membayar tiket mahal untuk pergi ke rumah salji yang ada di negara ini.

“Salji yang ada tidaklah sehalus dan segebu seperti salji sebenar kerana saya hanya menggunakan ais yang di kisar.

“Walaupun begitu, ia tetap mampu memberi senyuman dan kepuasan buat pelanggan untuk berada di dalam rumah salji dengan suhu serendah -4 darjah Celsius,” kata lelaki yang memiliki kelulusan dalam bidang elektrik dari Institut Kemahiran Mara, Jasin, Melaka itu.

Bagi mengekalkan suhu tersebut, Mohd. Khairul menggunakan dua buah kipas (blower) bagi memastikan suhu yang ada di dalam rumah salji itu kekal dalam persekitarannya.

Dakwanya lagi, dia tidak menggunakan pemampat aliran paksi (compressor) kerana ia bakal membuatkan suhu berada pada takat di bawah -4 darjah Celsius dan boleh membahayakan pengunjung.

Untuk memastikan salji kekal segar dan bersih, beliau akan menggantikan ais setiap dua hari menggunakan kira-kira 40 hingga 50 kilogram ais siap dikisar yang diperoleh daripada pembekal.

Bahkan, setiap dua minggu sekali pada hari Isnin, Mohd. Khairul akan melakukan kerja-kerja pembersihan dengan mencairkan ais di dalam rumah salji dan menggunakan ubat pembasmi kuman untuk menjamin tahap kebersihannya.

Pengunjung tidak perlu membawa baju sejuk kerana ia disediakan percuma termasuk kasut.

Harapan

Berdasarkan sambutan yang diterima, beliau tidak menyangka idea untuk membuka rumah salji yang dianggap gila itu telah menerima sambutan orang ramai.

Bahkan, kebanyakan pengunjungnya adalah dari luar Negeri Sembilan seperti Pahang, Johor, Melaka dan Kuala Lumpur yang datang semata-mata untuk melihat sendiri rumah salji ala kampung yang diusahakannya.

“Asalnya saya buka rumah salji ini untuk penduduk kampung sekitar Rembau sahaja, tetapi tidak sangka ia mendapat perhatian orang luar,” katanya yang menerima antara 50 hingga 100 pengunjung sehari terutama di hujung minggu.

Pada hari-hari biasa, pengunjung boleh meluangkan masa di dalam rumah salji tersebut tanpa had masa. Bagaimanapun, jika pengunjung ramai, mereka akan diberikan masa selama 20 minit berada di dalam rumah salji yang boleh memuatkan hingga 10 orang kanak-kanak dan lima dewasa.

Bayaran masuk adalah RM5 untuk dewasa dan RM15 (kanak-kanak serta remaja berusia antara satu hingga 17 tahun).

Mohd. Khairul meletakkan harga tiket dewasa lebih murah kerana ibu bapa masuk untuk mengawasi anak mereka atau merakam gambar.

Pada masa depan, Mohd. Khairul berharap dapat menaik taraf rumah salji tersebut menjadi lebih luas untuk keselesaan dan kepuasan pengunjung.

Beliau mendakwa, pernah menolak keinginan sekumpulan 70 orang pelancong dari China untuk datang ke rumah salji itu kerana khuatir akan mengecewakan selepas melihat saiznya yang terhad.

“Insya-Allah, jika ada rezeki, saya berhasrat untuk membesarkan lagi rumah salji ini, sekali gus menjadi salah satu daya tarikan orang luar untuk singgah di Rembau,” ujarnya.

Daripada angan-angan jadi realiti, Mohd. Khairul bina rumah salji untuk beri peluang kepada orang kampung merasai pengalaman seperti berada pada musim dingin di luar negara.