Suasana nyaman terasa sebaik sahaja kru Panorama menjejakkan kaki ke dalam kediaman dengan keluasan kira-kira 278 meter persegi itu.

Ternyata, ruang kediaman yang luas membuatkan suasana di dalamnya terasa cukup selesa lebih-lebih lagi perincian dekorasi cukup ringkas dalam suntikan gaya klasik.

Perkara itu dapat dilihat menerusi ruang tamu kediaman tersebut. Bukan disebabkan faktor keluasannya semata-mata tetapi juga disebabkan faktor aturan perabot yang digunakan.

Menurut penghuni kediaman tersebut, Suzana Ismail, 46, dia sememangnya menginginkan kediaman yang mendapat sentuhan konsep minimalis, namun masih mampu menonjolkan sentuhan gaya menarik dan tersendiri.

“Saya menggemari tatarias dengan sentuhan elemen klasik yang diselitkan sedikit dengan sentuhan ala Inggeris pada kediaman,” ujar ibu kepada tiga orang cahaya mata itu.

Simbol klasik

Meneliti penggunaan perabot pada kediaman, penggayaan sofa bersaiz besar dan ditambah dengan dekorasi dua buah kerusi sandar sudah cukup menjadikan ruang tersebut kelihatan kemas serta elegan.

Menariknya, salah satu sofa yang digunakan telah pun berusia 17 tahun, namun ia masih kelihatan baharu selepas dibaik pulih dengan menggantikan fabrik asal sofa tersebut.

Pada masa sama, penggunaan meja kopi bersaiz besar daripada material kayu yang ditempah khas diletakkan di tengah-tengah ruang tamu menjadikan ruang berkenaan tidak tampak terlalu kosong.

Pada ruang yang sama, sebuah meja telah diletakkan pada sudut tersebut dan diperincikan dengan sebuah pasu lama sebagai pelengkap gaya dekorasi.

Bagi menutup lopong pada ruang yang ada agar tidak nampak terlalu kosong, beberapa sentuhan dekorasi ringkas diletakkan pada bahagian tertentu.

Sebagai contoh, penggayaan tempayan lama yang terlihat agak usang, diletakkan di atas sebuah bongkah kayu tinggi untuk diangkat sebagai simbol hiasan klasik.

“Selain dijadikan perhiasan, tujuan tempayan tersebut diletakkan pada bongkah tinggi itu untuk dijadikan tabir memandangkan ruang tamu tersebut betul-betul menghadap hadapan rumah jiran,” kata Suzana.

Selain faktor keluasan ruang, salah satu elemen yang menjadikan bahagian ruang tamu itu kelihatan cukup selesa adalah disebabkan faktor permainan warna.

Sepakat menggunakan warna yang berunsurkan rona polos, penggunaan tona kelabu lembut dilihat memberi keseimbangan pada suasana dalam ruang kediaman.

Memberi kepercayaan sepenuhnya kepada sepupu sendiri, Keem Mazni yang juga merupakan seorang pereka hiasan dalaman dalam memberi idea dan pendapat untuk tatarias kediaman, lelaki berusia 29 tahun itu banyak bermain dengan tona warna cerah untuk membangkitkan suasana.

Dominasi

Pilihan warna yang digunakan banyak membantu memberi magis pada suasana dalam kediaman. Boleh dikatakan, tumpuan warna yang diterapkan kelihatan senada dengan keutamaan diberikan pada warna kelabu lembut.

Rona-rona warna seperti kelabu, coklat dan hitam berjaya mengangkat tema diinginkan dan tidak tampak terlalu suram walaupun tanpa menggunakan warna yang menyerlah.

Menurut Keem, pemilihan warna yang pelbagai akan menimbulkan suasana serabut dan mengganggu pandangan sekali gus menjadikan ruang kelihatan semak.

Sentuhan pada bahagian dinding juga memberikan peranan penting. Meskipun sengaja dibiarkan polos daripada tatarias berlebihan, penggayaan warna putih yang mendominasi muka dinding tersebut juga membantu menjadikan ruang kelihatan lebih besar.

Bagi memberi kelainan agar ruang kediaman tidak membosankan, Keem telah bermain dengan ilusi apabila meletakkan bingkai sebagai latar dan menggunakan kain baldu berona oren terracotta untuk menaikkan seri pada ruang.

Dakwa Keem, kain baldu yang digunakan itu berupaya menyegarkan pandangan mata penghuni dan juga tetamu yang bertandang, seolah-olah sedang melihat sebuah lukisan abstrak.

Sesuai dengan kehendak penghuninya yang tidak mahukan sentuhan sarat, maka dekorasi menggunakan pokok hiasan tidak diberi keutamaan. Ia berbeza dengan penggemar hiasan dalaman lain yang sering menjadikan kehijauan pokok-pokok sebagai salah satu elemen utama terhadap dekorasi mereka.

Beralih tumpuan pada ruang makan pula, sentuhan serupa dengan ruang tamu juga dicurahkan pada ruang tersebut dengan gaya senada. Didominasi dengan rona putih, elemen kehijauan disuntik bagi mewujudkan suasana yang lebih segar. Walaupun kediaman yang dihuni sekarang adalah milik kerajaan, Suzana tetap memberi sentuhan dekorasi pada kediaman tersebut kerana ia menggambarkan penghuni yang tinggal di dalamnya.