Bagaimanapun, pada waktu lapang, Mohamad Izzuddin Rosli suka membelek laman sosial menerusi telefon pintar atau komputer riba bagi mengetahui perkembangan isu-isu semasa.

Antara subjek berita yang menjadi tumpuan anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu ialah berkaitan politik dan isu-isu masyarakat. Ini memandangkan dia merupakan salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), UPM.

Salah satu perkara yang dilakukan oleh Mohamad Izzuddin apabila terlihat isu politik atau masyarakat ialah meninggalkan komen bersifat pendapat peribadi dalam laman sosial.

Adakalanya, komen-komen diberikan bersifat mengkritik parti atau pemimpin politik tertentu yang dilihat tidak menjalankan tugas dengan sebaiknya dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Keberanian mengkritik dan memberi pendapat berkaitan isu-isu berkenaan mula dilakukan pelajar tahun kedua itu sejak Disember tahun lalu.

Ia selepas Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) membabitkan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) yang menghalang mahasiswa terbabit dalam kegiatan politik dalam kampus.

Pindaan berkenaan memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada para pelajar untuk bersuara serta berpolitik di dalam atau luar kampus.

“Sekarang, saya lebih berani untuk menyuarakan pendapat peribadi mengenai parti dan pemimpin politik sama ada menerusi laman sosial atau turun ke jalan raya.

“Sebagai pelajar, kritikan yang dilontarkan adalah bersifat membina dengan memberi cadangan dalam menyelesaikan setiap isu berbangkit,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Akuakultur itu memaklumkan, sebelum ini, dia dan rakan-rakan pelajar lain berasa takut untuk menyuarakan pendapat mengenai politik atau isu masyarakat.

Ujar Mohamad Izzuddin, perasaan takut wujud kerana bimbang diambil tindakan oleh pihak universiti. Ini sekali gus membantutkan matlamat asalnya masuk ke menara gading iaitu menimba ilmu.

“Dahulu, kalau salah tulis atau cakap, kami boleh dikenakan tindakan oleh pihak universiti. Jika tidak kena pada gayanya, saya boleh dibuang universiti.

“Jadi, lebih baik saya pendamkan sahaja pendapat yang ingin dilontarkan meskipun berlaku terlalu banyak kepincangan dalam pentadbiran negara,” katanya

Dikuatkuasakan

AUKU dikemukakan oleh Allahyarham Datuk Hussien Onn (Menteri Pendidikan ketika itu) sebelum dikuatkuasakan pada 30 April 1971.

Akta di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi itu diperuntukkan dalam hal berkaitan menubuhkan, menyelenggara dan mentadbirkan universiti dan kolej universiti serta bagi perkara lain berkenaan dengannya.

Ia rentetan daripada kebimbangan kerajaan terhadap kelantangan mahasiswa mengkritik kesalahan kerajaan demi memperjuangkan keadilan dan kebenaran pada tahun 1970-an.

Kerajaan ketika itu berpendapat gerakan mahasiswa perlu dihapuskan untuk memastikan kedudukan mereka tidak terjejas.

Pada tahun 1975, Menteri Pendidikan ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membuat pindaan terhadap AUKU sekali gus berjaya menakutkan kebanyakan mahasiswa untuk bersuara.

Pelajar yang didapati bersalah di bawah AUKU boleh dikenakan hukuman amaran, denda, dilarang mengambil bahagian dalam aktiviti universiti, digantung pengajian atau dipecat dari universiti.

Mantan Setiausaha Agung, MPP, Universiti Malaya, Nur Atiqah Mohd. Jani, 29, berkata, pindaan AUKU 2018 bakal merubah landskap politik di dalam mahupun luar kampus.

Wanita yang masih menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Undang-Undang itu memaklumkan, pindaan berkenaan membuka ruang lebih luas kepada mahasiswa untuk berjinak-jinak dengan politik kepartian.

“Sebelum ini, politik di dalam kampus hanya berkisar isu-isu di dalam universiti. Kini, dengan kebebasan diberi, mahasiswa dapat berdamping dengan para pemimpin politik.

“Peluang ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh pelajar dalam memperjuangkan isu mahasiswa dan masyarakat secara lebih kritis seiring dengan kebijaksanaan mereka,” ujarnya.

Pindaan

Pindaan tersebut juga membuka pintu kepada para pemimpin pelajar dan pihak universiti untuk mengundang pemimpin politik bagi menjayakan sesuatu program di dalam kampus.

Misalnya, baru-baru ini Pengerusi Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dijemput memberi syarahan kepada pelajar Fakulti Bahasa dan Linguistik di UM. Anwar merupakan alumni fakulti berkenaan.

Nur Atiqah yang juga seorang kaunselor di Universiti Multimedia, Cyberjaya, Selangor berpendapat, pindaan berkenaan mampu menggilap bakat kepimpinan dalam kalangan pelajar.

Katanya, penglibatan dalam politik kepartian dapat membantu para pelajar dalam memimpin sesebuah organisasi selain memperbaiki mutu pengucapan awam mereka.

“Kebanyakan pemimpin negara sekarang merupakan pemimpin mahasiswa yang aktif dalam organisasi seperti Anwar dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Pelajar yang aktif berpolitik cenderung lebih bermaklumat dan berkata-kata. Ini sedikit sebanyak dapat melahirkan generasi muda lebih bermaklumat dan peka dengan keadaan semasa,” ujarnya.

Bagaimanapun, Nur Atiqah berharap, pelajar tidak terlalu ghairah dalam menyuarakan pendapat mereka sehingga mengabaikan pelajaran.

Tindakan

Ujarnya, pelajaran seharusnya menjadi keutamaan dan berpolitik hanyalah sekadar perkara sampingan dalam mengisi masa terluang di kampus.

“Janganlah aktif politik atau menyuarakan pendapat sampai tidak hadir ke kuliah. Sebaiknya, pelajar harus membahagikan masa antara pelajaran dan politik,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya, Prof. Madya Azmi Sharom berkata, AUKU terkenal dalam kalangan pelajar sebagai akta bersifat kawalan.

Jelasnya, akta tersebut memberi peluang kepada universiti menggubal peraturan disiplin yang menindas sekali gus memudahkan tindakan disiplin dikenakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan.

“Kesan pelaksanaan AUKU sangat hebat kepada pelajar. Ia mengekang suara dan kebebasan pelajar sama ada di dalam mahupun luar universiti.

“Misalnya, kesalahan memburukkan nama baik universiti. Ia terlalu luas dan subjektif sehingga apa sahaja kesalahan boleh dianggap memburukkan nama universiti oleh panel disiplin,” katanya.

Hukuman paling berat pernah dikenakan kepada pelajar di bawah AUKU adalah pergantungan pengajian selama lima tahun kepada aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim.

Adam Adli digantung oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris atas tuduhan menghasut berhubung ucapannya yang dibuat beberapa hari selepas Barisan Nasional menang Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

“Pindaan ini diharap dapat membina generasi dan pemimpin masa depan lebih demokrasi selain menjadi manifestasi kepada perubahan lebih besar,” katanya.

Beliau menjangkakan pindaan tersebut tidak akan memberi impak terlalu besar kepada pelajar dalam masa terdekat. Hal ini kerana kebanyakan pelajar kurang mengambil kisah dengan aktiviti parti politik.

Dalam pada itu, Azmi mencadangkan, beberapa perkara lagi perlu dipinda oleh kerajaan dalam AUKU iaitu berkaitan mengawal aktiviti, hak bersuara dan berkumpul para pelajar.

Katanya, kelonggaran secara menyeluruh itu membolehkan mahasiswa menyuarakan isu-isu semasa sama ada di dalam mahupun luar kampus secara lebih berkesan.

Menerusi pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 2018, para pelajar diberi kelonggaran untuk aktif berpolitik sama ada di dalam mahupun luar kampus.