Jalur masa seawal era 1950-an yang menyaksikan kemunculan muzik rock di negara barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom adalah titik permulaan. Penularan muzik tersebut semakin bercambah era demi era sehingga lahirnya genre sealiran seperti blues rock, punk rock dan heavy metal.

Di Malaysia, penangan muzik rock tidak kurang hebatnya. Search, Wings dan Ella adalah antara legenda muzik rock tempatan yang sangat berpengaruh. Menjelang 1990-an, tumbuh segmen baharu diberi jolokan rock leleh atau kapak yang menjadi kesukaan pendengar. Antara yang menjadi ikutan adalah band seperti Spring, Jinbara, Damasutra, Ukays, Damasutra dan Screen. 

Kebetulan enam band popular era 1990-an itu bakal beraksi dalam satu persembahan amal pada 22 Februari ini.

Persembahan amal yang diberi nama Kita Adalah Serupa tersebut bakal berlangsung di EDC Hotel, Kuala Lumpur bagi meringankan beban golongan asnaf, gelandangan dan beberapa rumah anak yatim. 

Sebagai seorang penyanyi rock, Ameng atau nama sebenarnya, Wan Aminuddin Wan Ismail pernah berada di puncak populariti. Namun, kesilapan percaturan membuatkan dirinya jatuh terduduk. Sekian lama terhukum oleh perbuatan sendiri, Ameng yang kembalik aktif mahu terus berkongsi bakat nyanyiannya bersama peminat. 

Populariti

Mengulas tentang survival dalam dunia nyanyian rock selama hampir tiga dekad, penyanyi lagu Sejiwa itu akur dengan putaran kehidupan – ada masa di atas dan pada ketika lain, berada di bawah.

“Tanpa peminat siapalah artis. Zaman sudah berubah dan genre muzik semakin bercambah. Rock sekarang bukan macam rock dahulu.

“Populariti tidak akan kekal lama. Kalau dahulu nama kita dijulang, jangan pernah fikir 10 atau 20 tahun mendatang, orang tidak akan lupa keberadaan kita.

“Yang tinggal hanya karya-karya yang terus melekat di hati peminat,” kata vokalis kumpulan Spring itu.

Menyentuh tentang kualiti muzik terutama genre rock zaman sekarang, Ameng secara kritis berkata, tidak banyak yang boleh dibanggakan kerana perjuangan penyanyi sekarang dan dahulu sedikit berbeza.

“Dahulu, semuanya dibuat secara konvensional atau manual. Apa yang dirakamkan di studio, itulah yang peminat akan dengar. Tiada auto-tune dan tiada bantuan ‘mesin’ digunakan untuk menyedapkan suara.

“Sekarang sudah bermacam-macam ‘helah’ atau teknologi yang boleh digunakan. Orang yang tidak sepatutnya jadi penyanyi pun, boleh jadi penyanyi dengan ‘bantuan teknologi’ di studio rakaman,” getus Ameng.

Relevan

Sementara itu, vokalis kumpulan Screen, Gmie berkata, sebagai ‘orang lama’ dalam arena rock, bukan mudah untuk terus bertahan sehingga ke hari ini terutama dengan kemunculan bintang-bintang muda yang timbul seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Kata Gmie atau nama lengkapnya, Hajmi Ibrahim, pengalaman yang diraih sepanjang berkecimpung dalam dunia nyanyian membuatkan dirinya sentiasa bersyukur kerana masih diberi peluang berkongsi bakat dengan peminat.

“Pada usia yang semakin senja, saya memang tidak terlalu memikirkan soal bersaing dengan penyanyi baharu. Penyanyi rock zaman sekarang pun boleh dikira dengan jari. Tidak ramai.

“Cara kami bekerja dahulu old school tidak macam budak-budak zaman sekarang. Mereka sekarang semuanya digital, malah jual album dan lagu pun dalam internet atau secara digital.

“Maaf cakap, tetapi kalau setakat jual satu single sudah rasa diri penyanyi hebat, itu bukan pencapaian yang boleh diperkatakan. Zaman kami dahulu, keluar album baru boleh dikira sebagai penyanyi. Itu nilai yang golongan sekarang tercicir. Apa pun, trend sekarang adalah kehendak zaman, apa boleh buat,” kata Gmie yang cukup dikenali menerusi lagu Bila Cinta Didusta itu.

Tambah anak bongsu daripada 11 adik-beradik itu, menjadi cabaran buat dirinya dan penyanyi rock lama lain untuk kekal relevan dalam industri. Sebagai contoh, mencuba trend baharu seperti aktif dalam laman sosial Instagram.

“Budak-budak sekarang menyanyi dalam Instagram pun senang-senang boleh jadi artis rakaman. Mereka sangat beruntung. Itu menjadi kelebihan anak muda sekarang dan pada masa yang sama, kelemahan buat mereka.

“Saya akur dengan perubahan zaman dan cuba membiasakan diri dengan kehendak peminat. Sekarang, mahu cari penyanyi yang benar-benar ada jiwa rock, susah. Saya berharap akan ada mereka yang berpotensi untuk terus memperjuangkan muzik ini,” kata Gmie.

Mutu rakaman, penstriman

Sementara itu, individu yang bertanggungjawab membawa nama band seperti Exists dan Spider ke persada muzik tanah air, Mokhtaza Ahmad atau cukup dikenali dengan nama Che Mokh turut bercerita tentang survival muzik rock yang memerlukan perhatian.

“Album pertama Spider tidak begitu berjaya. Ketika mereka merakamkan sebuah lagu berjudul Aladin (yang akhirnya menjadi hit), saya mula nampak jalan untuk band itu terus bersinar.

“Saya percaya mereka boleh pergi jauh. Apabila Spider menang Anugerah Juara Lagu dengan lagu Rela Ku Pujuk, itu merupakan satu kejayaan yang bukan datang bergolek. Kejayaan itu memerlukan usaha dan semangat bekerja sebagai sebuah kumpulan,” kata Che Mokh, 57.

Ditanya tentang mutu rakaman muzik dahulu dan sekarang, beliau berkecimpung dalam dunia muzik tanah air sebagai pengurus artis sejak 1995 bersetuju bahawa rata-rata penyanyi rock zaman dahulu lebih berpuas hati dengan cara kerja lama.

“Dahulu, rakaman dilakukan dalam bentuk analog. Bunyi yang dihasilkan jauh lebih besar dan sempurna.

“Sebenarnya tidak adil untuk membandingkan soal dahulu dan sekarang kerana sekarang, album rock memang tidak banyak dihasilkan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tidak adil juga untuk membuat perbandingan tentang jualan album dahulu dan sekarang kerana zaman sudah berubah. Dahulu, pencapaian seseorang artis diukur berdasarkan penjualan album melalui cakera padat atau kaset.

“Pada zaman milenium, sikap pendengar sudah berubah dan tidak tertumpu ke arah pembelian cakera padat atau kaset. Sekarang, semua boleh muat turun atau penstriman sahaja.

“Kedai-kedai muzik pun semakin pupus. Justeru, penjualan single secara digital adalah lebih relevan dan perkara itu diakui oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM),” kongsi Che Mokh yang merupakan bekas guru dan pensyarah.

Rock utuh menjadi cabang muzik yang digemari khalayak, namun penyanyi rock generasi sekarang hanya boleh dibilang dengan jari, sementara orang lama masih berharap genre tersebut terus berkumandang.