Dengan hanya ketinggian kira-kira 60 sentimeter (sm), robot berautonomi Keeko itu muncul di beberapa tadika sekitar Beijing, China sambil menceritakan kisah hikayat dan mencabar kanak-kanak dengan penyelesaian teka-teki logik.

Robot bulat, putih dengan badan gempal itu bergerak dengan menggunakan roda kecil.

Ia dilengkapi kamera yang bertindak bukan sahaja sebagai pengesan navigasi arah malah berupaya memberi pengalaman kepada pengguna untuk merakam video jurnal.

Di China, robot sedang dibangunkan untuk menghantar barangan runcit, peneman orang tua dan penasihat undang-undang.

Kini, pereka Keeko berharap penghasilan robot tersebut dapat menyumbang kepada masyarakat sebagai pendidik.

Di Institut Pendidikan Pelbagai Bahasa Yiswind yang terletak di pedalaman Beijing, kanak-kanak diberikan tugas untuk membantu seorang putera mengharungi padang pasir.

Dengan menyambungkan alas kaki petak yang menjadi representasi laluan perjalanan robot itu, kanak-kanak didedahkan dengan pembelajaran berdasarkan penceritaan dan penyelesaian masalah.

Setiap kali jawapan tepat diberikan, peranti berkenaan akan memberikan reaksi wajah riang dan mata berbentuk hati.

Menurut guru yang kini berkerja sebagai pelatih di Keeko Robot Xiamen Technology, Candy Xiong, pendidikan kini sudah semakin berkembang dengan kemajuan teknologi.

“Apabila kanak-kanak melihat Keeko dengan tubuh dan kepalanya yang bulat itu, ia sungguh comel dan kanak-kanak menyukainya.

“Sudah semestinya apabila mereka mempelajarinya daripada Keeko, mereka akan lebih mudah menerima ilmu tersebut serta-merta.

“Pendidikan kini tidak lagi sehala seperti dulu yang mana guru dan pelajar sekadar belajar semata-mata,” katanya.

Robot Keeko boleh didapati di lebih 600 tadika seluruh Beijing dan pereka teknologi tersebut mahu mengembangkannya ke Tanah Besar China dan Asia Tenggara.

Beijing telah melaburkan wang dan sumber manusia yang banyak untuk membangunkan kepintaran buatan sebagai sebahagian daripada pelan Made in China 2025.

Stok robot terbesar

Sebuah firma China tahun lalu turut memperkenalkan robot manusia pertama yang mampu menjayakan perbualan ringkas bersama manusia sambil melakukan pelbagai ekspresi wajah.

Menurut Federasi Robot Antarabangsa, negara China merupakan stok robot industri terbesar di dunia.

Kira-kira 340,000 unit robot industri terdapat di kilang-kilang seluruh negara terlibat dalam industri pembuatan dan automotif.

Pasaran robot perkhidmatan di China termasuk peranti peralatan perubatan khas sehingga ke pembersih vakum dianggarkan berjumlah AS$1.32 bilion (RM5.42 bilion) tahun lalu.

Pada hemat firma penyelidik pemasaran, Research In China, jumlah tersebut dianggarkan dapat berkembang sehingga AS$4.9 bilion (RM20.12 bilion) menjelang tahun 2022.

Minggu lalu, Beijing menganjurkan Persidangan Robot Dunia menampilkan mesin yang mampu mendiagnos penyakit, bermain badminton selain mengujakan penonton dengan kemahiran bermain muzik.

Tahun lalu, sekumpulan sami di Beijing menghasilkan robot sami berketinggian 600sm yang membacakan mantera serta nasihat untuk meraih nirwana.

Malah, sebuah robot manusia yang dibangunkan untuk menemani kanak-kanak dan kegunaan keluarga turut diperkenalkan baru-baru ini dengan nama The iPal.

Sementara itu, guru besar di salah sebuah tadika di Beijing, Xie Yi berpendapat, senario robot menggantikan sepenuhnya guru di bilik darjah masih lagi sukar untuk dilaksanakan.

“Ketika mengajar, anda perlu berinteraksi, melakukan sentuhan, perhubungan mata dan ekspresi wajah kerana keadaan inilah yang akan membantu aspek pendidikan buat generasi muda.

“Ia bukan sekadar pengajaran menerusi bahasa ataupun kandungan yang ditawarkan tetapi, ia memerlukan segala unsur kemanusiaan.

“Apa yang menarik mengenai robot ini ialah mereka lebih stabil berbanding manusia,” ujarnya sambil tertawa.

Ia merupakan antara kelebihan menggantikan guru manusia dengan robotik berautonomi dengan kos kira-kira AS$1,500 (RM6,158) untuk sebuah robot Keeko. – AFP