Kesemua mereka merupakan pelajar tahun akhir jurusan robotik mencipta robot yang dikenali sebagai Moonlander untuk menyelesaikan tugasan dalam pembuatan makanan berasaskan tenusu.

Robot itu dilengkapi roda dan boleh menampung keju seberat 12 kilogram dan mengangkutnya ke mana-mana sahaja.

Matlamat penciptaan robot itu adalah untuk membantu petani tenusu memindahkan cakera besar keju yang sudah matang.

Salah seorang pelajar yang mencipta robot tersebut, Timo van Frankenhuyzen berkata, Moonlander berfungsi untuk mengumpul ketulan keju kemudian menekan dan merendamnya di dalam air garam.

“Moonlander boleh bergerak secara automatik di stesen yang berbeza.

“Robot ini juga dapat mengimbas bilik bagi mencari tempat yang berbeza untuk mengambil keju,” jelasnya.

Lima bulan

Timo dan rakan-rakannya yang belajar di universiti teknikal tertua dan terbesar di Belanda itu hanya mengambil masa selama lima bulan untuk mereka bentuk dan membina robot tersebut.

Hasil ciptaan mereka boleh digunakan di sektor swasta dan awam.

Teknologi dan inovasi dalam bidang yang berkaitan pertanian serta perladangan sangat diperlukan di negara itu kerana Belanda merupakan pengeksport produk pertanian terbesar dunia.

Penyelaras kursus robotik di universiti itu, Martin Klomp berkata, lebih 100 orang pelajar yang membuat permohonan untuk mengikuti jurusan robotik tetapi pihaknya hanya menerima yang terbaik dan paling bermotivasi.

Pada hari terbuka jabatan itu, lapan mesin hasil ciptaan sepasukan pelajar yang terdiri daripada enam orang ahli telah dipertontonkan.

Antaranya ialah robot yang dikenali sebagai Roselie. Ia dilengkapi kamera untuk mengecam mawar dan memetiknya.

Roselie dilatih untuk mengenal pasti bunga ros yang sesuai dan sedia dipetik menerusi rangkaian neuronnya.

Memetik bunga mawar bukanlah tugasan yang mudah sedangkan manusia perlu dilatih selama beberapa bulan bagi melaksanakan tugasan itu.

Sementara itu, robot pekerja bar yang diberi nama Barrie kelihatan tidak tahu cara berpusing lantas membuatkan pencipta mesin tersebut Jonathan Raes bergegas untuk membantunya.

Jonathan menekan beberapa butang supaya air kopi mengalir semula.

Barrie merupakan robot yang bertugas di ruangan kopi, ia mempunyai muka bagi membolehkan pelanggan bermain permainan video sementara menunggu minuman disiapkan.

TU Delft merupakan institut robotik yang canggih dan telah memenangi beberapa anugerah global.

Cabaran

Menurut institut itu di laman web rasminya, bidang robotik memberikan jawapan kepada beberapa cabaran besar abad ke-21.

Ini termasuklah kebergantungan kepada tenaga kerja sama ada membantu atau menggantikan manusia dalam situasi berbahaya, tidak sihat atau tidak beretika.

Dalam pada itu, robot peneman kanak-kanak yang diberi nama Fizzy membuatkan hari-hari mereka sangat ceria.

Ia menjadi peneman kanak-kanak yang sedang dirawat kerana penyakit kanser.

Pusat Onkologi Kanak-Kanak Hospital Princess Maxima di Utrecht mengalu-alukan pelajar-pelajar robotik untuk mereka penciptaan robot bagi menghiburkan pesakit-pesakit muda itu.

Salah seorang penciptanya, Eveline Drijver berkata, apabila kanak-kanak mendekati Fizzy ia mula bergetar dan bergerak membuatkan mereka terhibur.

“Kami masih membuat beberapa pengubahsuaian supaya Fizzy dapat berfungsi dengan baik dan mencapai matlamat penciptaannya.

“Saya sangat meminati dalam penghasilan robot dan akan menghasilkan lebih banyak mesin ini pada masa akan datang,” ujarnya.