Oleh sebab itu, seseorang yang ingin bersenam disarankan untuk melakukan aktiviti sukan yang sesuai dengan kemampuan diri.

Melakukan aktiviti di luar kemampuan bukan sahaja membahayakan kesihatan malah boleh mengundang perkara yang tidak diingini. Antaranya tidak sedarkan diri atau meninggal dunia.

Mengambil contoh aktiviti semasa ketika ini, terdapat banyak acara sukan yang dianjurkan seperti aktiviti larian denai, larian berhalangan, larian jarak jauh dan triatlon.

Bagi individu yang sudah ‘masak’ dengan aktiviti sedemikian, mereka akan lebih selektif pada acara yang ingin disertai, namun berbeza dengan masyarakat yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti sedemikian.

Ada yang sekadar menyertainya hanya untuk bersuka ria atau sekadar mengikut trend semasa tanpa memikirkan risiko-risiko yang bakal dialami.

Iktibar

Mengambil iktibar dengan kejadian yang berlaku baru-baru ini, Kosmo! melaporkan seorang peserta Triatlon Antarabangsa Port Dickson 2018 (PDIT) lemas manakala seorang lagi hilang ketika menyertai acara tahunan itu baru-baru ini.

Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, Tharm Wei Young, 39, dari Pulau Pinang mati lemas semasa berenang manakala seorang lagi peserta warga Hong Kong, Yuen Chi Yuen, 42, hilang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Mohd. Faizal Mohd. Noor berkata, mangsa telah berenang dari garis permulaan menuju ke pantai untuk meneruskan acara berbasikal yang mempunyai jarak antara tempat renang ke pantai kira-kira 750 meter.

Katanya, semasa berenang mangsa dipercayai telah lemas, anggota bomba yang bertugas telah memberi bantuan kecemasan dan CPR kepada mangsa tetapi tiada respons.

“Sementara itu, kehilangan Chi Yuen disedari isteri mangsa yang ketika itu sedang bertugas sebagai Pegawai Teknikal PDIT.

“Selepas acara renang tamat, suaminya tidak kelihatan di pantai. Dia kemudian mencari suaminya di laluan perlumbaan, di bilik makan dan bilik hotel sebelum mengesyaki suaminya lemas ketika berenang,” katanya.

Mayat Chi Yuen ditemui oleh nelayan di sekitar Pulau Karang kira-kira satu batu nautika dari tempat dia disyaki hilang sehari kemudian.

Triatlon adalah pertandingan atletik yang melibatkan tiga acara yang berbeza. Bagi PDIT, acara bermula dengan berenang merentasi laut sejauh 750 meter, diikuti berbasikal sejauh 20 kilometer (km) dan berlari 5km.

Menurut Pensyarah Sains Eksesais Universiti Malaya, Dr. Rizal Mohd. Razman, terdapat dua jenis risiko yang boleh berlaku kepada individu yang menyertai acara sukan, pertama risiko kesihatan dan kedua persekitaran.

“Bagi risiko kesihatan ia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Jika berasa tidak sihat, mereka boleh menarik diri tetapi berbeza dengan masalah kesihatan yang tidak diketahui seperti penyakit jantung atau kejang.

“Agak payah untuk mengesan penyakit itu jika seseorang tidak melakukan pemeriksaan menyeluruh terutamanya sebelum ingin menyertai acara sukan,” terangnya sambil memaklumkan kebanyakan peserta yang meninggal secara tiba-tiba semasa melakukan aktiviti sukan lazimnya disebabkan masalah jantung.

Tambah Rizal, bagi risiko persekitaran pula, faktor cuaca, trafik di jalan raya dan arus air laut merupakan faktor penyebab.

Mengambil contoh kejadian yang berlaku, Rizal menambah, keadaan arus dalam laut yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar boleh menjadi penyumbang terbesar yang meningkatkan risiko kematian seseorang.

Pemantauan

Justeru amat penting untuk pihak penganjur meningkatkan tahap pemantauan mereka.

“Melepaskan beratus-ratus peserta pada satu-satu masa bukan idea yang baik. Mereka perlu meletakkan lebih ramai pegawai kejohanan agar dapat memantau peserta dengan lebih teliti.

“Selain itu, bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku, pihak penganjur boleh meletakkan syarat peserta 40 tahun ke atas mesti hadir dengan salinan pemeriksaan kesihatan,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul berkata, satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menyiasat kes kematian peserta berkenaan.