Meskipun keputusan White House untuk memindahkan kedutaan Amerika Syarikat dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis dianggap satu kemenangan besar kepada Israel, 128 buah negara mengundi menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa bersatu (PBB) menentang langkah Amerika Syarikat itu manakala hanya sembilan negara menolaknya.

Ternyata, tentangan itu memberi tamparan hebat kepada Amerika Syarikat dan seolah-olah telah meranapkan status quo negara berkenaan yang dilihat sebagai kuasa besar dunia.

Personaliti TV Alhijrah, Farrah Adeeba Mohamed Ashraf, 39, berpendapat, tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel secara jelas menunjukkan ketidakadilan Amerika sebagai broker perbincangan antara Palestin dan kuasa penjajah Israel.

Beliau yang juga duta Aman Palestin beranggapan, tindakan itu seolah-olah menghalalkan pelanggaran perjanjian sedia ada serta pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan Israel.

“Jika kita lihat, pelbagai isu dan krisis yang dicetuskan Israel. Antara ialah kezaliman terhadap penduduk Palestin, isu penempatan haram secara besar-besaran di atas tanah Palestin, sekatan air dan tembok pemisah.

“Selain itu, diskriminasi serta pembersihan etnik secara sistematik, perundangan rasis dan tidak berperi kemanusiaan, kekejaman terhadap kanak-kanak, pencerobohan Masjid Al-Aqsa dan beberapa isu lain yang masih belum diselesaikan sehingga kini,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau berpendapat, tindakan tersebut telah melanggar undang-undang antarabangsa yang memerlukan kuasa penjajah menghormati hak asasi entiti yang dijajah termasuk kemudahan asas, kebebasan bergerak dan tidak menceroboh tempat beribadat.

Mengimbau penglibatannya dalam misi keamanan berkata, hatinya mula terdetik untuk berjihad bersama-sama penduduk Palestin ketika ditugaskan membuat liputan peperangan di Gaza sekitar tahun 2008.

Peperangan yang tidak bernoktah di Palestin menyebabkan dia berasa terpanggil untuk menyertai Misi Solidariti Palestin di bumi Gaza pada tahun 2012 bersama Aman Palestin, para sukarelawan, wakil media dan selebriti.

Dalam kunjungan ke Gaza, Farrah Adeeba dan rombongan sempat mengunjungi beberapa lokasi seperti Hospital As Syifa, rumah anak-anak yatim di Hayya An Nasser, perhimpunan kejayaan gencatan senjata dan penempatan penduduk Palestin.

Ternyata setelah dua kali mengunjungi Gaza iaitu pada April dan Disember 2012, Farrah Adeeba begitu memahami keperitan dan penderitaan yang ditanggung oleh penduduk Palestin.

Daif

Semasa di Gaza, dia berpeluang bertemu dengan seorang doktor yang bertugas di Hospital As Syifa.

Apa yang menyentuh hati Farrah Adeeba, hospital berkenaan begitu daif dan mempunyai kemudahan asas yang terhad. Selain tiga buah katil di wad kecemasan kritikal, tiada bekalan ubat-ubatan yang mencukupi dan mereka kekurangan kakitangan.

“Dalam keadaan yang begitu daif, doktor terbabit terpaksa merawat ribuan orang pesakit sehari. Demi tanggungjawab, dia ketepikan rasa penat lelah. Lebih memilukan, apabila pulang ke rumah, kediamannya musnah dibedil bom malah hampir kesemua keluarganya syahid di tangan kekejaman Zionis,” ujarnya.

Farrah Adeeba yang sempat berkunjung ke rumah anak yatim di Gaza bersama suaminya menceritakan kecintaan kanak-kanak tersebut kepada negaranya.

Dia sempat bertanya kepada kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun itu ‘Mahukah dia mengikut Farrah Adeeba pulang ke Malaysia?’ Lantas riak wajahnya berubah dan dengan tegas dia menyatakan, ‘Saya anak Palestin dan akan terus tinggal di sini.’

Pertemuan Farrah Adeeba dengan seorang warga emas Palestin juga merobek hati kecilnya.

“Apa yang membuatkan saya terkesan ialah wanita itu merintih bukan kerana anak-anaknya meninggal dunia tetapi tidak ada lagi yang akan syahid untuk mempertahankan negara mereka,” ceritanya sayu.

Menurut Farrah Adeeba, dia sempat menghadiri perhimpunan untuk meraikan Jubli Perak Hamas dan kejayaan genjatan senjata 2012 bersama kira-kira 800,000 rakyat Palestin serta badan-badan bukan kerajaan seluruh dunia.

Cabuli hak

Justeru, tegas Farrah Adeeba, umat Islam tidak boleh membiarkan penduduk Palestin terus hidup dalam penderitaan kerana mereka amat mengharapkan sokongan, bantuan dan doa yang berterusan.

Sementara itu, Pengarah Media Aman Palestin, Anas Abdul Wahab berkata, salah satu usaha untuk membantu rakyat Palestin mempertahankan kota suci tersebut adalah dengan menyumbang segala yang termampu.

“Kita mungkin tidak mampu mengangkat senjata bersama mereka, tetapi kita masih boleh berdoa serta menunjukkan simpati dengan menghulurkan bantuan.

“Keprihatinan rakyat Malaysia secara berterusan dalam menyalurkan bantuan dapat memberi sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Aman Palestin merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi sejak akhir tahun 2004. Ia ditubuhkan sebagai inisiatif untuk membantu, menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin.

“Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit dan bantuan yang didermakan oleh rakyat Malaysia sampai dan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Palestin.

“Sejak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lebanon dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai,” katanya ketika dihubungi.

Antara bentuk bantuan tersebut ialah pembinaan Rumah Anak-anak Yatim Palestin, bantuan pelajaran pelajar-pelajar Palestin serta bantuan sara hidup yatim Palestin.

Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Prof. Madya Hafidzi Mohd. Noor berkata, umat Islam terutamanya dan bukan Islam harus memperjuangkan isu Baitulmuqaddis kerana ia jelas mencabuli hak asasi rakyat Palestin.

“Perjuangan pembebasan Palestin perlu diketengahkan sebagai satu perjuangan sejagat. Salah satu cara yang boleh kita laksanakan ialah memboikot jual beli yang menyumbang kepada Israel.

Tambah Hafidzi, pemimpin-pemimpin negara Islam perlu lebih berani menyuarakan bantahan kerana ia boleh mempengaruhi pandangan umum masyarakat antarabangsa serta memberi kesan kepada hala tuju pertumbuhan ekonomi Kesatuan Eropah, G7 dan serantau.

Tekanan yang berterusan daripada China sebagai kuasa besar ekonomi dunia boleh mengubah keputusan Trump.

“Melalui tindakan memboikot, menunjukkan bantahan secara serius, memberi tekanan ekonomi termasuklah memutuskan hubungan diplomatik sedikit sebanyak memberi tekanan kepada Trump untuk menarik kembali keputusannya,” katanya ketika dihubungi.