Usai berbual ringkas dengan si pemanggil, tanpa banyak soal remaja itu bingkas bersiap ala kadar sebelum menuju ke Surau As-Sakinah, Gombak Setia, Selangor yang terletak tidak jauh dari kediaman keluarganya.

Sebaik sahaja tiba, dia yang juga merupakan siak surau tersebut mengeluarkan kunci untuk membuka pintu utama seraya menunggu kedatangan seseorang.

Itu imbauan Pengerusi Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ), Ustaz Muhammad Rafieudin Zainal Rasid, 28, ketika kali pertama dipertanggungjawabkan menanti jasad arwah jirannya yang dibawa dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada usia remajanya.

“Ketika itu hanya saya seorang menemani arwah sehingga azan Subuh kerana waris masih berada di hospital. Jadi saya tunggu sahaja sehingga keluarganya datang kerana jenazah tidak boleh ditinggalkan bersendirian.

“Itu permulaan yang mendidik keberanian saya untuk terlibat dalam bidang pengurusan jenazah sehingga hari ini,” ujarnya ketika ditemui K2 di Surau Al-Amin Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada peringkat awal, beliau mendapat pendedahan daripada imam Surau As-Sakinah sendiri dan seorang lagi insan dikenali sebagai Pak Chat yang mempunyai lebih 40 tahun pengalaman menguruskan jenazah di hospital.

Dari situ Mudir Maahad Tahfiz (Kemahiran) Nur Fattah, Hulu Kelang itu belajar cara praktikal mengendalikan jenazah termasuk yang berada dalam keadaan uzur seperti reput, meninggal dunia akibat penyakit berjangkit, mangsa bunuh dan transgender.

Berhasrat menubuhkan komuniti yang mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam melaksanakan tuntutan fardu kifayah itu, beliau pada mulanya menubuhkan kumpulan WhatsApp yang dinamakan Geng Mandi Mayat pada Februari 2017.

“Saya melihat orang ramai terutamanya yang telah mengikuti kursus pengurusan jenazah sukar mengaplikasikan kemahiran mereka selain apa yang telah dipelajari terhad secara teori atau praktikal biasa.

“Jadi kami ingin memberi mereka pengalaman mengendalikan jenazah dalam pelbagai keadaan termasuk keadaan tubuh yang tidak normal,” jelas graduan jurusan Syariah Perundangan dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Sistematik

Pihaknya juga pernah menjalin kerjasama dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) mengurus 23 pelajar dan guru yang terkorban dalam kes kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu kota lebih setahun lalu.

Selain itu, pasukan tersebut turut terlibat dalam menguruskan enam anggota bomba yang maut dalam tragedi pusaran air di Taman Putra Perdana, Puchong, Oktober tahun lalu.

Susulan itu, kumpulan tersebut kemudiannya didaftarkan secara rasmi sebagai SPJ pada tahun lalu bagi membolehkan mereka mengatur pergerakan anggota secara sistematik. Ia termasuk urusan penghantaran jenazah di luar Kuala Lumpur dan Selangor selain aktif mengurus jenazah di hospital-hospital. Sehingga kini, bilangan ahlinya sudah mencecah 1,000 orang di seluruh negara termasuk di Kedah, Johor dan sebagainya.

Katanya, tiga objektif utama penubuhan skuad tersebut ialah mengumpulkan seramai mungkin sukarelawan sekali gus membawa mereka ke realiti sebenar pengurusan jenazah.

Tsunami

Selain itu, pihaknya berhasrat dapat meringankan beban golongan kurang mampu serta asnaf dengan menyediakan perkhidmatan secara percuma meliputi kemudahan van jenazah sehinggalah jenazah dikebumikan.

Paling penting, penubuhan skuad tersebut sebagai persediaan awal berlakunya bencana alam atau insiden tidak diingini melibatkan kehilangan nyawa yang ramai di seluruh negara.

Tidak sekadar menyalur tenaga dan kepakaran di dalam negara, tiga anggota skuad tersebut termasuk Muhammad Rafieudin turut turun padang menyertai misi membantu mengurus jenazah mangsa tsunami di Palu, Indonesia pada Oktober lalu.

“Kami bergabung dengan sukarelawan di sana dan turut menganjurkan kursus pengurusan jenazah kritikal memandangkan tiada pasukan pengurusan jenazah khusus di lokasi bencana.

“Ini kerana sukarelawan sedia ada lebih menjurus kepada bidang kebajikan, perubatan dan pendidikan. Ketika itu pula ada banyak jenazah yang sudah mereput dan sudah berulat,” katanya.

Katanya, menurut garis panduan yang dikeluarkan Ketentuan Fatwa Majelis Ulama Indonesia, dalam keadaan darurat, jenazah korban sedemikian diuruskan sesuai dengan keadaan lapangan.

“Dalam hal ini, mangsa perlu segera dikebumikan dalam kubur yang digali menggunakan jengkaut secara beramai-ramai tanpa mengasingkan lelaki dan wanita, beragama Islam atau bukan Islam.

“Mereka juga tidak dimandikan dan dikafankan. Begitupun, mereka perlu diletak ke dalam liang secara tertib satu persatu dan diuruskan secara beradab,” jelasnya.

Mayat reput

Berkongsi kaedah menguruskan jenazah reput, beliau berkata, jenazah cukup sekadar dialirkan air dan sabun tanpa menggosok secara langsung bagi mengelakkan kulit mereka tertanggal. Bagi kategori mayat berulat pula, memadai membuang ulat hanya di bahagian luar tubuh.

Katanya, urusan mengurus mayat bukanlah proses yang begitu menyulitkan dengan proses mandi misalnya mengambil masa sekitar 15 hingga 20 minit iaitu seumpama mandi wajib yang memerlukan air diratakan seluruh tubuh.

Pengurus jenazah juga perlu memakai pakaian khas meliputi topi dan kasut but bagi mengurus mayat individu yang menemui ajal akibat penyakit HIV, tibi dan virus Influenza A (H1N1).

“Bagi mayat yang sudah reput kita akan tambah daun pandan selain kapur barus, cendana untuk menghilangkan bau.

Seorang sukarelawan SPJ dari Bandar Saujana Putra, Selangor, Wan Hafizo Wan Hussin, 38, menyifatkan penyertaannya dalam skuad itu menyuntik rasa kepuasan dan ketenangan yang sukar diungkap dengan kata-kata.

“Pernah van jenazah yang dipandu dirempuh pemandu mabuk. Ketika itu saya memandu bersendirian dalam perjalanan pulang selepas menghantar jenazah ke Kelantan.

“Kerja amal ini saya lihat sebagai satu bentuk pengisian jiwa dalam mengingati detik kematian terutamanya apabila mengurus mereka yang meninggal dunia akibat kemalangan,” tuturnya.

Sementara itu, Penyelia Tanah Perkuburan Taman Ibu Kota Setapak, Nor Azli Burhan, 47, berkata, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan SPJ dalam menguruskan jenazah di tanah perkuburan kariahnya.

“Saya akan bersiap siaga sebaik sahaja menerima panggilan daripada SPJ apabila melibatkan urusan menggali kubur di kawasan tanah perkuburan kariah saya.

“Kami akan saling membantu terutamanya dalam urusan pengebumian jenazah,” ujarnya.

Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJ) yang bergerak secara rasmi bermula tahun 2018 rela berkhidmat 24 jam dengan bilangan ahli sudah mencecah 1,000 orang di seluruh negara.