Gadis manis yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air itu meminta dilemanya diceritakan kerana dia benar-benar buntu dengan sikap teman lelaki yang cukup disayanginya.

Membuka cerita, Fika memberitahu, perkenalannya dengan Man (bukan nama sebenar) bermula ketika dia baru bekerja sebagai seorang akauntan di sebuah syarikat swasta di ibu kota lebih tiga tahun lalu.

“Man merupakan senior saya dan dia sering melayan saya dengan baik. Saya mendapat tahu dia baru putus tunang dan amat menyukai saya.

“Pada mulanya, saya jual mahal. Maklumlah, sebagai wanita saya perlu uji keikhlasannya.

“Begitu pun, Man tidak pernah putus asa untuk menambat hati saya sehingga akhirnya akur pada kesungguhan jejaka tersebut,” jelas Fika.

Tambah Fika, Man merupakan seorang lelaki yang baik dan menyebabkan dia tidak teragak-agak untuk menerima cinta lelaki tersebut.

“Saya mempunyai masa silam yang gelap. Sejujurnya, saya amat malu dengan diri sendiri kerana sebelum ini, saya dan bekas teMan lelaki hidup tidak ubah bagai pasangan suami isteri.

“Kami kerap berzina dan saya pernah menggugurkan kandungan hasil bersekedudukan dengannya sekitar tahun 2014.

Mahu berubah

“Begitu pun, selepas hubungan kami berakhir, saya nekad untuk berubah kerana sudah muak hidup dalam dosa,” dedah Fika.

Perkenalannya dengan Man yang baik dan kuat agama menjadikan Fika tenang dan percaya bahawa lelaki itu sesuai dijadikan suami.

Biarpun tahu tentang kisah silam Fika, Man tetap menerima kehadirannya.

Man juga amat menjaga maruah Fika dan sering berdoa supaya istiqamah dalam perubahannya.

Namun, selepas perkenalan mereka memasuki usia setahun, Fika mula mengesan perubahan pada sikap Man.

Lelaki itu mula meminta nafsunya dipuaskan dan ini benar-benar membuatkan Fika terkejut.

“Pada mulanya, saya menyangka Man hanya bergurau kerana dia yang saya kenali sangat baik. Dia juga sering menyuruh saya untuk menjaga aurat dan batas-batas pergaulan.

Mula meraba

“Begitu pun, suatu hari, semasa kami berada di dalam kereta, Man tiba-tiba meraba saya. Ini menyebabkan saya menjadi amat marah,” tutur Fika.

Mereka bertengkar besar kerana Fika tidak boleh menerima tindakan Man yang bertunjangkan nafsu.

Man bagaimanapun meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Begitu pun, janji lelaki itu hanya di bibir apabila tidak lama kemudian, Man mula menghantar gambar-gambar lucah dan tanpa segan silu meminta Fika untuk memuaskan nafsunya.

Menurut Fika, Man sering mengajaknya untuk tidur di rumahnya, menjadikan dia mulai berasa jengkel dengan sikap lelaki itu.

“Saya benar-benar mahu berubah menjadi lebih baik, namun sikap Man pula menguji kesabaran saya.

“Tanpa segan silu, dia mengakui sakit hati kerana dia tidak dapat apa yang bekas teman lelaki saya dapat, lalu dia dihurung rasa cemburu,” jelas Fika dalam nada kesal.

Gadis tinggi lampai itu benar-benar terkejut dengan pengakuan Man dan tidak menyangka dia sebenarnya sama seperti lelaki lain yang hanya memikirkan tentang nafsu.

“Akibat kecewa dan ingin mencari jalan penyelesaian terbaik, saya memintanya untuk mempercepatkan pernikahan kami.

“Begitu pun, Man enggan dan memberi alasan dia masih belum mempunyai wang yang cukup untuk berkahwin memandangkan sebuah perkahwinan memerlukan belanja besar. Dia juga berkata mengapa perlu berkahwin dengan saya sekiranya bekas teman lelaki boleh meniduri saya tanpa perlu bernikah,” kata Fika.

Bertengkar besar

Hampir setiap hari, Man akan cuba menggoda Fika supaya menidurinya.

Keengganan Fika menjadikan lelaki itu sering marah lalu mereka akan bertengkar besar.

Man juga sering mengugut untuk memutuskan hubungan dengan Fika sekiranya gadis itu terus-terusan menolak permintaannya.

“Saya pernah memutuskan hubungan dengannya, namun kami menyambung semula perhubungan selepas Man merayu dan memberikan alasan dia cukup sayangkan saya.

“Begitu pun, selepas kami berbaik, Man sering mengungkit kesilapan silam saya dan mengakui cemburunya terhadap bekas teman lelaki masih bersisa selagi tidak memuaskan nafsu serakahnya.

“Sejujurnya, saya mulai rimas dengan Man kerana dia benar-benar hipokrit,” kata Fika.

Kini, gadis itu berharap agar Man berubah atau dia tidak akan teragak-agak untuk meninggalkan lelaki itu.

Fika rimas apabila teman lelakinya, Man yang cukup alim mahu Fika berubah dan menutup aurat, namun setiap hari dia akan menggoda gadis itu serta memaksanya untuk memuaskan nafsu serakahnya.