gadis itu berdiri di hadapan bahagian alat tulis, namun pada masa sama matanya melirik ke rak makanan ringan yang berada bersebelahan.

Niatnya yang mahu membeli pen dan kertas kajang tersasar selepas bakul kosong yang dibawa dipenuhi barangan plastik, sabun pencuci dan makanan ringan

“Ini selalu terjadi jika saya ke kedai RM2. Pernah sekali saya datang mahu membeli penyapu tetapi pulang dengan tiga beg plastik penuh berisi barang.

“Saya percaya hal ini dialami ramai pelanggan kedai seumpama ini. Manakan tidak, semua barang yang diperlukan isi rumah dijual pada harga murah serendah RM2 malah, barang keperluan sekolah, mainan dan barangan kaca terdapat di kedai-kedai ini,” kata seorang pelajar, Soffia Nabilah Kamarul Ismail, 18, ketika ditemui Kosmo! di kedai My RM2 Shop di Antara Gapi, Rawang, Selangor baru-baru ini.

Pada harga serendah itu, dia dapat membeli antara sembilan ke 10 item dengan hanya RM20.

Perkara sama turut dialami seorang suri rumah di Kuantan, Pahang, Zamzurina Ahmad, 35, yang memberitahu, kedai harga murah seperti RM2 adalah lokasi yang sering dikunjungi untuk mendapatkan barang keperluan rumah.

“Kedai-kedai seperti RM2, Mr.DIY dan Daiso ada banyak barang di bawah satu bumbung. Saya tidak perlu lagi ke dua atau tiga kedai yang berbeza untuk mencari barang. Malah, harganya jauh lebih murah, contohnya Daiso menjual majoriti barang pada harga RM5.57 seunit,” ujarnya.

Konsep

Konsep kedai harga murah difahamkan bermula dengan sebuah kedai di Amerika Syarikat, Dollar Tree yang menjual barangan keperluan pada harga AS$1 (RM4.20)sejak tahun 1986.

Di Malaysia konsep perniagaan seumpama itu bermula dengan kedai RM2 yang bertapak sejak tahun 2000 namun perniagaan itu tidak menjadi bualan ramai sehingga ia tular tahun lalu.

Kewujudan kedai RM2 telah berkembang kepada pembukaan perniagaan barangan murah seperti Mr.DIY, Speedmart 99 dan Daiso yang menawarkan harga runcit yang lebih rendah daripada pasaran malah.

Kebanyakan kedai seumpama itu menjual barangan seperti produk kesihatan dan kecantikan, makanan ringan, keperluan majlis, hiasan bermusim, peralatan rumah, barang kaca, peralatan makanan, bekalan pembersihan rumah, gula-gula, mainan, cenderamata, beg dan pembalut hadiah, alat tulis, keperluan haiwan kesayangan, serta buku.

Penolong Dekan Keusahawanan dan Kreativiti, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Noor Azuan Hashim menjelaskan, kedai harga murah boleh dikategorikan sebagai perniagaan yang menjual barangan dalam konsep runcit dengan harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Kedai murah adalah kedai yang menawarkan produk mampu dibeli oleh pengguna dan tidak terlalu menitikberatkan jenama mahupun kualiti sesuatu produk.

“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang ini, ramai orang lebih gemar berbelanja di tempat yang murah. Walau bagaimanapun, kedai sebegini juga dikunjungi oleh pengguna yang mampu berbelanja lebih tetapi inginkan barangan yang lebih murah dan berpatutan,” katanya.

Tambah beliau, kedai harga murah mempunyai kuasa promosi tersendiri menerusi tawaran harga terendah yang menarik minat orang ramai untuk datang dan membeli-belah.

Potensi

Menurut Noor Azuan lagi, kedai harga murah dapat menawarkan satu peluang perniagaan yang boleh berjaya kerana terdapat beribu jenis barang (berbeza kategori) dijual.

“Mempromosikan harga yang sedemikian dapat menarik minat lebih ramai pelanggan. Tanpa disedari, pelanggan selalunya cenderung membeli barangan yang tidak perlu tetapi puas dan seronok kerana dapat memiliki barangan pada harga yang murah.

“Pengusaha juga perlu bijak memilih barangan yang hendak dijual agar stok barangan sentiasa terjual dan tidak menyimpan stok lampau. Pengusaha juga perlu buat analisis barangan yang mudah terjual dan yang memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, pengusaha kedai barangan murah, My RM2 Shop di Antara Gapi, Rawang, Selangor, Lailatul Sapina Abd. Aziz, 47, memilih untuk membuka kedai RM2 selepas melihat potensinya yang memberangsangkan khususnya buat pembeli daripada kelas pertengahan.

Ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui memperoleh keuntungan antara RM5,000 ke RM6,000 sebulan meskipun baru membuka kedai berkenaan sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, perancangan membuka kedai RM2 merupakan idea anaknya yang percaya bahawa perniagaan tersebut menguntungkan selain kawasan kediamannya itu belum ada kedai sedemikian.

“Saya tidak menyangka bahawa kedai saya mendapat sambutan yang menggalakkan selepas sebulan ia dibuka sehingga banyak barang kehabisan stok dalam masa yang singkat.

Modal

“Di kedai ini, saya menjual barangan keperluan dapur, hiasan rumah, mainan, makanan dan pelbagai lagi dengan kesemuanya berharga RM2.10 termasuk cukai SST,” jelas wanita asal Beruas, Perak itu.

Tambahnya, dia memulakan perniagaan tersebut dengan modal kasar kira-kira RM20,000 dan mendapatkan stok barangan terus daripada kilang serta pembekal tempatan.

Jelas Lailatul Sapina, selain barang-barang daripada pembekal, dia turut menjual item dengan jenama sendiri seperti makanan ringan dan produk pembersih yang dipek semula sesuai pada harga RM2.

“Setiap produk mempunyai keuntungan sekitar 40 hingga 50 peratus seunit dan bagi membezakan kedai saya dengan premis RM2 yang lain, saya juga menjual barangan jenama sendiri.

“Sebagai kedai RM2, persaingan tetap ada memandangkan lokasi premis saya juga dekat dengan kedai harga rendah yang lain, namun ia tidak menjejaskan perniagaan kerana pelanggan tetap akan ke kedai saya untuk membandingkan harga sebelum membeli,” ujarnya.

Tambahnya lagi, sepanjang membuka kedai RM2, soal kualiti kurang dipersoalkan oleh pelanggan kerana mereka sedia maklum ia setara harga yang ditawarkan.