PADA pagi yang hening itu, seorang lelaki hanya mampu melutut tatkala menyaksikan tanamannya musnah dalam sekelip mata.

Sambatan Gunsalahon, 67, seakan-akan bermimpi melihat tanaman yang menjadi punca pendapatan keluarga sejak sedekad lalu lenyap ditenggelami banjir lumpur.

Tiada lagi pasir putih halus di pesisiran sungai. Sebaliknya, yang tinggal hanya lumpur bersama batu-bata pergunungan akibat gempa bumi yang melanda Gunung Kinabalu, Ranau, Sabah.

“Saya masih ingat lagi gegaran gempa bumi yang kuat untuk tempoh beberapa minit. Susulan gegaran tersebut, saya mendengar bunyi aliran air seperti deruman di kawasan kebun yang terletak di belakang rumah.

“Saya hanya mampu berdoa dan berharap tiada perkara buruk yang berlaku. Selepas bunyi itu reda, saya pergi melihat tanaman. Saya tidak mampu berkata apa-apa,” katanya.

Gempa bumi berukuran 5.9 skala Ritcher yang melanda Gunung Kinabalu pada tahun 2015 terpahat sebagai titik hitam bagi rakyat di Negeri di Bawah Bayu itu.

Tragedi itu sekali gus memberi kesan kepada penduduk yang bercucuk tanam di kawasan tanah berdekatan Sungai Melangkap.

Landskap

Banjir lumpur tersebut mengubah landskap sungai, tanah tidak lagi subur dan dipenuhi batu-batu dari kawasan pergunungan.

“Dulu di sini terdapat dua aliran sungai, tetapi sejak tragedi tahun 2015, aliran sungai berubah menjadi satu.

“Dasar sungai yang dahulu dipenuhi pasir, kini dipenuhi batu,” katanya yang mengalami kerugian mencecah RM100,000 ekoran kejadian banjir lumpur itu. Bekas tapak kawasan kebunnya terbiar hampir dua tahun sebelum diusahakan sebagai lokasi percutian keluarga,” katanya.

Enggan bersedih terlalu lama, dia dan keluarga nekad membangunkan sesuatu di bekas tapak kawasan kebun itu.

Kawasan itu dibersihkan dan dibangunkan sebagai tarikan pelancongan. Polumpung Melangkap View Camp Site yang lahir pada awal tahun 2017 memberi sinar baharu buat keluarga itu.

Percaturan Sambatan dan sembilan anaknya menjadi apabila Polumpung Melangkap View Camp Site menerima pertambahan taburan pengunjung saban tahun.

Dinamakan sempena gabungan bahasa Dusun iaitu Polumpung yang membawa maksud kawasan kepulauan, tapak perkhemahan itu kini menerima sehingga 500 pengunjung setiap minggu.

Akses jalan raya antara faktor utama Polumpung Melangkap View Camp Site menjadi pilihan pengunjung.

Terletak dalam daerah Kota Belud di perkampungan Melangkap, lokasi Polumpung Melangkap View Camp Site terletak antara daerah Kota Kinabalu dan Ranau.

Pengunjung hanya perlu memandu kira-kira dua jam untuk ke tapak perkhemahan.

Menurut Sambatan, cabaran utama pihak pengurusan ialah memastikan nilai alam semula jadi dan persekitaran Sungai Melangkap kekal untuk tatapan pengunjung.

“Pengunjung yang datang ke kawasan ini menantikan panorama puncak Gunung Kinabalu yang jelas kelihatan dari kawasan perkhemahan,” katanya.

Bagaimanapun pengunjung hanya berpeluang menyaksikannya pada waktu-waktu tertentu. Keindahan puncak Gunung Kinabalu dapat dilihat secara jelas antara pukul 7 pagi hingga 10 pagi atau 3 petang hingga 4 petang.

Maklum balas

Bagaimanapun katanya, ia bergantung kepada keadaan cuaca dan kabus di kawasan pergunungan.

Polumpung Melangkap View Camp Site diuruskan sepenuhnya oleh Sambatan dan sembilan anaknya.

Sehingga kini, Sambatan telah membelanjakan hampir RM100,000 melibatkan penyediaan peralatan perkhemahan dan kemudahan asas seperti tandas, dewan dan persekitaran yang selamat untuk para pengunjung.

Kini Polumpung Melangkap View Camp Site mempunyai kira-kira 100 buah khemah, termasuk kemudahan barbeku, dapur arang dan moden.

“Pada masa depan, kita bercadang membuka restoran untuk kemudahan pelancong kerana akses ke pekan Kota Belud mengambil masa pemanduan kira-kira 30 minit.

“Pembinaan surau dan tempat persalinan selesa juga antara sasaran kami pada masa akan datang,” katanya.

Kedatangan pengunjung sering meninggalkan maklum balas positif sehingga ia tular di laman sosial.

Peningkatan jumlah pengunjung membuatkan anak bongsu Sambatan, Lesli Jones, 26, berhasrat membangunkan aplikasi khusus dengan maklumat lengkap mengenai kawasan perkhemahan itu.

“Pada masa kini semua orang mempunyai telefon pintar. Pada pendapat saya, kita boleh memperbaiki perkhidmatan dan menyalurkan informasi tepat melalui kewujudan aplikasi,” katanya.

Tambahnya, sasaran utama pengurusan dalam membangunkan aplikasi itu ialah memudahkan para pengunjung melakukan tempahan pada masa akan datang.

Katanya, pada masa kini tempahan pelanggan bergantung sepenuhnya di aplikasi WhatsApp dan Facebook.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu yakin selain menawarkan lokasi pelancongan menarik, kepuasan pengunjung antara sasaran Polumpung Melangkap View Camp Site untuk terus bertahan sebagai tarikan pelancongan di daerah Kota Belud.

Pembukaan tapak perkhemahan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada keluarga Sambatan, malah turut menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.

Biarpun diuruskan ahli keluarga, pihak pengurusan turut membuka peluang pekerjaan secara sambilan terutama dalam kalangan belia, suri rumah dan ibu tunggal.

Leslie yang baru setahun berkhidmat di tapak perkhemahan itu memberitahu, pihaknya membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat untuk menambah pendapatan. Keutamaan mereka adalah dalam kalangan penduduk setempat.

Bermalam di Polumpung Melangkap View Camp Site ternyata memberi pengalaman berbeza terutama kepada mereka yang ingin merasai percutian berkonsepkan alam semula jadi.

Berbanding tidur dalam bangunan beralaskan tilam empuk, Polumpung Melangkap View Camp Site menyediakan khemah untuk para pengunjung.

Pilihan

Pengunjung diberi pilihan untuk memilih tapak perkhemahan masing-masing mengikut kesesuaian lokasi dan nasihat kakitangan.

Keadaan suhu serendah sehingga 20 darjah Celsius pasti memberikan peluang kepada pengunjung menghirup udara segar di kawasan perkampungan berkenaan.

Seorang pengunjung, Royan Aidi, 26, teruja merasai pengalaman baharu bermalam dan menikmati kesejukan Sungai Melangkap.

Katanya, pengalaman baharu itu dibayar pada harga yang berpatutan semata-mata mahu mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

“Bayangkan suasana pada malam hari yang sangat sejuk dan kita mendengar air sungai mengalir tenang, ia perasaan yang sukar untuk kita gambarkan.

“Lokasi Polumpung Melangkap View Camp Site ini sangat strategik kerana ia terletak antara Ranau dan Kota Kinabalu dan mempunyai akses jalan raya yang memudahkan para pengunjung,” katanya yang bermalam selama sehari bersama rakan sekerja.