Disebabkan dia merupakan satu-satunya dalam kalangan adik-beradiknya yang tinggal di rumah nenek di Sri Kembangan, Selangor ramai beranggapan dia merupakan remaja bermasalah.

Kejadian itu bukan sahaja menimbulkan rasa terkilan dan sedih buat Fara Umira Abd. Halim, 26, malah berasa kasihan terhadap neneknya, Arpah Md. Nor, 71, yang turut sama terkena tempias pandangan jiran tetangga.

Bagi membuktikan tanggapan tersebut salah, bekas penuntut Kolej Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur itu berazam untuk mencari pekerjaan yang dapat membuka mata masyarakat di luar sana.

“Memandangkan adik-beradik lain semuanya tinggal dengan ayah di Melaka, ramai orang pandang serong tentang saya. Ada yang beranggapan saya tinggal dengan nenek disebabkan saya anak liar.

“Cemuhan itu menjadikan saya lebih bersemangat untuk membuktikan tanggapan itu tidak benar dan saya juga mempunyai masa depan,” ujarnya ketika ditemui K2 di stesen monorel KL Sentral, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Skeptikal

Ternyata, tohmahan dan nista yang dilemparkan masyarakat di luar sana menjadi pemangkin kepada wanita berwawasan tinggi itu untuk mendapatkan sebuah pekerjaan yang mampu mengejutkan dan membuka mata orang ramai tentang keupayaannya.

Anak sulung daripada lapan beradik itu bertekad untuk mengubah nasib diri. Fara merupakan anak yatim yang kehilangan ibu sejak di tingkatan empat.

Fara telah menyertai Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) pada November 2017 dan pada masa ini, dia merupakan satu-satunya pemandu tren monorel atau kapten monorel wanita yang pada dasarnya dimonopoli oleh kaum lelaki.

Sebelum ini, terdapat seorang wanita yang turut menggalas tanggungjawab sama, namun dia sudah dinaikkan pangkat dan tidak lagi menjadi kapten monorel.

Tidak seperti tren Stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) yang boleh dikendalikan secara automatik, monorel menerusi perkhidmatan KL Monorail memerlukan pemandu bagi membolehkannya bergerak.

Siapa sangka, gadis bertubuh kecil yang mempunyai berat hanya 47 kilogram (kg) ini adalah antara pengemudi kenderaan awam yang beratnya mencecah 25 tan metrik itu.

“Saya tidak sangka rezeki saya berada dalam bidang pengangkutan awam. Walaupun pada awalnya saya berasa skeptikal tentang kerjaya ini, namun segala-galanya berubah selepas saya berjaya menggerakkan koc.

“Saya gembira dan berasa puas apabila dapat membantu melancarkan perjalanan orang ramai ke destinasi masing-masing selain berpelung mempelajari banyak perkara tentang selok-belok kenderaan awam,” terangnya sambil memaklumkan pada awalnya, neneknya tidak tahu yang dia mengikuti latihan membawa tren.

Hanya selepas menamatkan latihan dan kursus selama tiga bulan di akademi Prasarana barulah dia memaklumkan kepada neneknya.

“Sejak mengetahui kerjaya saya itu, hampir setiap hari nenek akan bertanya sama ada saya boleh atau tidak mengendalikan pengangkutan awam tersebut,” ujarnya berkongsi tentang keterujaan neneknya.

Berkongsi pengalaman mengenai pengendalian kenderaan itu, Fara berkata, tren itu memerlukan pemandu untuk mengawal kelajuan, memperlahankan dan memberhentikannya dengan menggunakan pedal tangan yang dikendalikan menggunakan tangan kiri.

Malah, terdapat beberapa butang yang harus dikawal Fara antaranya butang membunyikan hon jika penumpang tidak mengikuti peraturan, butang membuka pintu tren dan butang pengumuman stesen.

K2 yang berpeluang melihat gaya Fara mengendalikan tren dua koc berkenaan baru-baru ini percaya bukan calang-calang individu boleh menggalas tanggungjawab mengendalikan kenderaan di atas landasan tinggi itu.

Gangguan

Menghabiskan masa lapan hingga sembilan jam setiap hari sebagai kapten monorel, Fara perlu sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan pada masa sama mengawal tren, memfokuskan pandangan kepada landasan dan mendengar arahan daripada pusat kawalan operasi.

“Antaranya saya perlu peka dengan cermin besar yang terdapat pada hujung setiap stesen monorel bagi memastikan penumpang selamat keluar dan masuk koc. Ia memudahkan saya menentukan masa yang sesuai untuk membuka dan menutup pintu koc. Anggaran masa pintu dibuka di sesebuah stesen adalah selama dua minit.

“Jika terlihat Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas mahupun keluarga dengan kereta sorong bayi, saya perlu memberikan sedikit masa kepada mereka sebelum menekan punat menutup pintu,” terangnya yang pernah bekerja sebagai juruteknik makmal sebelum ini.

Tambahnya, ada juga segelintir masyarakat beranggapan memandu tren satu kerja mudah kerana sudah ada landasan yang disediakan tetapi percayalah ia lebih daripada itu.

“Saya perlu sentiasa memerhatikan keadaan landasan dan berwaspada sekiranya terdapat halangan di landasan misalnya terdapat batu,” ujarnya.

Bercakap tentang cabaran, sebagai seorang wanita, Fara mengakui turut berdepan dengan gangguan daripada penumpang lelaki.

“Pernah terjadi penumpang lelaki mengetuk-ngetuk pintu mengganggu saya. Mula-mula mereka bertanyakan soalan. Saya menjawab dengan baik, kemudian berlebih-lebihan pula.

“Terus saya mendiamkan diri dan fokus dengan pemanduan. Saya tidak mahu konsentrasi saya terjejas,” ujarnya sambil memaklumkan menjadi kapten wanita turut memerlukan kekuatan mental.

Tambahnya, bukan mudah menjadi kapten wanita kerana dia juga pernah dimarahi dan dicemuh kerana tren tiba lewat atau tidak bergerak.

“Memang rasa nak menangislah bila ada penumpang yang marah-marah. Mereka tidak faham kadangkala ada monorel di hadapan yang mengalami kerosakan tetapi penumpang ingat kami sahaja tidak mahu bergerak.

“Kalau saya rasa sedih sangat atau geram, saya akan diam sebentar dan tarik nafas dalam-dalam, kosongkan minda kemudian meneruskan perjalanan,” katanya yang masih bujang.

Disiplin

Bekerja sebagai kapten monorel juga memerlukan Fara sentiasa berdisiplin dengan masa. Jika bekerja pada syif pagi, dia perlu bangun seawal pukul 3 pagi untuk memulakan tugas pada 4.30 pagi dan berakhir pada 2.30 petang, manakala syif malam pula bermula dari pukul 2.30 petang hingga 12 tengah malam.

Walaupun monorel hanya akan mula bergerak pada pukul 6 pagi tetapi dia perlu datang awal untuk melakukan pemeriksaan koc yang akan dikendalikan pada hari berkenaan.

Terdapat senarai semak yang perlu dipatuhi sebelum memulakan tugas seperti memastikan koc berada dalam keadaan bersih dan baik.

Lazimnya, untuk melakukan satu pusingan lengkap bermula dari stesen KL Sentral sehingga ke stesen Titiwangsa kemudian berpatah balik, Fara akan mengambil masa selama 45 minit.

Namun, katanya ia bergantung kepada keadaan sama ada waktu lengang atau sesak.

Hakikatnya, bukan mudah untuk menjadi pemandu kenderaan awam yang boleh membawa maksimum 214 penumpang dalam satu masa itu.

“Setiap pekerjaan pasti ada senang dan susahnya. Kita perlu menghadapi ujian itu dengan bijak supaya tidak tertekan.

“Saya akan terus berusaha dalam bidang ini. Jika diberi kesempatan saya juga teringin untuk cuba membawa pelbagai jenis tren lain terutamanya yang terdapat di luar negara,” katanya.

Pada masa ini, Fara Umira Abd. Halim, 26, merupakan satu-satunya pemandu wanita monorel iaitu tren di ibu kota yang tidak bergerak secara automatik sebaliknya memerlukan 100 peratus khidmat pemandu.