Itu reaksi Muhammad Mustafah Abdullah, 47, yang merupakan seorang mualaf setelah disenarai pendek oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) bagi menunaikan ibadah berkenaan selama 12 hari di dua kota suci bawah jagaan, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang memeluk Islam sejak lima tahun lalu itu memberitahu, dia sudah menanam hajat untuk ke Tanah Suci sejak dua tahun lalu.

Namun, atas faktor kekangan kewangan dan statusnya sebagai orang kelainan upaya menyebabkan hasratnya itu terpaksa ditangguhkan.

Dia yang mengalami kecacatan fizikal kudung jari kaki dan tangan sejak dilahirkan bagaimanapun tidak pernah melupakan impiannya itu untuk menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah.

“Kegembiraan apabila mengetahui akan menjadi tetamu Allah hanya dapat dizahirkan dengan air mata dan saya tidak putus-putus melakukan solat taubat serta solat hajat dalam tempoh dua minggu sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Persiapan rapi untuk menunaikan umrah ini saya buat dengan bantuan seorang rakan sebaik menerima panggilan daripada petugas Perkim iaitu Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah pada 11 April lalu,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sayu

Mengulas mengenai pengalaman sepanjang berada di kota suci, Muhammad Mustafah meluahkan rasa terujanya apabila dapat mengerjakan segala ibadah dengan kudrat sendiri walaupun dirinya memiliki kekurangan.

Pada mulanya persoalan yang kerap terlintas di kepalanya, adakah sukar untuk melaksanakan ibadah itu dan mampukah dia melaksanakannya dengan sempurna?

Namun, semua itu hilang daripada fikiran, sebaliknya perasaan sayu dan gembira hadir apabila dia dapat melaksanakan segala ibadah di rumah Allah tanpa menggunakan kerusi roda walaupun pusingan sai’e memerlukan tenaga ekoran jaraknya hampir tiga kilometer untuk melengkapkan tujuh pusingan.

“Walaupun kurang pengetahuan dalam ilmu agama, namun tunjuk ajar dan bantuan yang dihulurkan pihak Andalusia khususnya mutawif dalam mengerjakan umrah membolehkan saya melakukan ibadah tersebut dengan sempurna,” ujarnya yang kini menetap di Setapak, Kuala Lumpur.

Kerjasama

Muhammad Mustafah merupakan salah seorang daripada 394 jemaah asnaf merangkumi penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masyarakat Orang Asli dan mualaf yang dipilih dari seluruh negara untuk menyertai Program Umrah Jelajah Kasih 3.0 mulai 24 April hingga 8 Mei lalu.

Program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Andalusia itu merupakan projek kerjasama strategik bagi memberi peluang terutamanya untuk golongan warga emas yang kurang berkemampuan menunaikan ibadah umrah.

Selain itu, aktiviti ziarah juga diselitkan dengan sesi penerangan oleh mutawif yang berpengalaman untuk memberi kefahaman lebih jelas kepada para jemaah.

Antara lokasi yang dilawati ialah Bukit Uhud, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Masjid Quba, Muzdalifah, Mina, Masjid Ja’ranah, Masjid Saidina Aisyah dan Masjid Hudaibiyah.

Sementara itu, bagi ibu tunggal, Sahara Mohammed, 62, pula menyifatkan peluang melangkah kaki ke Tanah Suci itu sebagai satu hadiah yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.

Dia yang dipilih oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kawasan Banting, Selangor memberitahu, peluang untuk menunaikan umrah ini bukan sahaja buat dirinya tetapi dia juga berjaya melaksanakan umrah badal buat arwah suaminya yang sudah meninggal dunia empat tahun lalu.

Selain mengerjakan umrah, Sahara juga menyifatkan perjalanannya ke Tanah Suci itu amat istimewa apabila dirinya dapat bersama-sama umat Islam seluruh dunia menunaikan solat tarawih di Masjid Nabawi yang menempatkan makam Nabi Muhammad SAW.

“Tak sangka terpilih untuk ke sana pada usia senja sebegini tambahan pula, mak cik tersenarai dalam golongan asnaf yang tidak berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan bagi menunaikan umrah.

“Selalu mak cik lihat Kaabah di kaca televisyen sahaja tapi apabila menyaksikan ia di depan mata dengan kudrat yang masih sihat membuatkan diri ini terasa kerdil,” kata ibu kepada 16 cahaya mata itu.

Buta huruf

Saat mengimbau semula terpilih sebagai salah seorang jemaah yang bakal mengerjakan umrah, peniaga sate itu mula sebak dan mengalirkan air sebelum menjelaskan segala persiapan menunaikan umrah itu dipermudahkan walaupun dirinya buta huruf.

“Mak cik tidak mempunyai sebarang pendidikan, namun urusan pasport dan segala dokumen yang diperlukan disediakan dengan bantuan anak.

“Pada mulanya perasaan bimbang menyelubungi diri, namun semua itu hilang sebaik kaki kanan melangkah masuk ke Masjidilharam pada waktu malam bagi melaksanakan umrah pertama,” katanya sambil menambah dia menunaikan umrah sebanyak tiga kali walaupun bertemankan terik matahari.

Tambah Sahara, pengalaman memasuki Raudhah di dalam Masjid Nabawi tidak akan dilupakannya walaupun terpaksa berasak dengan orang asing yang berlumba-lumba mahu menunaikan ibadah, namun petugas di masjid itu mudah mengenali jemaah Malaysia dengan telekung putih.

“Memasuki Raudhah ada jadualnya, kena sabar menunggu, diatur juga mengikut zon negara tertentu bagi memudahkan semua jemaah dapat memenuhi ruang tersebut bagi menyempurnakan solat sunat serta menyampaikan salam kepada Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Tatkala jemaah lain mempunyai kudrat yang terbatas ekoran sudah dimamah usia, berlainan pula dengan situasi Muhammad Shahrizan Sabidin, 18, yang merupakan jemaah termuda mengikuti program tersebut.

Dia yang terpilih menjadi tetamu Allah menerusi program tersebut susulan mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia memberitahu, peluang mengerjakan ibadah itu pada usia muda dimanfaatkan sepenuhnya termasuk melaksanakan perkara-perkara sunat.

“Biarpun berdebar-debar tapi hati saya amat teruja apabila menerima tawaran ke Mekah untuk menunaikan ibadat dan menziarahi makam Rasulullah SAW di Madinah.

“Setiap pengalaman yang ditimba sewaktu saya menunaikan umrah ini boleh dijadikan bekalan untuk saya menunaikan haji suatu masa nanti,” kata anak yatim berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu yang sebelum ini bersekolah di Sekolah Menengah Agama Haji Mohd. Yatim, Rembau.