Tidak semena-mena, aroma enak masakan yang sedang dimasak menerobos masuk ke rongga hidung kami.

Sebaik salam dihulurkan, Marziana yang juga merupakan pengasas kumpulan sukarelawan We Love Charity (WLC) mempersilakan kami masuk ke dalam rumah teres dua tingkat yang didiaminya.

Sementara langkah diatur, kami sempat mengintai sudut dapur kediaman tersebut. Biarpun pada waktu itu jam di dinding baru sahaja menunjukkan pukul 11 pagi, namun beberapa orang wanita yang berada di dapur berkeluasan kira-kira 30 meter persegi itu dilihat begitu sibuk berperang dengan perkakas memasak masing-masing.

“Mereka ini merupakan antara sukarelawan yang menjadi penggerak utama WLC iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

“Ini merupakan antara dapur utama yang digunakan untuk memasak makanan berbuka buat gelandangan sepanjang bulan Ramadan.

“Pada hari ini, kami memasak enam jenis juadah berbuka untuk dijamu kepada kira-kira 200 orang gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, petang nanti,” tutur Marziana memulakan bicara.

Walaupun kerja-kerja tersebut dilakukan secara sukarela, namun riak gembira jelas terbayang pada wajah masing-masing. Hati kami mula tercuit kagum tatkala melihat aktiviti memasak itu diselangi dengan gelak ketawa serta gurau senda daripada insan-insan berhati mulia itu.

Apa yang lebih mengagumkan kru Panorama ialah, ketika insan lain sedang sibuk memikirkan juadah enak yang ingin dinikmati sebaik tibanya waktu berbuka puasa, mereka pula sibuk sibuk menyediakan juadah untuk insan yang kurang bernasib baik.

Para sukarelawan wanita ini sanggup mengenepikan selera dan keinginan masing-masing sebaliknya bertungkus-lumus menyiapkan juadah berbuka puasa untuk dijamu kepada sekumpulan gelandangan sebaik azan Maghrib berkumandang.

“Sejak ditubuhkan pada tahun 2015, ini merupakan antara projek tahunan yang wajib kami lakukan setiap kali tibanya bulan Ramadan.

“Jika tahun-tahun sebelumnya kami menghidangkan juadah yang disumbangkan oleh orang ramai kepada kumpulan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur, namun berbeza pula tahun ini apabila kami sendiri mengambil alih tugas memasak dan menyiapkan juadah tersebut untuk mereka.

“Walaupun memasak dalam kuantiti yang banyak ketika sedang berpuasa, namun kami langsung tidak merasa letih. Sebaliknya, seronok dan terasa kemeriahan berpuasa.

“Lebih-lebih lagi apabila juadah yang dimasak sedia untuk dihidangkan,” jelasnya.

Lengkap nutrien

Menurut Marziana lagi, sebagai sebuah badan NGO, mereka bergantung sepenuhnya dana daripada sum­bangan orang ramai. Justeru cerita bekas kontraktor itu lagi, kesemua barangan yang dibeli dan dimasak sepanjang bulan tersebut menggunakan sepenuhnya wang yang didermakan kepada badan tersebut.

Bagi projek itu, Marziana menjelaskan, WLC memperuntukkan sebanyak RM7 untuk memasak sajian berbuka puasa untuk seorang gelandangan.

“Selalunya keseluruhan proses memasak mengambil masa kira-kira dua hari termasuk proses pembelian barang, pemotongan bawang dan sayur-sayuran sehinggalah proses memasak.

“Percaya atau tidak, kesemua proses memasak ini dilakukan sendiri oleh sukarelawan-sukare­lawan WLC yang hanya dianggotai oleh kira-kira 15 individu sahaja,” jelasnya.

Disebabkan ruang memasak yang agak terhad, Marziana me­ngakui kesemua tugasan tersebut akan diagih-agihkan sesama mereka yang mana sebahagian masakan dimasak di rumah sukarelawan yang lain selain di kediamannya sendiri.

Menurut Marziana, mereka memulakan kerja-kerja memasak seawal pukul 11 pagi dan proses tersebut selalunya mengambil masa kira-kira enam jam.

Kesemua makanan yang siap dimasak akan dihantar ke kawasan yang telah ditetapkan pada pukul 5 petang.

“Di sini kami bukan sekadar menjamu mereka, tetapi pada masa yang sama memastikan semua makanan yang dihidang itu lengkap dengan nutrien yang diperlukan badan.

“Sebagai contoh, selain nasi dan lauk-pauk, kami menyeimbangkan hidangan dengan sayur-sayuran dan buah-buahan selain kurma.

“Makanan ini kemudian akan dihidangkan secara layan diri untuk dinikmati oleh golongan para gelandangan. Sekurang-kurangnya melalui suasana yang diwujudkan itu ia dapat membuatkan mereka berasa seperti sedang berbuka di rumah sendiri,” jelasnya.

Miskin bandar

Menurut salah seorang sukarelawan, Nor Maisarah Nor Azri, 32, WLC bukan sekadar menjamu gelandangan yang berpuasa, malah turut memasak bubur lambuk dan bubur pulut hitam untuk diagih-agihkan kepada golongan asnaf serta orang ramai sepanjang Ramadan.

“Pada bulan Ramadan ini, kami telah beberapa kali berkunjung ke rumah Orang Asli di Bukit Kala, Gombak dan kediaman asnaf di Projek Perumahan Rakyat Termiskin, Kempas, Johor untuk memasak serta mengagih-agihkan bubur lambuk kepada mereka.

“Bukan itu sahaja, hampir setiap hari juga kami akan memasak bubur pulut hitam menggunakan 70 kilogram beras di sebuah masjid di Ara Damansara, Sela­ngor untuk diagih-agihkan kepada kira-kira 3,500 penumpang MRT di Stesen Pasar Seni dan orang ramai di kawasan sekitar,” jelasnya.

Cerita Nor Maisarah lagi, selalunya makanan-makanan tersebut akan dipek dalam satu beg plastik yang turut diselitkan dengan buah kurma dan sebotol air mineral.

“Kerja-kerja ini sangat menye­ronokkan dan bermakna buat saya kerana kita dapat meringankan beban golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi golongan miskin bandar di ibu kota ini.

“Bukan itu sahaja, peng­agihan bubur ini juga sebenarnya mampu menjadi pengalas perut bagi go­longan bekerjaya yang pulang lewat dan tidak sempat untuk memasak atau membeli juadah berbuka,” jelasnya.

Menceritakan pengalamannya sepanjang tiga tahun melibatkan diri dengan kerja-kerja sukarelawan ini, Norazah Abd. Rashid, 47, pula berkata, dia mula menyertai WLC selepas membantu adiknya, Marziana bagi mendapatkan sumbangan untuk diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan pada tahun 2015.

“Walaupun pada mulanya kami hanya membantu mangsa-mangsa banjir, namun atas sumbangan yang diberikan oleh orang ramai, kami mampu meluaskan skop bantuan dengan memberi pertolongan kepada golongan kurang bernasib baik yang lain termasuk asnaf dan gelandangan,” jelasnya.

Ternyata, kesibukan tugasnya yang menjawat jawatan sebagai penolong pengarah di sebuah syarikat terkemuka sekitar ibu kota langsung tidak mengganggu Norazah untuk turun padang meluangkan masa membantu insan-insan yang memerlukan ini.

Dalam pada itu menurut Mas Anida Zainal, 35, yang menguruskan WLC di Johor Bahru, pengalaman bertemu dengan insan-insan yang kurang bernasib baik menjadikan dirinya lebih bersemangat untuk membantu golongan tersebut terutamanya sepanjang bulan Ramadan.

“Selain di Kuala Lumpur, WLC juga mempunyai sukarelawan di Johor Bahru yang diuruskan oleh saya.

“Sama seperti WLC di Kuala Lumpur, kami turut mengagihkan sumbangan kepada golongan yang memerlukan terutamanya setiap kali tiba bulan Ramadan.

“Setakat ini antara projek yang telah dijalankan ialah bubur lambuk, beras Ramadan, bakul Ramadan dan buka puasa bersama gelandangan dan penghuni Anjung Singgah di Johor Bahru,” jelasnya.