Revolusi yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) melabuhkan tirai musim lalu menjadikan TFCI satu-satunya sandaran bagi negeri Pantai Timur itu pada saingan Liga Super kali ini.

Penstrukturan semula bola sepak Terengganu itu turut menyaksikan empat pasukan diserap sebagai skuad pelapis (feeder club) termasuk T-Team yang kini dikenali sebagai TFC II dan bakal beraksi pada saingan Liga Premier.

Presiden PBSNT, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, penstrukturan semula berkenaan dilaksanakan bagi mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Terengganu yang pernah menjadi antara pasukan digeruni tanah air suatu ketika dahulu.

“Perjalanan bola sepak Terengganu yang diwakili Terengganu FA dan T-Team sebelum ini tidak berapa lancar dengan tidak mampu menjulang sebarang piala sejak beberapa musim lalu biarpun menerima bantuan kewangan kukuh daripada kerajaan negeri.

“Sehubungan itu, perubahan ini adalah sebahagian langkah transformasi bagi memastikan PBSNT kembali fokus untuk memburu kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia,” ujar beliau yang juga Menteri Besar Terengganu.

Ahmad Razif berkata, pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim terus diberi kepercayaan untuk mengemudi skuad TFC I setelah berjaya mencapai penunjuk prestasi utama musim lalu.

Menurutnya, Ifran Bakti cemerlang mencapai sasaran yang ditetapkan PBSNT iaitu kembali ke saingan Liga Super dengan membantu Terengganu (kini 
TFC I) muncul naib juara Liga Premier 2017.

“Walaupun boleh dikatakan pendatang baharu Liga Super musim ini, kami berkeyakinan tinggi untuk meletakkan sasaran agar TFC 1 berada dalam kelompok ketiga terbaik liga selain menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini,” katanya.

Dalam pada itu, Irfan Bakti yang pernah menjulang skuad Penyu muncul juara Piala FA dan naib juara Piala Malaysia serta liga pada 2011 tidak menunggu lama untuk memperkukuhkan lagi skuad TFC I.

Muka baharu

Beliau segera menyambar tiga tonggak T-Team iaitu Mohamad Kamal Azizi Mohd. Zambri dan Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris yang bermain di posisi pertahanan serta Mohd. Fauzi Abdul Kadar (penyerang).

Bekas pengendali Felda United itu juga membawa pulang bekas pemain Pahang, Mohd. Ashari Samsudin dan Wan Mohd. Azraei Wan Teh kembali ke pangkuan skuad Penyu.

Pada masa sama, Irfan Bakti membawa masuk dua bekas pemain Kuantan FA iaitu pemain tengah, Shahrul Aizad Zulkifli dan penjaring terbanyak Liga Premier (kategori pemain tempatan) musim lalu, Abdul Malik Mat Ariff.

Benteng skuad TFC I musim ini juga diperkuatkan oleh bekas pemain Kedah, Mohd. Fitri Omar yang bermain di posisi pertahanan kiri.

Keseriusan TFC 1 untuk menjadi pasukan pencabar utama Liga Super musim ini terbukti apabila menandatangani lima pemain import baharu yang rata-ratanya mempunyai reputasi hebat bersama kelab lama masing-masing.

Terdahulu, Irfan Bakti mengambil tindakan drastik menggugurkan semua pemain import musim lalu kecuali ayam tambatan mereka, Tchetche Kipre yang prolifik mengemudi jentera serangan skuad Penyu.

Sebagai pengganti, dua penyerang import, Kim Hyeon Woo dari Korea Selatan dan Lee Andrew Tuck (Britain) yang masing-masing menyerlah sewaktu mewakili PKNP FC dan Negeri Sembilan musim lalu dibawa masuk bagi memberi lebih variasi untuk menggempur benteng lawan.

Barisan pertahanan TFC1 pula diperkuat oleh pemain berasal dari Montenegro, Igor Zonjic manakala kuota import Asia dan Asia Terenggara pula diisi pemain tengah kelahiran Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Irfan Bakti memberitahu, beliau bersedia menyahut cabaran PBSNT yang menyasarkan kedudukan ketiga terbaik liga dan membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala pada saingan musim ini.

“Oleh kerana kita berjaya melangkah ke separuh akhir Piala FA musim lalu, piala itu menjadi sasaran utama TFC 1 untuk dijulang musim ini.

“Berdasarkan beberapa siri perlawanan persahabatan di Kemboja dan Kejohanan Piala Menteri Besar Terengganu yang turut melibatkan TFC II, Pahang dan Melaka, saya sudah mendapat bayangan kebelasan utama musim ini,” katanya yang turut membayangkan lilitan kapten 
TFC I bakal diserahkan kepada Kipre yang disifatkannya mempunyai ciri-ciri kepimpinan di tengah padang.