Anugerah yang diterimanya itu bukan calang-calang. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi dalam bidang kejuruteraan di Pennsylvania State University yang dikenali sebagai antara universiti terbaik dunia dalam bidang kejuruteraan.

Mei lalu, beberapa hari sebelum Ramadan, kejayaan pemuda itu tular di negara ini. Seluruh media melaporkan Muhamad Saiful Hakimi iaitu seorang pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima pengiktirafan tertinggi di universiti itu.

Muhamad Saiful Hakimi merupakan rakyat Malaysia pertama menerima anugerah itu dengan skor penuh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) sempurna iaitu 4.0. Wakil Pennsylvania State University telah memuji Muhamad Saiful Hakimi atas pencapaian akademiknya serta kemahiran kepimpinannya yang tinggi.

Lebih manis bagi anak Melayu itu, nama kedua-dua ibu bapanya, Daud Ahmad, 68, dan Jamaliah Kasim, 66, yang hadir turut diuar-uarkan pada majlis yang berlangsung di negara Uncle Sam itu. Ia suatu momen yang amat membanggakannya sebagai seorang anak.

Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Petroleum and Gas Asli serta minor dalam Perniagaan Tenaga dan Kewangan itu, anugerah tersebut disampaikan sempena konvokesyen pelajar.

“Saya berasa amat terharu apabila turut menerima ucapan tahniah daripada pelajar-pelajar lain termasuk yang saya tidak pernah mengenali rapat. Seorang pelajar dari Oman menghampiri saya selepas majlis itu dan semasa memeluk serta bersalaman, dia mengucapkan kepada saya: “Malaysia bertuah kerana memiliki seseorang seperti anda.”

“Sebenarnya, ramai sudah menjangkakan saya merupakan individu yang berpeluang meraih anugerah itu memandangkan hanya dua pelajar yang meraih PNGK 4.0 iaitu saya dan seorang lagi pelajar AS,” katanya yang mudah disapa dengan nama Saiful Hakimi ketika dihubungi K2 baru-baru ini.

Persatuan

Semalam K2 turut bertuah kerana dijemput secara eksklusif menghadiri majlis penyampaian Anugerah Khas Graduan Cemerlang JPA kepada Saiful Hakimi di Putrajaya.

“Saya berasa amat gembira dan bersyukur kerana berjaya mengharumkan nama keluarga dan negara. Saya ucapkan terima kasih kepada JPA. Difahamkan, ini merupakan kali pertama JPA memberikan pengiktirafan kepada graduan cemerlangnya. Saya hadiahkan kejayaan ini kepada kedua ibu bapa yang tidak pernah mengenal lelah membesarkan dan mendidik saya menjadi insan berguna,” ujarnya ketika ditemui.

Saiful Hakimi membuktikan kecemerlangannya dalam akademik turut selari dengan bidang kokurikulum dan kepimpinan apabila anak Malaysia itu juga adalah Presiden Persatuan Petrobowl di universiti itu yang dianggotai oleh pelajar dari pelbagai negara. Petrobowl adalah persatuan melatih pelajar-pelajar menyertai pertandingan soal jawab pantas mengenai industri minyak dan gas. Saiful Hakimi pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan berkaitan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu pada tahun 2016.

Apabila ditanya mengenai kunci kejayaannya, Saiful Hakimi bagai sudah memiliki jawapan yang paling jelas dalam mindanya iaitu restu ibu bapa.

“Bagi saya, doa dan restu ibu bapa itulah kunci kejayaan yang sebenar. Tanpa doa mereka, saya tidak mungkin boleh mendapatkan anugerah ini. Saya berasa begitu bangga apabila dapat membanggakan kedua-duanya,” ungkapnya yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur sebelum keluarganya berhijrah ke kampung ibunya di Kedah.

Ditanya mengenai minatnya dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas, sejak kecil lagi telah timbul di mindanya tanda tanya mengenai alam sekitar.

“Pada usia kanak-kanak apabila bapa memandu kereta ke stesen minyak untuk mengisi petrol, saya sudah terfikir bagaimana minyak yang merupakan cecair itu boleh memberikan tenaga dan menggerakkan kenderaan? Ia menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri saya.

“Minat saya dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas juga banyak dipengaruhi oleh kakak saya, Nursafinaz. Semasa saya bersekolah menengah, kakak saya banyak berkongsi cerita tentang pekerjaannya sebagai jurutera di pelantar minyak.

“Saya sukakan sesuatu yang mencabar. Apabila bekerja di pelantar minyak di tengah laut, segalanya penuh dengan ketidaktentuan. Apapun boleh terjadi. Kebetulan juga, saya seorang yang sangat sukakan laut dan berenang. Saya pernah berenang sejauh 6.5 kilometer di laut dari Pulau Kapas ke Marang, Terengganu untuk pertandingan renangan antarabangsa sewaktu di tingkatan empat dan lima.

Cabaran

Saiful Hakimi mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Kolej Yayasan Saad Melaka sebelum mengikuti pengajian A-Level di Kolej Teknologi Timur, Sepang, Selangor dan seterusnya ke Pennsylvania State University untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda.

Berkongsi mengenai prinsip hidupnya, Saiful Hakimi berkata, dia sering mengamalkan loose the battle win the war, iaitu mengorbankan sedikit apa yang diminati untuk memberi tumpuan kepada perkara yang menjadi kelemahannya atau sukar baginya.

Mengenai pengalaman mengikuti pengajian di AS, Saiful Hakimi akui, pada awalnya dia menghadapi banyak kesukaran untuk berinteraksi serta membuat kawan baharu di situ.

“Antara cabaran yang paling memberikan impak kepada diri saya semasa menuntut di AS adalah perbezaan norma budaya. Pada awalnya, saya menghadapi banyak kesukaran, namun begitu, saya mengambil inisiatif untuk menceburikan diri dalam kelab-kelab profesional di universiti dan seterusnya berjaya mengenal rakan-rakan dari negara lain.

“Di saat sentimen Islamophobia diperkatakan, saya tidak merasakan ia berlaku dalam kalangan warga Pennsylvania State University. Pelajar-pelajar lain yang tidak beragama Islam memahami saya sebagai seorang Islam. Jika kami mempunyai aktiviti berkumpulan, mereka memahami jika saya perlu pergi menunaikan solat lima waktu atau solat Jumaat,” katanya yang baru saja kembali ke Malaysia sejak Aidilfitri lalu.

Menyentuh mengenai Aidilfitri, Saiful Hakimi berkata, dia juga pernah merasai menyambut lebaran di AS pada tahun 2017. Pada tahun lalu, dia beraya di Malaysia kerana mengikuti praktikal, begitu juga tahun ini setelah tamat pengajian beraya di tanah air.

“Pada tahun 2017, saya dan rakan-rakan saya telah meraikan hari raya di Kedutaan Malaysia di Washington DC, AS. Di situ, kami sempat menjamah makanan makanan Malaysia yang amat dirindui seperti lemang, ketupat dan rendang,” katanya.

Saiful Hakimi berkata, sejujurnya dia bukanlah seorang yang gemar digembar-gemburkan tentang kejayaannya kerana sedar tanggungjawab dan cabaran yang akan menyusulinya.

“Saya juga enggan dianggap sempurna. Saya tidak mahu orang memandang tinggi diri saya kerana saya juga insan biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

“Harapan saya untuk kembali menyumbang kepada negara dan rakyat negara ini, kerana saya sedar duit tajaan yang saya perolehi adalah duit JPA yang juga bermakna duit rakyat,” katanya opitimis.

Ditanya jika dia sudah menerima apa-apa tawaran pekerjaan, Saiful Hakimi berkata, dia sudah pun mendapat berita gembira yang dirinya bakal ditawarkan jawatan jurutera lapangan Petronas namun belum lagi menerima surat tawaran.

Sementara itu, Daud mendedahkan anaknya itu sering berkomunikasi dengan ibu bapa menerusi panggilan video termasuk semasa hendak mengharungi peperiksaan dan selepas tamat peperiksaan.

“Saya percaya bukan sahaja saya, sesiapa pun apabila anak-anak mendapat kejayaan seperti ini pastinya akan berbangga. Saya bersyukur kepada Allah Taala di atas kurniaan ini,” katanya.

Muhamad Saiful Hakimi Daud baru-baru ini mencatat sejarah menjadi anak Malaysia pertama berjaya mendapat pengiktirafan tertinggi Marshal Kehormat Kejuruteraan College of Earth and Mineral Sciences di Pennsylvania State University, Amerika Syarikat.