“Alhamdulillah, seminggu sekali dapat juga makan makanan yang enak. Selain sate dan gulai daging, saya tahu ada buah anggur dihidangkan di sini,” ujarnya tertawa.

Basuni merupakan salah seorang daripada 120 golongan fakir miskin yang sering mengunjungi Restoran Fakir Miskin di Jalan Ibrahimy, Secang, daerah Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia.

Dari rumahnya, lelaki itu harus berjalan kaki dan menyeberangi sungai selama lebih kurang satu jam sebelum tiba di premis ber­kenaan.

“Walaupun jauh saya sanggup datang ke sini kerana dapat makan secara percuma. Pemilik restoran ini baik orangnya.

“Dia beri makanan yang bagus dan enak kepada golongan fakir miskin seperti saya. Tidak mungkin saya tidak datang, nanti kecewa Pak Haji dengan saya,” seloroh Basuni.

Berbeza dengan restoran biasa, premis milik Pak Haji atau Haji Isam, 56, itu hanya dibuka pada hari Jumaat bermula pukul 12 te­ngah hari hingga petang.

Lelaki warga Australia yang berketurunan Iraq itu langsung tidak mengenakan bayaran kepada golongan fakir miskin untuk menikmati makanan lazat di restoran tersebut, malah turut membenarkan mereka membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Kad identiti

Menurutnya, pengunjung yang datang boleh mengambil makanan yang disajikan menerusi sistem bufet.

“Restoran ini dibuka sejak dua tahun lalu dan waktu operasinya memang pada hari Jumaat sahaja,” ujarnya seperti dipetik portal Kompas.com.

Tambah Isam, kebanyakan pelanggan yang terdiri daripada penduduk sekitar Kalipuro akan diberikan kad khas yang memaparkan identiti dan alamat pemilik.

“Sebelum dapat kad, kami akan menyelidik latar belakang pengunjung sama ada tergolong dalam kategori fakir miskin atau tidak.

“Saya tidak mahu golongan yang berpura-pura miskin datang ke sini,” katanya yang fasih bertutur dalam bahasa Indonesia.

Identiti pemilik pada setiap kad juga dibezakan antara fakir dan miskin.

Isam memberitahu, jika mana-mana pemilik kad meninggal dunia, ia akan digantikan dengan orang lain yang juga memerlukan. Rata-rata mereka terdiri daripada keluarga tua atau miskin.

Di Restoran Fakir Miskin, Isam dan isterinya akan melayani setiap pengunjung.

Kata Isam, setiap minggu, dia akan membelanjakan kira-kira sejuta rupiah (RM286.10) untuk membeli barang-barang mentah untuk kegunaan restoran.

“Saya menekankan bahawa bahan makanan yang dipilih adalah yang terbaik dan segar baik daging lembu, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan,” katanya.

Menu berbeza

Hal itu harus dilakukan kerana Isam meyakini bahawa untuk bersedekah, dia harus memberikan yang terbaik daripada harta yang dimilikinya.

Saat pertama kali membuka restoran tersebut, Isam berkata, dia memasak sebanyak 12 kilogram beras tetapi ternyata berlebih sehingga banyak yang terbuang.

“Sejak itu, dia hanya memasak tujuh kilogram beras pada setiap Jumaat. Lauk pauk yang disediakan pula akan disesuaikan mengikut cita rasa pengunjung.

“Saya dan isteri akan me­­n­yiapkan menu berbeza setiap minggu agar pengunjung tidak bosan,” katanya.

Selain golongan fakir miskin, Isam dan isteri turut mengundang anak yatim piatu dari daerah berhampiran untuk makan bersama sebulan sekali.

Isam mengakui, amal jariah yang dilakukan sejak dua tahun kebelakangan ini mengundang rasa dengki dalam kalangan segelintir penduduk yang tidak senang de­ngannya kerana menganggap dia ada agenda tersembunyi.

Katanya, dia pernah diminta memberi keterangan dan disoal-siasat oleh pihak berkuasa kerana perniagaannya dicurigai.

“Ada polis datang ke sini, tentera ke sini tapi saya jelaskan semua bahawa niat saya hanya untuk bersedekah, tidak ada niat apa-apa lagi,” ujarnya.

Sebuah restoran di Banyuwangi, Jawa Timur, Indonesia menyediakan makanan yang enak dan berkualiti secara percuma untuk golongan fakir miskin.