Kebiasaannya, pemandu kenderaan yang dihalang akan membunyikan hon sambil menunggu sehingga pemandu kereta yang menghalang kenderaannya muncul dan mengalih kereta terbabit.

Bagaimanapun, seorang pemandu sebuah trak pikap di Bentong, baru-baru ini hilang sabar dan berang apabila pemilik sebuah kereta jenis Honda City yang menghalang kenderaannya tidak muncul walaupun selepas dia dikatakan membunyikan hon selama kira-kira 30 minit.

Akibatnya, pemandu trak pikap itu bertindak mengundurkan kenderaannya dan merempuh kereta yang diletakkan di belakang kenderaaanya sebanyak lima kali.

Kejadian itu dipercayai berlaku di hadapan sebuah restoran di Bentong, Pahang kira-kira pukul 11.30 malam, 5 Ogos lalu.

Dalam rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 37 saat yang tular di laman sosial, selepas beberapa kali kereta itu dirempuh, pemiliknya yang dipercayai duduk di restoran berkenaan segera datang dan meminta pemandu trak pikap itu berhenti daripada melanggar keratanya.

Rata-rata netizen menyelar sikap pemandu itu yang hanya duduk dan berbual dengan rakan-rakannya walaupun pemandu trak pikap itu telah membunyikan hon beberapa kali dan berharap agar kejadian itu dapat mengajar pemandu terbabit agar bersikap lebih bertanggungjawab.

Rakaman CCTV juga menunjukkan terdapat parkir kosong berhampiran tempat kejadian.