Pelajar kolej, Rubt Mitchell, 19, dari Harrogate, North Yorkshire, England yang sangat menggemari bidang solekan telah membawa minatnya itu ke satu tahap yang lebih tinggi apabila menghasilkan grafik kesan khas yang amat memukau.

Hasil kebolehannya itu, gadis berkenaan turut ditawarkan pekerjaan selepas akaun Instagramnya menjadi terkenal.

Antara hasil karya gadis itu ialah menunjukkan seurat kawat besi seolah-olah menembusi kepala serta terdapat satu lubang pada perutnya selain beberapa lagi solekan dengan perincian mengerikan.

Mitchell yang kini mempunyai 62,000 pengikut di laman Instagram mula melakukan eksperimen ketika berusia 16 tahun sebaik menamatkan zaman sekolah selepas mendapat inspirasi daripada filem dan televisyen.

Remaja itu mula mempunyai pengikut yang ramai di laman Instragram selepas dia memuat naik gaya baru ciptaannya setiap minggu.

Antara solekan lain yang menarik perhatian adalah aksi kulitnya dikupas sehingga menunjukkan lapisan wajah badut, muka disedut paip vakum selain sebahagian kakinya dipotong.

Minat mendalam

Sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, Mitchell menghabiskan masa sehingga empat jam untuk cuba menghasilkan solekan yang memberi penampilan baharu.

Sekiranya hasil solekan kreatifnya tidak menjadi seperti yang dirancang, dia tidak teragak-agak untuk membersihkan solekan yang telah dihasilkan selama berjam-jam itu dan mencuba sekali lagi.

Gadis berkenaan akan menghasilkan dua atau tiga gaya baharu setiap minggu.

“Saya sentiasa mempunyai minat mendalam dalam bidang solekan sejak kecil lagi.

“Selepas tamat zaman sekolah, saya mula bereksperimen dengan gaya solekan yang lebih unik dan kreatif.
“Saya menghabiskan cuti musim panas dengan melihat tutorial di YouTube, mencuba pelbagai jenis alat solek selain memberi tumpuan kepada kesan khas,” katanya.

Mitchell kemudian memutuskan untuk menyambung pengajiannya di sebuah ke kolej dalam bidang teater dan solekan kesan khas untuk mengembangkan apa yang telah dipelajarinya selain belajar kemahiran-kemahiran baharu.

Filem seram

Kesan khas yang pertama yang dilakunya adalah dua luka biasa pada lengannya yang pada masa itu dirasakannya sangat cantik.

“Ia memberikan saya inspirasi untuk mencuba beberapa perkara yang lebih rumit,” tambahnya.

Jelas Mitchell, apa yang paling disukainya pada kesan khas ialah bagaimana ia mampu mengubah seseorang kepada apa saja yang diinginkan.

“Saya juga suka melihat reaksi orang ramai terhadap solekan yang dihasilkan,” katanya.

Mitchell mengakui walaupun dia gemar menghasilkan solekan yang memberi penampilan berbeza, dia lebih tertarik terhadap rupa yang memberikan lebih banyak faktor menggerikan.

Dia mendapat inspirasi daripada filem seram seperti IT, American Horror Story dan Annabelle.

“Saya seronok mencipta sesuatu yang baharu selain gemar bermain dengan warna dan teknik baharu.

“Saya sentiasa ada sesuatu idea yang baharu yang boleh saya lakukan,” katanya.