Meskipun kebanyakan murid tekun mendengar penerangan guru mengenai subjek tersebut, tetapi tidak bagi seorang pelajar bernama Omar Jumiran.

Pada hemat Omar, bahasa Inggeris sukar untuk difahami. Lantaran itu, tidak timbul minat dalam dirinya untuk mendalami bahasa antarabangsa tersebut.

Selalunya, sesi itu akan diisi dengan membuat lakaran motosikal pada kertas lukisan yang dibeli di koperasi sekolah.

Tidak cukup dengan itu, muka surat buku latihan yang kosong turut ‘dihias’ dengan puluhan karya motosikal pelbagai rekaan sedia ada hinggalah yang tidak pernah wujud di pasaran.

Kebiasaannya, idea lukisannya adalah berkisarkan motosikal yang dilihat di sekitar kampungnya di Bukit Kapar, tetapi diolah dengan kreativitinya sendiri agar terlihat canggih dan luar biasa.

Lebih menarik, anak sulung daripada tujuh beradik itu juga tidak sekadar melakar motosikal, malah mengimpikan untuk menghasilkan motosikal sendiri persis bayangannya apabila dewasa kelak.

Siapa sangka, kecenderungan yang bermula seawal usia kanak-kanak itu menjadi jalinan pertama seorang anak Melayu berhasil membanggakan negara di pertandingan rekaan motosikal kustom atau binaan khas tersohor dunia iaitu Kejohanan Dunia Motosikal Binaan Khas (AMD) ke-13 di Cologne, Jerman pada Oktober lalu.

Kejohanan berprestij itu boleh diibaratkan Piala Dunia bagi bidang rekaan motosikal binaan khas.

Upah

Muncul dengan jentera buatan tangan diberi nama Bone X, Omar, 48, yang juga satu-satunya wakil Asia di acara tersebut berjaya meraih tempat kedua di samping juara, Dmitry Golubchikov dari Rusia dan Karoly Orkonyi (Hungary) menduduki tempat ketiga.

“Secara umumnya, kejayaan saya pada hari ini semuanya adalah kerana minat.

“Kerana minat, saya mula melukis dan kerana itu juga saya mula berangan-angan untuk memiliki motosikal dengan reka bentuk sendiri suatu hari nanti walaupun sedar, ia mungkin tidak kesampaian,” kata Omar yang membutirkan bicara awalnya ketika ditemu bual Kosmo! di kediamannya di Taman Jasmin, Kajang, Selangor baru-baru ini.

Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan, Omar yang juga tidak bernasib baik dalam pelajaran sering menghabiskan masa remaja dengan menolong ibu bapanya menoreh getah.

Hasil pendapatannya digunakan untuk membantu keluarga dan juga membiayai minatnya dalam bidang seni kemahiran termasuk dalam bidang pengubahsuaian.

“Biasanya saya akan dapat upah lebih kurang 50 sen sehari. Daripada wang itulah, saya akan membeli peralatan untuk mencantikkan satu-satunya harta saya ketika itu iaitu basikal.

“Saya ubah suai hampir keseluruhan basikal buruk saya lalu jadikannya baharu dan menarik dari pemegang hinggalah ke bahagian tayarnya sehingga kawan-kawan pun cemburu,” ceritanya teruja berkongsi kesinambungan perjalanannya dalam dunia kreatif.

Tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Omar mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kajang, Selangor demi mengubah nasib diri dan keluarga.

Di Kajang, dia berjaya mendapatkan pekerjaan sebagai seorang tukang kimpal di sebuah bengkel pada tahun 1988.

Pendedahan kepada pelbagai teknik kimpalan sepanjang pekerjaannya membuatkan semangatnya untuk mengubah suai dan menghasilkan motosikal buatan sendiri semakin berkobar-kobar namun terpaksa dikawal kerana statusnya sebagai pekerja.

“Pada tahun 1995, saya mengambil keputusan untuk membuka bengkel kimpalan fokus untuk jeriji besi sendiri di Sungai Kantan juga di Kajang.

“Pada waktu itulah, secara perlahan-lahan saya kembalikan minat dahulu dengan mengubah suai motosikal kapcai milik saya. Namun, semuanya tidaklah dilakukan dengan terlalu serius kerana perniagaan pun baru sahaja dibuka,” jelas suami kepada Samsiah Tulus, 38.

Menurut Omar, beliau mula mengetahui mengenai AMD pada tahun 2006 apabila terbaca mengenainya di majalah pemotoran.

Pada waktu itu, Omar sudah menggenggam azam untuk menyertai pertandingan tersebut suatu hari nanti meskipun dia sendiri tidak pasti bila.

Bermula dari tahun 2009, Omar telah menghasilkan motosikal-motosikal kustom. Sehingga ke hari ini, bapa kepada empat orang anak tersebut telah menghasilkan lebih 200 buah motosikal buatan tangan pelbagai jenis.

“Biasanya, saya akan bayangkan lakarannya secara spontan dan lukiskan pada kertas. Dari imej berkenaan, saya akan mula mencanai besi dan jadikan ia mengikut bahagian motosikal yang diingini.

“Antara jenis motosikal yang dibina termasuklah chopper, Selalunya, setiap motosikal mengambil masa sekitar tiga minggu untuk disiapkan,” terangnya yang pernah menjual motosikal buatannya sekitar RM15,000 hingga RM25,000 sebuah.

Krom

Bercerita lanjut mengenai Bone X, motosikal chopper yang berjaya mengharumkan namanya di persada dunia, Omar menyifatkan, ia sebagai hasil karya yang penuh dengan nilai pengorbanan.

Bone X begitu istimewa. Selain berwarna krom yang berkilat, tumpuan utama pada Bone X adalah dua spring yang terletak di bahagian paling atas, yang sebenarnya berfungsi sebagai penyerap hentakan masing-masing bagi tayar hadapan dan tayar belakang.

Tidak ketinggalan, sisi hiasannya di beberapa bahagian termasuk tempat duduk dan pemegang motosikal turut membawa bersama nilai identiti kemelayuan dengan diolah persis anyaman tikar mengkuang.

Paling istimewa, rekaan dinamik sebegini bukanlah sekadar dijadikan bahan pameran sebaliknya mampu berfungsi sepenuhnya di jalan raya.

Menghabiskan masa lebih enam bulan dengan kos pembinaan mencecah RM60,000 yang ditanggung sendiri, Omar dan keluarga berdepan masalah kewangan yang cukup meruncing.

Oleh kerana menjayakan minatnya itu juga, perniagaan bengkel motosikalnya, Eastern Bobber turut terjejas teruk. Pengurusan kewangan melibatkan biaya rumah, kereta dan banyak lagi turut tertunggak berbulan-bulan sehingga ke hari ini.

Mujurlah kos pengangkutan dan penginapan Omar di Jerman pada pertandingan tersebut sudi dibiayai oleh sebuah syarikat tempatan, Motonation.

Jika tidak, Omar sendiri tidak dapat membayangkan apa lagi yang harus digadai demi minatnya yang satu itu memandangkan hadiah kemenangan yang diterima hanyalah berbentuk piala dan bukan berbentuk wang tunai.

“Saya akur, di Malaysia bidang reka cipta motosikal ini sememangnya kurang mendapat pengiktirafan dan perhatian pihak tertentu.

“Namun, ini tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus menghasilkan karya lebih-lebih lagi untuk ke AMD seterusnya jika dibantu dengan dana yang mencukupi dari mana-mana pihak,” akhirinya.