PADA hari itu, Fandi Othman tiba 30 minit awal sebelum bermulanya latihan pasukan bola sepak Selangor di Padang Latihan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Seksyen 5, Shah Alam.

Masa tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain berusia 27 tahun itu untuk memanaskan badan di dalam gimnasium yang terdapat di pusat latihan berkenaan.

Biasanya, Fandi menggunakan peralatan treadmil untuk berjalan atau berlari, mengangkat dumbel dan melakukan regangan pada bahagian otot kaki.

Tepat pukul 8 pagi, pemain kelahiran Johor Bahru, Johor itu dan rakan-rakan lain turun ke padang bagi menjalani latihan bersama jurulatih.

Selepas tiga jam memerah keringat di atas padang, Fandi sekali lagi memanfaatkan peralatan yang terdapat di dalam gimnasium bagi rutin merehatkan badan.

Kemudian, dia terus ke bilik persalinan yang terdapat di sebelah gimnasium tersebut untuk mandi dan menukar pakaian bersih.

Sebelum pulang, Fandi bersama rakan-rakan seperjuangan akan makan, minum dan berehat selama sejam di dalam ruang rehat pemain di Pusat Latihan FAS.

Itulah sebahagian daripada rutin latihan yang dilalui oleh Fandi serta sebahagian besar pemain Selangor selepas pasukan itu mendapat Pusat Latihan FAS baharu.

“Saya dan pemain yang lain berasa sangat teruja dapat menggunakan pusat latihan yang serba moden dan lengkap ini.

“Ia adalah salah satu perkara positif yang dilakukan oleh pihak pengurusan FAS dalam memberi keselesaan kepada para pemain,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Dibuka secara rasmi pada 24 Julai lalu, pusat latihan yang dibangunkan bersebelahan Padang SUK itu menelan kos sebanyak RM1.5 juta.

Pusat latihan berkenaan dilengkapi kemudahan padang latihan, gimnasium, fisioterapi, bilik persalinan dan ruang rehat, pejabat serta kedai cenderamata.

Rumput berkualiti tinggi

Majlis perasmian fasiliti baharu berkenaan telah disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis ringkas.

Fandi yang bermain di posisi pertahanan berkata, pusat latihan baharu tersebut, sedikit sebanyak dapat meningkatkan motivasi para pemain The Red Giant.

Dia berkata, pusat latihan keluasan 121,920 meter persegi itu memiliki dua buah padang latihan dengan rumput berkualiti tinggi.

“Kami pernah menggunakan Padang SUK untuk melakukan latihan sebelum ini, tetapi keadaan padang ketika itu tidak memuaskan.

“Selepas siapnya pusat latihan baharu, padang ini telah berubah sepenuhnya. Ia membuatkan para pemain lebih bersemangat untuk memberi yang terbaik buat pasukan,” ujarnya.

Inspirasi

Pembukaan pusat latihan berkenaan membolehkan pasukan Selangor berdiri sebaris dengan pasukan Johor Darul Ta’zim yang diketahui mempunyai fasiliti terbaik.

Ia juga seiring dengan status Selangor sebagai salah sebuah pasukan paling berjaya dengan sejarah panjang dalam kancah bola sepak tanah air.

Penolong Setiausaha Agung FAS, Aladdin Mostafa berkata, pusat latihan baharu itu dibina hasil tajaan Vizione Holdings Berhad (Vizione).

Vizione adalah sebuah syarikat perkhidmatan kejuruteraan awam, pembinaan infrastruktur dan pembangunan hartanah yang tersenarai dalam Bursa Malaysia.

Pusat latihan berkenaan turut mendapat tajaan Percetakan Nasional Malaysia Berhad yang juga rakan rasmi pencetakan pasukan.

Jelasnya, Pusat Latihan FAS direka dan bina hasil inspirasi pusat latihan kelab-kelab terkemuka di Eropah seperti Manchester United, Chelsea, Liverpool dan Real Madrid.

“Pusat latihan ini berjaya disiapkan oleh Vizione dalam tempoh tiga bulan. Ia direka, selepas kami melawat beberapa pusat latihan kelab terkemuka di luar negara,” ujarnya.

Menurut Aladdin, pihaknya memilih Padang SUK sebagai lokasi pembinaan Pusat Latihan FAS disebabkan kualiti rumput dan sistem air yang baik.

Jelasnya, pihaknya telah melantik syarikat yang mempunyai kepakaran dalam industri rumput, Tuft bagi membaik pulih beberapa bahagian pada padang tersebut.

“Kami sedar, padang yang baik amat penting buat para pemain. Ia membantu mengelakkan pemain daripada mudah mengalami kecederaan sewaktu latihan.

“Ketika ini, terdapat dua buah padang di sini yang mempunyai kualiti terbaik. Satu digunakan oleh pasukan utama manakala satu lagi oleh pasukan belia,” ujarnya.

Selain padang, pihak pengurusan FAS juga membawa kelainan pada pusat latihan dengan menyediakan ruang rehat pemain yang bertaraf lima bintang.

Ruang rehat seluas 30 meter persegi itu dilengkapi dengan pendingin hawa, permainan Playstation, Arcade, fussball, meja makan, sofa, ketuhar dan mesin pembancuh kopi.

Aladdin berkata, ruang rehat yang baik sangat penting bagi membolehkan pemain berehat dan mewujudkan suasana harmoni dalam pasukan.

“Pemain ini seperti pekerja. Kerja mereka adalah berlatih dan pusat latihan ini seperti pejabat mereka.

“Apabila letih bekerja, mereka memerlukan tempat yang selesa untuk berehat. Mereka boleh, makan, main permainan dan tidur di sini,” katanya.

Komitmen

Salah satu sudut paling menarik yang terdapat dalam Pusat Latihan FAS adalah papan ruangan yang menunjukkan jumlah piala berjaya diraih oleh pasukan Selangor.

Membina pusat latihan yang bagus pastinya lebih mudah berbanding usaha mengekalkan keadaannya agar berada pada tahap terbaik dalam tempoh panjang.

Justeru, pihak pengurusan FAS telah melantik syarikat pembersihan bagi membersihkan kawasan berkenaan dari masa ke masa.

“Kami juga meletakkan papan tanda amaran berkaitan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika berada dalam pusat latihan ini.

“Pemain yang ingkar akan didenda. Ia penting bagi memastikan pemain-pemain supaya lebih bertanggungjawab dan memberi contoh kepada pemain belia,” terangnya.

Sementara itu, pusat latihan baharu tersebut adalah bukti komitmen FAS untuk membawa persatuan ke tahap yang lebih tinggi.

Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon pula melahirkan rasa syukur dan gembira setelah visi yang dirancang menjadi sebuah realiti.

Jelasnya, setelah mengambil alih pucuk kepimpinan persatuan, pihak pengurusan baharu telah menggariskan lima teras untuk memperkasakan pasukan Selangor.

“Meskipun telah tertubuh selama hampir 83 tahun, FAS masih lagi beroperasi di pejabat yang usang di Kelana Jaya dengan pusat latihan yang serba kekurangan.

“Pembinaan fasiliti ini adalah perkara pertama yang telah diputuskan. Impian FAS untuk mempunyai fasiliti dan pusat pentadbiran lebih baik berjaya direalisasikan,” katanya.

Ujarnya, kemudahan baharu itu diharap dapat menaikkan lagi semangat pemain, barisan kejurulatihan serta staf dalam memberikan yang terbaik sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan pasukan Merah Kuning.

Beliau memaklumkan, pusat latihan serba baharu itu juga sedikit sebanyak menarik para pemain terbaik di dalam dan luar negara beraksi bersama pasukan Selangor.