Kejadian itu dikatakan berlaku ketika mangsa yang berusia 13 tahun menunggu bas untuk ke sekolah.

Remaja itu mendakwa, dia dihampiri dua lelaki yang kemudiannya terus menariknya masuk ke dalam van yang dipandu seorang lagi lelaki.

Selepas bergelut selama kira-kira 10 minit, remaja itu memberitahu, dia berjaya melepaskan diri selepas menggigit tangan seorang suspek yang berada di sebelahnya sebelum bertindak menendang pemandu dan melarikan diri.

Kisah penculikan itu kemudiannya menjadi tular di media sosial bersama dua keping gambar masing-masing menunjukkan tangan kanan remaja tersebut cedera dan tangannya yang berbalut setelah menerima rawatan.

Kejadian itu pada awalnya menggemparkan pelbagai pihak kerana jenayah culik merupakan perkara serius dan mampu mengancam keselamatan awam.

Palsu

Namun, selepas polis menjalankan siasatan terperinci, akhirnya remaja itu mengaku bahawa dia sengaja membuat laporan palsu berhubung kes penculikan tersebut.

Dia mengaku tindakannya itu disebabkan tertekan dengan desakan ibu bapa yang kerap memaksanya menumpukan kepada pelajaran selain ditegah bermain dengan rakan-rakannya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila pihak polis tidak mengenakan tindakan undang-undang atas budi bicara selain remaja itu terlalu muda dan tidak dapat membezakan baik serta buruk akibat perbuatan tersebut.

Mengulas mengenai perkara itu, Pakar Psikologi, Dr. Maria Chong Abdullah ketika dihubungi berkata, golongan remaja sememangnya mudah terdedah dengan perbuatan mereka-reka cerita kerana mahu menyelamatkan diri sendiri.

Jelas beliau, situasi tersebut berlaku apabila seseorang remaja telah melakukan perkara salah dan bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh ibu bapa mereka sama ada secara sengaja atau tidak.

“Apabila berlaku kesalahan itu, mereka akan mencari idea untuk mereka-reka cerita yang menampakkan kesalahan tersebut berlaku bukan disebabkan perbuatan mereka sendiri.

“Dalam kes remaja tersebut, tangannya yang luka itu mungkin disebabkan oleh perkara lain tetapi disebabkan takut untuk bercerita perkara sebenar kepada ibu bapanya, dia mereka cerita bahawa telah diculik dan luka yang dialami adalah ketika cubaan menyelamatkan diri,” jelasnya.

Cerita itu dibuat-buat dengan harapan dia tidak akan dimarahi atau dihukum oleh ibu bapanya.

Antara faktor lain yang mendorong remaja kerap berbohong adalah disebabkan sikap ibu bapa sendiri yang mungkin terlalu garang, tegas dan selalu menghukum anak-anak sendiri walaupun hanya disebabkan oleh kesalahan kecil.

Katanya, sikap ibu bapa seperti itu boleh menyebabkan anak-anak mengambil langkah selamat dengan berbohong bagi mengelak dihukum.

Dari sudut psikologi, terdapat tiga kategori ibu bapa iaitu autokratik, demokratik dan laissez-faire.

“Autokratik bermaksud ibu bapa yang kerap menggunakan pendekatan menghukum untuk mendidik selain tidak menerima pendapat dan alasan anak-anak mereka.

“Demokratik pula adalah pendekatan ibu bapa menggunakan kaedah berbincang dengan anak-anak mengenai sesuatu perkara selain lebih kerap memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan situasi sebenar selain memberi pilihan.

“Laissez-faire pula merupakan kategori ibu bapa yang terlalu memberi kebebasan dan tidak mengambil peduli tentang apa yang dilakukan oleh anak-anak mereka sehingga mendorong berlakunya perkara yang tidak diingini termasuk terlibat dalam jenayah dan sebagainya,” jelas Maria Chong.

Kemahiran

Justeru beliau berkata, demokratik merupakan pendekatan terbaik dalam mendidik anak-anak kerana ia merupakan kaedah yang lebih mudah diterima oleh anak-anak remaja.

Bagaimanapun, ibu bapa juga seharusnya mempunyai kemahiran dalam mendidik anak-anak agar apa yang berlaku kepada keluarga tidak akan memberi kesan kepada kehidupan remaja tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad pula memberitahu, ibu bapa juga seharusnya mengelak daripada terus memberi tekanan kepada anak-anak mereka terutamanya dalam soal pelajaran.

Ini kerana tindakan itu boleh mengganggu emosi anak-anak, sekali gus mendorong mereka bertindak di luar jangkaan.

“Kebiasaannya, remaja tidak mampu berfikir secara matang dan disebabkan oleh tekanan yang dihadapi, mereka akan melakukan apa sahaja tanpa memikirkan kesan baik serta buruknya.

“Oleh itu, ibu bapa harus tahu membentuk keperibadian anak-anak mereka berbanding hanya menyerahkannya bulat-bulat kepada anak-anak dengan harapan perkembangan tersebut berlaku secara semula jadi,” jelasnya.