Kaedah senaman ini mungkin dilihat berlainan daripada senaman biasa, namun ia semakin diterima ramai.

Penyertaan terutamanya melibatkan kaum Hawa bagai tidak boleh dipisahkan. Begitulah juga dengan Nur Hidayah Samsudin, 35, yang telah melibatkan diri dalam program senaman dalam air sejak tiga tahun lalu.

“Saya mempunyai masalah berat badan selepas mengandungkan anak pertama pada tahun 2016. Berat badan saya naik sebanyak 30 kilogram (kg).

“Sejak itu, saya selalu melibatkan diri dalam pelbagai program senaman dalam air seperti akuazumba dan hari ini saya mencuba akuarobik,” katanya ketika ditemui K2 pada program Free Workout di D’Shire Villa Clubhouse, Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.

Salah satu aktiviti menarik dalam program tersebut ialah akuarobik yang menggunakan konsep High Energy Aquatic Training (HEAT) atau latihan akuatik bertenaga tinggi.

Dalam program tersebut, para peserta perlu melakukan pergerakan aerobik di dalam air dengan ditambah penggunaan alatan sokongan berasaskan tunjuk ajar jurulatih kecergasan.

Menurut Nur Hidayah, ini merupakan pengalaman pertamanya menyertai program senaman dalam air yang menggunakan beberapa alatan.

“Sebelum ini, saya pernah menyertai akuazumba tetapi ia hanya melakukan pergerakan dalam air sahaja tanpa sebarang alatan.

“Kali ini, mereka membekalkan dengan alatan sekali. Bagi saya bebanan kesukaran itu menjadi dua kali ganda,” ujarnya yang kini telah berjaya menurunkan berat badannya kepada 65kg berbanding 85kg sebelum ini.

Tidak bosan

Program Free Workout merupakan kempen kesinambungan kepada program Jom Kurus 1Malaysia(JK1M) yang merupakan satu program kecergasan mega di Malaysia.

Seramai 25 orang wanita dan lima lelaki menyertai program Free Workout yang berlangsung selama empat jam itu.

Dalam pada itu, jurulatih kecergasan, Rizal Rosli berkata, akuarobik merupakan senaman dalam air yang menggunakan peralatan sebagai tambahan.

“Muzik yang digunakan juga berbeza dengan akuazumba kerana mempunyai muzik khas dengan pergerakan peserta yang lebih padu dan kuat.

“Pergerakan akuarobik juga berbentuk tarian dan ditambah keseronokannya menerusi peralatan sokongan. Ia membuatkan peserta tidak bosan,” katanya.

Menurut Rizal, akuarobik menggunakan alatan seperti piring terbang, pool noodle, kicking board dan bola.

“Alatan ini digunakan bagi memaksa otot bekerja keras untuk bergerak. Rintangan ini jugalah yang membuatkan pergerakan menjadi perlahan dan ‘lembut’.

“Malah, senaman ini juga membuatkan peserta lebih seronok kerana bermain dengan alat-alat yang dibekalkan,” katanya yang berpengalaman hampir dua puluh tahun dalam program kecergasan.

Katanya, pada program tersebut peserta turut melakukan senaman aquaboxing iaitu pergerakan seperti bertinju dalam air.

Tambah Rizal, biarpun melakukan tendangan atau tumbukan dalam air, peserta tidak merasa begitu tertekan kerana ia lebih berkonsepkan permainan.

Dalam pada itu, Rizal memberitahu, setiap pergerakan mengikut kreativiti jurulatih dan dilakukan secara perlahan disebabkan tekanan air yang memberi impak kepada pergerakan.

“Para peserta berdepan dengan dua halangan iaitu air dan alatan, namun ia sebenarnya memberi kebaikan kepada tubuh selain membantu meningkatkan stamina.

“Di dalam air, jumlah pembakaran kalori meningkat tiga kali ganda berbanding senaman di gimnasium,” kata anak kelahiran Johor Bahru itu.

Tambah Rizal, program tersebut bukan sahaja boleh dianggap ‘gimnasium’ dalam air tetapi pusat latihan kecergasan dan ketahanan fizikal.

Hurainya, bersenam menggunakan alatan dalam air bukan satu perkara yang mudah kerana rintangan di dalam kolam juga meningkat dua kali ganda.

Walau bagaimanapun peralatan tersebut membantu memastikan senaman tersebut dapat memberi kesan terhadap otot dan kesihatan tubuh badan.

Mempunyai ramai peserta dalam kalangan wanita berusia 40 tahun ke atas, Rizal mengakui golongan tersebut sememangnya memerlukan stamina untuk menguruskan keluarga dan kerjaya.

“Daripada maklum balas peserta, rata-rata mengakui selepas mengikuti program ini, tubuh badan lebih bertenaga dan segar.

“Ini bermakna, mereka dapat menguruskan kerja di pejabat dan urusan rumah dengan lebih efektif dan bertenaga,” jelasnya.

Sendi

Katanya, senaman sebegini juga adalah terapi terbaik untuk mereka yang mengalami masalah sendi. Malah, beberapa kajian membuktikan pergerakan dalam air dapat mengurangkan keradangan sendi kerana tekanan hidrostatik dari air bertindak seperti urutan.

Kebaikan program tersebut turut dirasai oleh Puteri Zulaikha Md. Bakri, 30, yang tiada masa untuk bersenam kerana kekangan masa disebabkan bekerja.

“Saya bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap hari. Balik rumah sudah pasti penat dan perlukan rehat secukupnya.

“Selain itu, sebagai seorang isteri sudah pasti saya perlu melakukan kerja-kerja rumah dan menguruskan hal keluarga selepas pulang kerja. Jadi masa itu terbatas,” katanya.

Risau akan kesihatannya, Puteri Zulaikha berhasrat untuk menyertai aktiviti senaman berbentuk santai dan sehinggalah menemukan di media sosial iklan program Free Workout tersebut.

Katanya, program tersebut sangat menarik dan berlainan daripada senaman yang pernah disertai sebelum ini.

Bagi Puteri Zulaikha, program tersebut sangat menyeronokkan kerana terdapat pelbagai aktiviti yang dianjurkan selain senaman dalam air. Antaranya pemeriksaan kesihatan, konsultasi doktor dan sesi soal jawab.

“Bagi saya senaman ini lebih berkesan daripada melakukan senaman di darat. Walaupun otot menjadi letih, sendi perlu lebih bergerak kuat dan tekanan bermula dari lutut, pinggul serta pergelangan kaki, namun tubuh akan berasa lebih segar dan sihat selepas bermain air

“Malah, ia juga mengujakan kerana berpeluang bertemu wanita-wanita lain di samping mengikut pergerakan jurulatih menggunakan alatan-alatan yang menarik,” ujar kakitangan swasta itu.

Akuarobik merupakan salah satu senaman dalam air yang menggunakan konsep High Energy Aquatic Training (HEAT) atau latihan akuatik bertenaga tinggi.