Di sana sini, bunyi si comel berbulu kedengaran di merata-rata tempat. Tidak kurang juga ada yang lincah berkejar-kejaran menggambarkan betapa gembiranya si bulu comel itu ditempatkan di situ.

Rasa sebak, sedih dan terharu tiba-tiba menerjah ke lubuk hati kru Panorama selepas melihat sendiri bagaimana kehidupan ratusan ekor kucing di pusat jagaan dan perlindungan kucing, S.I Home Shelter seolah-olah diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan di sana.

Diusahakan oleh pasangan suami isteri, Muhamad Razeef Che Shamah, 38, dan Nurul Ain Abd. Hamid, 28, kedua-dua mereka sudah diibaratkan seperti ibu bapa kepada 428 ekor kucing yang dijaga di situ.

Tujuan pasangan suami isteri itu cuma satu, untuk memberi peluang kepada kucing-kucing malang itu kehidupan lebih baik.

Ternyata niat murni pasangan suami isteri itu benar. Rata-rata kucing yang ada di situ mungkin tidaklah sempurna seperti kucing mahal yang dibela di rumah, ataupun paling tidak masih sempurna sifatnya seperti kucing-kucing jalanan yang lain.

Disuntik mati

Di S.I Home Shelter, kucing-kucing yang menjadi penghuni di situ kebanyakannya terbiar dan serta memerlukan perhatian untuk dirawat.

Tidak kurang juga, terdapat kucing-kucing di situ tidak sempurna fizikalnya seperti kudung, buta dan mengalami masalah otot sehingga menyebabkan ia lumpuh.

“Saya diibaratkan seperti bapa kepada kucing-kucing di sini dan mereka adalah anak-anak istimewa saya,” ujar Razeef.

Memulakan bicara, Razeef mendakwa, cintanya terhadap kucing berlaku tanpa dirancang. Dia yang bukannya seorang pencinta kucing suatu masa dahulu, tiba-tiba hatinya dijentik rasa simpati selepas melihat banyak kucing liar yang ditangkap, dikurung dan menanti waktu untuk disuntik mati.

Katanya lagi, bermula daripada situ, timbul perasaan untuk membela kucing di rumah hingga jumlahnya bertambah dari hari ke hari kepada 25 ekor walaupun sedar dirinya ada masalah asma.

“Mak saya bising apabila kucing terlalu banyak kerana dia berniaga makanan di pasar malam dan tidak mahu makanan yang dijual terjejas,” ujarnya yang akhirnya menyewa sebuah rumah di Shah Alam pada tahun 2012.

Bermula daripada situlah, kegiatan menjaga kucing malang terutamanya yang sakit semakin rancak. Pantang terjumpa kucing yang cedera seperti patah tulang akibat dilanggar atau kucing yang ada masalah kulit, pasti pemuda itu akan merawatnya.

Dakwa Razeef, dia bersyukur kerana sepanjang memelihara kira-kira 150 ekor kucing di rumah sewa tersebut, jiran malah tuan rumah sendiri tidak banyak kerenah, malah menyokong usaha yang dia lakukan.

428 ekor

Kerana jumlah kucing yang diselamatkan kian meningkat, Razeef terpaksa mencari lokasi baharu untuk menempatkan kesemua ‘anak angkatnya’ dengan menyewa sebuah premis tiga tingkat di Taman Sri Muda, Shah Alam yang sehingga kini menjadi tempat perlindungan sebanyak 428 ekor kucing.

Apa yang menarik, kerana kucing jugalah dia bertemu jodoh dengan isteri tersayang, Nurul Ain atau mesra dipanggil Ain selepas menawarkan diri untuk membantu wanita itu menjaga seekor kucing yang cedera dilanggar kereta.

Bagi Ain, dia yang juga terlibat dengan aktiviti menyelamatkan kucing malang selepas berkenalan dengan Hazeef tidak pernah menganggap kerja yang dia lakukan ini hanya sia-sia.

“Saya tidak tahu apa-apa tentang kucing pada mulanya dan suamilah yang banyak mengajar hingga sekarang,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Perbualan kru Panorama bersama Ain bagaimanapun sedikit terganggu. Dengan helaan nafas panjang, wanita bertubuh kecil molek itu memendam sekelumit rasa terkilan apabila projek menyelamatkan kucing yang ditangkap pihak berkuasa untuk dilupuskan tergendala akibat masalah kewangan.

Menurut Ain, sebelum ini dia bersama suami ada menjalankan program transit dengan mengambil kucing-kucing liar yang ditangkap pihak berkuasa untuk dirawat dan kemudian diberikan kepada keluarga angkat.

Dakwa Ain, ketika mula-mula program itu dibuat, ia berjalan lancar apabila setiap minggu, antara 25 hingga 60 ekor kucing keluar masuk di pusat jagaannya.

“Namun lama kelamaan, program transit itu menjadi semakin perlahan hingga kami pernah mempunyai 600 ekor kucing pada satu masa.

“Dengan tempat terhad, ditambah kos pengendalian dan rawatan bagi kucing sakit yang agak tinggi lebih-lebih lagi jika melibatkan pembedahan sedikit sebanyak menjadi dugaan buat kami,” katanya sayu.

Menurut Ain, dalam sebulan dia memerlukan kira-kira RM15,000 untuk membayar gaji empat orang pekerja, sewa premis, makanan kucing sebanyak 450 kilogram sebulan, bil (api, elektrik, air), ubat-ubatan dan pemandulan.

“Sebenarnya memang agak mustahil untuk kami menyediakan kos sebanyak itu setiap bulan dan mengharapkan sumbangan orang ramai.

“Andai kata tidak dapat mengumpul dana sebanyak itu pada bulan tersebut, saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri asalkan ‘anak-anak’ kami di sini tidak kelaparan,”jelasnya.

Tekad

Ditanya tentang perasaannya, Ain mengakui hingga sekarang hatinya tidak pernah tenang tatkala memikirkan nasib kucing-kucing yang ditangkap itu.

Jauh di sudut hatinya, dia mempunyai rasa bersalah lebih-lebih lagi selepas mengetahui nasib bakal dilalui haiwan malang itu.

Namun, pasangan suami isteri itu sedar tahap kemampuan mereka terutama dari segi kos penjagaan.

Walaupun menjaga sehingga lebih 400 ekor kucing, pasangan suami isteri itu tidak pernah membezakan haiwan tersebut walaupun ada antaranya cacat seperti buta, lumpuh dan kudung.

Bagi memastikan kucing-kucing itu terpelihara, Razeef dan Ain mengasingkan haiwan berkenaan kepada tiga bahagian mengikut tingkat premis.

Di tingkat satu adalah tempat yang dikhaskan untuk kucing-kucing sakit yang memerlukan penjagaan rapi, selain kucing-kucing yang belum dimandulkan. Di tingkat yang sama juga terdapat sebuah bilik kuarantin yang menempatkan kucing yang dijangkiti Sporotrichosis atau sporo.

Tingkat dua pula menempatkan kucing-kucing yang sihat dan menanti untuk diambil oleh keluarga angkat yang berminat. Di tingkat tiga pula diletakkan kucing-kucing yang telah bersama pasangan suami isteri itu lebih daripada tempoh lima tahun dan masih sihat.

Pada masa sama, Ain berharap orang ramai khususnya pencinta kucing atau sesiapa sahaja dapat sama-sama membantu menghulurkan sedikit sumbangan ikhlas.

“Alhamdulillah, sebenarnya masih ramai lagi insan yang membantu, cuma kadangkala ada pasang surutnya,” ujar Ain yang turut mengupah empat orang pekerja di pusat jagaan tersebut.