Polis mengatakan kira-kira 338,000 orang menyertai protes cadangan Rang Undang-Undang (RUU) yang membolehkan mana-mana penduduk wilayah yang terlibat dengan jenayah diekstradisi ke China.

Penganjur menegaskan, ia melibatkan hampir dua juta orang iaitu lebih daripada satu per empat daripada 7.5 juta rakyat Hong Kong. Jika angka itu disahkan, ia akan menjadi siri demonstrasi terbesar dalam sejarah bandar raya hab kewangan antarabangsa itu.

Penganalisis politik, Michael DeGolyer berkata, warga Hong Kong amat sensitif berkaitan isu-isu melibatkan kebebasan kehakiman. Mereka juga bimbang penggubalan undang-undang itu akan dipergunakan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan politik.

RUU tersebut ditangguhkan buat sementara waktu, namun penduduk Hong Kong menggesa supaya ia ditarik sepenuhnya.

“Sebelum ini, saya tidak pernah menyertai himpunan sebegini, tetapi saya seorang guru dan sedar jika tidak menyertainya bagaimana saya mahu berhadapan dengan pelajar saya. Ini masa depan mereka,” ulas seorang peserta yang ingin dikenali sebagai Lau.

Seperti kebanyakan peserta lain, Lau, 28, bimbang dengan penahanan aktivis dan enggan mendedahkan nama penuhnya dan menolak gambarnya dirakam.

BBC News melaporkan, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam memohon maaf berhubung cubaan pentadbirannya untuk meluluskan RRU itu pada hari yang sama. Ramai penunjuk perasaan yang khuatir pengaruh China terhadap Hong Kong menyerunya meletak jawatan.

Kontorversi

Pemimpin pro-Beijing itu turut menerima tekanan hebat berhubung RUU kontroversi itu termasuk daripada sekutu politik dan penasihatnya sendiri.

“Ketua Eksekutif mengaku berlaku kesilapan dalam usaha kerajaan yang telah menyumbang kepada banyak konflik dan perbalahan masyarakat Hong Kong serta mengecewakan dan mencetuskan kemarahan orang ramai.

“Ketua Eksekutif memohon maaf kepada rakyat dan berjanji untuk menerima kritikan dengan ikhlas dan rendah diri,” ujarnya menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Eksekutif.

United Kingdom (UK) menggantung jualan gas pemedih mata ke Hong Kong sehingga siasatan bebas dijalankan berhubung dakwaan kekejaman polis semasa demonstrasi.

Setiausaha luarnya, Jeremy Hunt berkata, tidak ada lesen eksport baharu akan diluluskan dengan beberapa peralatan yang digunakan oleh polis diperoleh daripada firma British.

Media tempatan melaporkan, polis Hong Kong turut menggunakan gas pemedih mata dan peluru getah terhadap penunjuk perasaan dengan pakar digital antarabangsa sedang menganalisis 14 rakaman yang didakwa sebagai keganasan yang dilakukan polis secara terperinci.

Pertembungan polis dan penunjuk perasaan mengakibatkan lebih 80 kes kecederaan.

Urusan dalaman

Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar, Zhang Jun pada Isnin lalu berkata, China tidak akan membenarkan isu tersebut dibincangkan pada Persidangan G20 yang melibatkan kumpulan 20 ekonomi terbesar dunia yang dijadual berlangsung di Osaka, Jepun hari ini dan esok.

“Hong Kong adalah wilayah pentadbiran khas China. Segala yang bersangkut paut dengan Hong Kong adalah urusan dalaman China. Negara luar tiada hak campur tangan tidak kira dalam apa jua kaedah, tempat dan cara sekalipun,” katanya seperti dilapor The Guardian.

Hong Kong diletakkan di bawah jajahan British sehingga 1997, sebelum diserahkan kepada China atas konsep satu negara dua sistem dengan ia mempunyai kuasa autonomi terhadap undang-undang dan politiknya sendiri.

Japan Times melaporkan penunjuk perasaan Hong Kong merancang tindakan baharu untuk menarik perhatian pemimpin yang menghadiri sidang kemuncak tersebut.

Sempena persidangan itu, Jepun mengetatkan kawalan keselamatan di Osaka pada minggu ini dengan 32,000 polis ditempatkan dengan sekatan jalan diadakan di sekitar hotel-hotel utama.

Hampir 700 sekolah ditutup semalam dan hari ini dengan rancangan aktiviti sekolah esok dibatalkan atas faktor keselamatan. Banyak kedai dan perniagaan kecil dalam kawasan terlibat turut ditutup dalam persidangan.

Penduduk setempat turut dinasihatkan supaya tidak keluar menggunakan kenderaan mereka bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan trafik.

Tindakan itu belum pernah dilakukan sebelum ini. Sidang kemuncak itu dijangka menarik 30,000 orang.

Ia bukan sahaja dikhuatiri melibatkan penunjuk perasaan Hong Kong malah pelbagai gerakan lain misalnya isu tuntutan bertindih Pulau Dai-You atau Senkaku oleh China dan Jepun dan pemberian visa memasuki negara itu kepada aktivis Uygur, Rebiya Kadeer meskipun dibantah Beijing.

Menurut portal Hong Kong, Free Press, lebih HKD$5 juta (RM2.6 juta) melepasi sasaran HKD$3 juta dikumpul setakat Selasa lalu melalui kutipan dana awam untuk meletakkan iklan di halaman depan akhbar antarabangsa untuk menekan pemimpin G20 bertindak atas krisis undang-undang itu.

Surat terbuka

Penganjur kempen berkata, ruang iklan di Financial Times Khamis telah ditempah dengan kos HKD$149,019 (RM788,021) dengan kumpulan itu turut berusaha mendapatkan slot di akhbar utama Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Switzerland selain Jepun.

Iklan itu antaranya menyelitkan surat terbuka meminta pemimpin negara lain membangkitkan isu tersebut kepada kerajaan dalam persidangan yang turut dihadiri Presiden China, Xi Jinping dan Ketua Kewangan, Paul Chan.

“Kami memerlukan sokongan supaya suara kami didengar dalam kerajaan dan konsulat anda, biarkan kebebasan berlaku pada sidang kemuncak G20 yang akan datang dan seterusnya. Kami boleh diselamatkan, jika anda bertindak sekarang,” demikian antara coretan surat terbuka itu.

Dalam perkembangan terbaharu, sekumpulan kecil peserta demonstrasi mengedar risalah dan sambil membongkok dan meminta maaf kepada orang ramai yang lalu lalang di hadapan pintu masuk pejabat cukai selama kira-kira dua jam pada Selasa lalu.

Ia rentetan siri lanjutan himpunan minggu lalu yang menyaksikan kira-kira 100 orang berhimpun sehingga menyekat laluan masuk lobi menara lembaga hasil sebelum berarak ke menara menempatkan jabatan imigresen dan memberi kesan kepada kelancaran urusan orang ramai.

Pada kejadian Jumaat itu, Bloomberg AFP melaporkan, rombongan penunjuk perasaan itu turut berhimpun di ibu pejabat polis selama 15 jam selain menyasarkan premis kerajaan lain.

Justeru, mereka mahu cuba mengekalkan sokongan orang ramai untuk gerakan protes pada masa depan.

“Kami mahu membantah dengan cara yang damai dan mengurangkan masalah kepada semua rakyat Hong Kong,” ucap wakil aktivis, Louis Fung.

Cadangan Rang Undang-Undang membenarkan penduduk Hong Kong yang terlibat dalam jenayah diesktradisi ke tanah besar China menimbulkan polemik dan protes dalam skala besar-besaran di wilayah tersebut.