“Selepas kaki kiri terpaksa dipotong di paras atas lutut, saya tidak pernah terfikir untuk ingin meneruskan hidup ini sebagai seorang orang kelainan upaya (OKU),” luah Vitos Koding, 40, yang kini mampu berdiri semula seperti normal dengan bantuan kaki palsu pemberian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Mengimbau kembali kejadian yang meragut impiannya, anak kelahiran Sabah itu berkata, semuanya bermula dengan luka sebesar 50 sen di kakinya akibat tergelincir ketika dalam perjalanan pulang dari Taman Kota Kinabalu, Sabah pada April tahun lalu.

“Seminggu kemudian, luka tersebut menjadi semakin teruk kerana saya menghidap kencing manis dan doktor mengesyorkan supaya bahagian kaki yang tidak dapat diselamatkan lagi itu dipotong sebelum merebak ke kawasan lain.

“Pada ketika itulah, saya putus harapan untuk meneruskan hidup kerana merasakan kehidupan sebelum ini sangat sempurna malah saya juga merupakan seorang jurulatih sukan berbasikal,” katanya ketika ditemui di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR) di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini.

Katanya, dia mula melihat bayangan kehidupan baharu apabila diberitahu oleh doktor ortopedik mengenai rawatan intensif pencarum Perkeso di PRPTAR dan memulakan sesi pada Februari lalu.

Ujarnya, bantuan kaki palsu bernilai lebih RM8,000 selepas menjalani terapi selama sebulan di pusat itu menaikkan kembali semangatnya untuk hidup.

Bermula dengan bertatih-tatih, Vitos kini mampu mengawal pergerakan kaki kirinya dan mengayuh basikal senaman. Malah, atas sokongan berterusan daripada pegawai jurupulih, dia turut melibatkan diri dalam sukan memanah seterusnya menjadi wakil bagi pasukan Wilayah Persekutuan.

“Saya berlatih memanah di pusat latihan di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Pada pertengahan Julai pula, saya akan bertanding sebagai atlet para memanah peringkat kebangsaan di Kelantan,” katanya.

Sementara itu, bagi bekas penyelia syarikat kontrak, Maizul Akhmal Mansor, 42, dia tidak menyangka mempunyai talian hayat kedua selepas diberitahu berkemungkinan menjadi lumpuh selepas kemalangan terjatuh dari ketinggian lima meter.

Rawatan

“Hancur luluh hati saya ketika itu mengenangkan bagaimana mahu membesarkan empat orang anak yang masih kecil dan pengorbanan isteri yang memikul tanggungjawab keluarga dengan gaji sebagai kerani sekolah.

“Saya kemudian diberitahu tentang manfaat pusat rehabilitasi yang disediakan oleh Perkeso dan terus mengambil peluang ini untuk menjalani lima jenis rawatan intensif di pusat PRPTAR termasuk merawat keadaan tulang belakang, kaki dan lutut,” katanya.

Maizul memberitahu, selepas menjalani rawatan selama sebulan dia sudah boleh berjalan perlahan-lahan menggunakan tongkat siku malah Perkeso turut meringankan beban kewangan keluarganya menerusi pembayaran harian cuti sakit mengikut caruman gaji.

Pusat Rehabilitasi tersebut dibina untuk membantu orang berinsurans Perkeso ataupun pekerja untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional serta akhirnya kembali ke alam pekerjaan.

Berjaya

Mengulas lanjut, Pengurus Kes PRPTAR, Nor Azieemah Ismail berkata, setakat ini pusat itu telah berjaya merawat seramai 2,500 pekerja dari tempoh pembukaan pada tahun 2014 sehingga Mac tahun lalu.

Katanya, kesemua klien menerima perkhidmatan rehabilitasi perubatan dan vokasional yang komprehensif di bawah satu bumbung dengan pelbagai kemudahan serta peralatan berteknologi canggih.

“Antara rawatan rehabilitasi yang disediakan ialah fisioterapi, terapi cara kerja, hidro, pertuturan dan latihan pemulihan secara vokasional. Selain itu kemudahan lain ialah penginapan wad dan hostel.

“PRPTAR mempunyai dua blok asrama dengan 150 buah bilik yang memberi kemudahan lengkap kepada pesakit dan penjaga.

“Di sini klien akan menjalani rawatan dalam tempoh satu hingga tiga bulan di bawah program Kembali Bekerja atau Return to Work menerusi pendekatan Pengurusan Hilang Upaya,” katanya.

Menurut Pengarah Eksekutif PRPTAR, Dr. Hafez Hussain, meskipun pusat rehabilitasi itu mampu mempercepatkan proses pemulihan pekerja, ironinya selepas klien dibenarkan pulang, pihak majikan enggan menerima semula golongan tersebut kerana keadaan fizikal mereka yang cacat. Namun, ia tanggungjawab PRPTAR untuk menjadi penghubung atau talian hayat kepada mereka supaya dapat kembali bekerja.

“Seperti contoh ada juga kes psikososial di mana ahli keluarga pesakit menghilangkan diri atau majikan yang tidak mahu menerima kembali pekerjanya yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana mereka sepatutnya melihat pada kebolehdayaan dan menempatkan klien ini mengikut kesesuaian dengan mengambil kira nilai komited ditunjukkan, sekali gus memastikan kehidupan golongan ini dapat diteruskan,” katanya.

Katanya, sehubungan itu pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan berkaitan untuk memastikan klien mempunyai pekerjaan dan persekitaran yang kondusif untuk meneruskan hidup.