Pelantikan orang kuat Bukit Aman, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Zulkifli Abdullah sebagai Ketua Pengarah (KP) AADK bukan satu perkara luar biasa.

Sebelum ini, AADK juga pernah diketuai oleh pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tan Sri Bakri Omar dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Allahyarham Datuk Seri Salleh Mat Som.

Sudah pasti, harapan yang tinggi diletakkan pada bahu KP baharu AADK. Sejak awal penubuhan, peranan AADK adalah sebagai peneraju dalam memerangi masalah dadah yang diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh AADK bagi memastikan isu dadah dibanteras habis-habisan, masih belum menampakkan kejayaan.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan AADK pada tahun 2017, lebih 25,000 kes dilaporkan iaitu 18,440 adalah kes baharu manakala 7,842 kes berulang.

Sesak

Pandangan yang sama turut dilontarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang melahirkan kebimbangan kerana usaha membendung masalah dadah di negara ini masih gagal walaupun peruntukan besar telah disalurkan.

Berucap pada majlis Karnival Prihatin baru-baru ini, Wan Azizah turut berkongsi pengalaman ketika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam penjara.

Beliau mendapati, ramai penghuni tirai besi itu terdiri daripada golongan yang terjebak dengan dadah.

Rata-rata penjara di Malaysia melebihi kapasiti hingga sesak dengan penghuni. Lebih separuh penghuninya adalah pesalah dadah. Mereka dipenjarakan kerana memiliki dadah dan menggunakan dadah tersebut.

Sebenarnya, secara sedar ataupun tidak, sedikit sebanyak masyarakat juga menjadi penyebab mereka melakukan jenayah.

Selepas dua tahun menjalani pemulihan di pusat serenti, stigma masyarakat terhadap mereka semakin menebal.

Mereka sukar mendapat pekerjaan dan dipinggirkan oleh keluarga, sekali gus menyebabkan mereka kecewa serta jatuh semula ke kancah penagihan.

Tiada pekerjaan tetap pula menyebabkan mereka melakukan jenayah bagi menampung belanja membeli dadah dan mengelakkan gian yang amat menyakitkan.

Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr. Rusdi Abd. Rashid, berkata revolving door syndrome iaitu penagih yang kembali ke pusat serenti dan penjara berkali-kali boleh diatasi jika kerajaan menukar strategi serta kaedah rawatan berteraskan perubatan dan bukannya pendekatan menghukum seperti sekarang.

Pilihan

Sebagai contoh, sekiranya penagih yang ditangkap ditemui memiliki sejumlah kecil dadah, mereka perlu diberi pilihan sama ada mahu menjalani rawatan di klinik atau hospital bukannya dikenakan hukuman penjara atau rawatan secara paksaan di pusat serenti.

Tambah beliau, golongan yang didapati positif menggunakan dadah pula tidak harus dikenakan tindakan mahkamah, sebaliknya dirujuk kepada jawatankuasa yang dilantik terdiri daripada doktor, peguam serta pegawai sosial.

Jawatankuasa berkenaan akan menilai sama ada individu yang dirujuk oleh polis itu adalah pengguna baharu yang masih pada peringkat awal mencuba atau penagih yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Rusdi turut menjelaskan, model yang dipanggil sebagai decriminalisation of drug use atau pemurnian undang-undang berkaitan penggunaan dadah telah dipraktikkan dengan jayanya di negara-negara maju.

Portugal dan Belanda misalnya, menggunakan kaedah berkenaan dan berjaya mengurangkan jumlah banduan ke penjara sehingga membolehkan mereka mengimport banduan dari negara jiran untuk memenuhi penjara yang kosong.

Sementara itu, kajian UMCAS mendapati, hanya 25 peratus pengguna dadah yang betul-betul memerlukan rawatan intensif di hospital dan klinik manakala sebahagian besarnya adalah pengguna dadah yang masih di peringkat awal mencuba.

Kedua-dua golongan pengguna dadah itu perlu diberi kaunseling dan denda sama ada dalam bentuk wang ringgit atau khidmat masyarakat. – Bernama