Topik pengguna bijak sering muncul menjelang hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Saban tahun sebahagian pengguna menghadapi bebanan hutang tinggi selepas perayaan akibat perbelanjaan tidak berhemah dalam membuat persiapan menyambut raya.

Puncanya adalah berbelanja melebihi keperluan semata-mata untuk memenuhi keinginan diri dan tekanan persekitaran seperti jualan harga murah, saudara dan rakan sekeliling.

Dalam proses membuat keputusan untuk berbelanja, pengguna didasari oleh dua faktor iaitu rasional dan emosional.

Rasional bermaksud membuat sesuatu tindakan wajar atas alasan yang munasabah, manakala emosional pula bermaksud bertindak mengikut emosi atau imaginasi dan boleh juga menjadi tindakan berdasarkan daya khayalan atau keterujaan keterlaluan.

Tidaklah salah bagi pengguna beremosi apabila berbelanja tetapi jika emosi itu menguasai diri dan sukar dikawal akan menyebabkan anda berbelanja di luar kemampuan.

Munasabah

Pengguna yang bijak dan rasional akan berbelanja mengikut kemampuan diri dan membuat keputusan dengan alasan yang munasabah.

Ketika membuat persiapan menyambut perayaan pastilah setiap orang teruja kerana ia disambut setahun sekali oleh majoriti rakyat Malaysia, maka tidak hairanlah pengguna cenderung berbelanja lebih.

Ketika membuat keputusan, tiada satu kaedah tertentu yang dapat digariskan, namun ada panduan dicadangkan yang boleh digunakan sebagai langkah untuk mengawal perbelanjaan agar tidak membebankan diri dengan hutang melampau.

Langkah pertama ialah dengan membuat perancangan perbelanjaan. Sekiranya perbelanjaan adalah untuk tujuan bersama dan kolektif, seharusnya dibuat dengan perbincangan bersama ahli keluarga atau mereka yang terlibat.

Sekiranya untuk keperluan diri, mintalah nasihat yang rasional daripada orang yang sesuai. Sebagai manusia kita mempunyai sifat terlupa dan nafsu sering menguasai diri apatah lagi dalam suasana kemeriahan perayaan.

Oleh itu, letak diri dalam persekitaran yang mengingatkan atau menyedarkan kita kepada perbelanjaan berhemah sama ada melalui media cetak ataupun elektronik serta ceramah berkaitan dengannya.

Tentukan bajet perbelanjaan untuk perayaan dan ia seharusnya mengambil kira perbelanjaan lain seperti bil-bil utiliti, pembayaran pinjaman, perbelanjaan keperluan harian keluarga sama ada untuk tujuan pekerjaan atau persekolahan anak-anak.

Seterusnya senaraikan segala keperluan dan keinginan diri dan keluarga. Penuhkan keperluan terlebih dahulu mengikut kemampuan dan sekiranya ada bajet yang lebih, maka barulah keinginan dipenuhi.

Pengguna yang bijak mampu memenuhi keperluan dan keinginan walaupun dengan bajet yang terhad.

Rumah terbuka

Mengulas mengenai rumah terbuka pada hari raya, sekiranya bajet tidak mencukupi, maka buatlah secara kecil-kecilan atau mungkin tiada keperluan untuk mengadakan rumah terbuka.

Begitu juga pembelian hiasan rumah seperti perabot dan langsir. Jika tiada keperluan, maka tidak rasional kita menukar hiasan rumah yang baik semata-mata untuk menunjukkan kepada orang lain yang akan berkunjung ke rumah setahun sekali.

Bagaimanapun, tidak salah membeli yang cantik dan berkualiti serta tahan lama sekiranya memang ada keperluan untuk berbuat demikian asalkan bajet mencukupi.

Barang murah tidak semestinya menjimatkan jika tidak berkualiti dan cepat rosak berbanding harga lebih mahal tetapi boleh digunakan untuk jangka masa lama. Bak kata pepatah Melayu, alah membeli menang memakai.

Kepada pengguna bijak, syabas diucapkan kerana anda berjaya mengawal emosi dan berbelanja secara rasional.

Jadilah orang yang menyebar kebaikan agar orang lain turut gembira tanpa bebanan hutang dan sebagainya.

Raya hanya sebulan, maka jangan biarkan diri berbelanja sakan semata-mata untuk menanggung beban hutang dan tekanan kehidupan selama sebelas bulan baki kehidupan untuk tahun berkenaan.