Biarpun ia hanyalah cerita rekaan semata-mata, namun, suntingan sinematografi yang canggih berjaya membuatkan ia tampak hidup sehingga membuatkan sesiapa sahaja yang menonton filem tersebut teringin untuk hidup pada zaman batu.

Berkongsi perasaan yang sama, pasangan suami isteri, Naomi Walmsley, 36, dan suaminya, Dan Westall, 38, mengakui turut mengimpikan untuk merasai sendiri kehidupan pada zaman tersebut.

Atas dasar itu juga, mereka mengambil keputusan untuk menjalani kehidupan yang sama seperti watak yang ditayangkan di dalam filem The Flintstones.

“Ketika menonton filem tersebut pada tahun 1994, saya terfikir alangkah indahnya jika berpeluang merasai kehidupan pada zaman paleolitik.

“Saya sukakan sesuatu yang mencabar, jadi saya rasa tiada masalah untuk kembali ke zaman batu dan meninggalkan kehidupan serba moden yang dijalani pada hari ini,” jelasnya.

Menurut Walmsley lagi, disebabkan itu sebaik berkahwin dengan suaminya kira-kira lima tahun lalu, pasangan ini mengambil keputusan untuk menjalani kurus di dalam hutan selama beberapa bulan.

Unggun api

“Kami pergi ke sebuah kawasan di Amerika untuk mempelajari kemahiran hidup di dalam gua dan menggunakan bahan-bahan semula jadi untuk meneruskan kehidupan.

“Di sana, kami diajar segala jenis kemahiran yang digunakan pada zaman primitif dan batu. Kursus tersebut dianjurkan enam hari seminggu selama empat bulan,” jelasnya.

Menurut Walmsley lagi, selain belajar membuat unggun api melalui gesekan kayu dan berburu untuk mendapatkan sumber makanan, dia dan suami turut menggunakan tanah liat untuk membuat periuk serta pakaian daripada bulu binatang yang diburu.

“Di sana, kami dilarang untuk berkomunikasi dengan dunia luar.

“Telefon bimbit dan bantuan kecemasan juga tiada. Jika ditimpa kecelakaan, kami terpaksa menggunakan daun dan herba semula jadi sebagai alternatif rawatan.

“Biarpun pada awal kursus ini hampir membuatkan kami berputus asa, namun saya rasakan ia merupakan satu pengalaman luar biasa. Disebabkan itu, sebaik tamat kursus, kami mengambil keputusan untuk meneruskan kehidupan tersebut hingga kini,” jelasnya.

“Ramai yang memandang pelik dan menyangka saya serta suami merupakan manusia zaman batu yang hidup pada era moden.

“Biarpun begitu, saya hanya tersenyum dan menerangkan bahawa ini merupakan kostum semata-mata dan pakaian yang disarungkan pada tubuh adalah bertujuan untuk merasai pengalaman hidup seperti manusia purba,” jelasnya.

Perkampungan batu

Ternyata, pasangan ini benar-benar mengubah kehidupan mereka sehingga digelar The Flintstones versi moden. Ini kerana bukan sekadar menggunakan baju-baju daripada haiwan diburu, pasangan ini malah menukar sebuah taman di Blymhill Common, United Kingdom sebagai perkampungan batu untuk didiami.

“Taman ini bukan untuk kami sekeluarga sahaja, tetapi perkampungan ini turut didedikasikan kepada orang ramai terutamanya golongan muda supaya didedahkan kepada dunia luar.

“Sejak ditubuhkan dari September 2016 hingga Disember lalu, kami telah menerima lebih 1,500 orang remaja di dalam perkampungan batu ini,” jelasnya.

Pasangan itu kini berhasrat untuk menerbitkan buku pertama mereka, Forest School Adventure yang menyediakan kemahiran hidup bertahan zaman batu.

Pasangan suami isteri ambil keputusan untuk menjalani kehidupan pada zaman paleolitik dan mewujudkan sebuah perkampungan batu untuk didiami selepas terinspirasi dengan filem fantasi The Flintstones.