Abdul Rahman

Ia pada masa sama harus mengutamakan tujuan penubuhan sekolah berkenaan dalam melahirkan generasi celik ilmu agama, al-Quran dan hadis.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, kebanyakan sekolah agama atau tahfiz khususnya di negeri itu menjalani modul sendiri di bawah pemantauan majlis agama negeri.

“Silibus pendidikan di institusi pendidikan berlandaskan agama perlu selari dengan keperluan semasa, namun pada masa sama tidak mengetepikan peranan utamanya sebagai pusat pendidikan al-Quran dan sunah.

“Penubuhan pusat tahfiz mahupun sekolah agama mempunyai objektif, visi dan misi tersendiri. Sebarang perubahan dalam konteks pendidikan juga perlu menitikberatkan keperluan dan kesesuaiannya kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, pendedahan kepada dua genre pelajaran merupakan salah satu pendekatan yang baik jika ia tidak mengetepikan konsep pendidikan sebenar sekolah agama atau pusat tahfiz.

Jelasnya lagi, kejayaan di sesetengah institusi pendidikan agama berada di kedudukan teratas sebagai sekolah cemerlang sedikit sebanyak membuktikan bahawa ilmu agama dan konvensional dapat digerakkan seiring.

“Meskipun begitu, sebarang perubahan perlu menjalani proses rundingan yang melibatkan semua pihak terutama pengusaha sekolah dalam memperkasakan pendidikan ke arah lebih baik.

“Ia bagi menjamin pendidikan yang lebih berkualiti dan pada masa sama dapat dijadikan contoh di peringkat global,” ujarnya.