Kelihatan juga kaum ibu turut mengendong bayi masing-masing untuk menjalani upacara keagamaan tersebut. Tujuan mereka adalah untuk mencukur rambut sehingga botak atas beberapa sebab tertentu.

Masyarakat India percaya, ritual mencukur rambut dilakukan atas beberapa sebab. Antaranya, sebagai simbolik untuk dikurniakan kesihatan baik, mendoakan kesejahteraan suami dan mendoakan kejayaan anak mereka dalam peperiksaan.

Namun, tidak kurang juga wanita yang terpaksa mencukur rambut mereka atas desakan hidup kerana kemiskinan dengan menjualnya demi mendapatkan sesuap nasi.

Tidak kurang juga terdapat sekumpulan sindiket yang akan mencari mangsa dalam kalangan kanak-kanak jalanan yang akan dipujuk supaya membotakkan kepala dengan menawarkan permainan kepada mereka.

Oleh kerana terlalu ramai wanita mengorbankan rambut mereka, secara tidak langsung ia menjadi penyumbang kepada pendapatan sesebuah kuil itu dengan mengaut keuntungan menjual semula rambut-rambut wanita miskin yang dicukur.

Salah satunya adalah kuil Venkateswara yang terletak di Tirumala dalam wilayah Chittoor di Andhra Pradesh.

600 tukang gunting

Kuil Venkateswara dilaporkan mampu menjana pendapatan sehingga AS$26.79 juta (RM112 juta) setahun hasil penjualan rambut yang dicukur oleh beribu-ribu wanita di wilayah tersebut.

Di kuil tersebut terdapat kira-kira 600 tukang gunting yang akan mencukur rambut lebih 20,000 wanita sehari dengan berat rambut yang dikumpul sebanyak 500 tan setahun.

Setiap tukang gunting pula akan mendapat bayaran sebanyak 15 Rupee (RM0.88 sen) untuk setiap satu kepala yang dicukur.

Untuk kuil yang lebih besar, dianggarkan sekurang-kurangnya sebanyak 50,000 orang wanita akan datang untuk mencukur rambut mereka bagi pelbagai tujuan, selain daripada upacara keagamaan.

“Saya melakukannya (mencukur rambut) sebagai tanda terima kasih kepada tuhan Vishnu dan tidak mengharapkan apa-apa balasan,” kata Lavanya Kakala, 28, salah seorang wanita yang telah mencukur kepalanya sehingga licin.

Di India terutamanya di bahagian selatan, ritual mencukur rambut di kuil telah menjadi perkara biasa oleh beribu-ribu orang wanita sebagai tanda kesyukuran dan pengorbanan. Namun, apakah yang akan dilakukan terhadap beratus-ratus tan rambut itu?

Rata-rata wanita yang mencukur rambut mereka dengan rela hati itu tidak tahu bahawa ‘mahkota’ yang dikorbankan itu akan dijual untuk industri membuat rambut palsu di Eropah dengan nilai jutaan dolar.

“Saya tidak kisah apa yang akan mereka lakukan terhadap rambut saya asalkan doa saya dimakbulkan,” ujar Kakala.

Kebanyakan daripada mereka datang daripada keluarga miskin dan tidak diberi apa-apa bayaran terhadap pengorbanan yang dilakukan. Ini kerana, mereka hanya mengharapkan doa yang dipohon akan termakbul.

Gudang rambut

Itulah situasi yang berlaku di sebalik industri pembuatan rambut palsu di seluruh dunia apabila rambut wanita di India menjadi rebutan kerana dikatakan rambut yang terbaik dan berkualiti.

Permintaan rambut wanita India tinggi kerana kebanyakan mereka tidak menggunakan sebarang produk mengandungi bahan kimia. Mereka juga tidak menggunakan pewarna, selain memiliki tekstur rambut tebal dan hitam secara semula jadi.

Rambut-rambut yang telah dicukur akan dikumpul di dalam bakul besar dan dikutip setiap enam jam untuk dibawa ke beberapa buah gudang yang luas di Chennai untuk dikumpulkan dan diproses.

Di gudang, rambut-rambut tersebut disusun dan diasingkan secara manual mengikut kepanjangan, gred dan warna sebelum dicuci dengan sejenis asid untuk membasmi kuman sebelum dikeringkan di bawah cahaya matahari.

Terdapat juga rambut yang akan melalui proses pelunturan bagi mendapatkan warna perang seperti rambut wanita Eropah, atau diwarnakan mewakili warna rambut wanita lain di seluruh dunia.

Terdapat juga rambut yang tidak pernah dipotong selama bertahun-tahun oleh pemiliknya dan panjangnya mampu mencecah sehingga 46 sentimeter.

Untuk harga rambut sebegitu, ia mampu mencapai harga sehingga mencecah AS$300 (RM1,263) hingga AS$450 (RM1,894) sekilogram.

Untuk rambut yang memiliki kualiti yang baik, harganya boleh mencecah sehingga AS$800 (RM3,368) sekilogram.

Perjalanan rambut milik golongan miskin dari kuil-kuil di India ke persada dunia fesyen berkelas dunia di Hollywood adalah satu kisah benar dengan nilai keuntungan mencecah berjuta-juta dolar.

Antara pengeluar rambut palsu terbesar yang mendapatkan rambut dari India adalah Great Lengths International di Itali.

Mengkritik

Great Lengths International merupakan pembekal rambut palsu ke 60 buah negara membabitkan 40,000 buah salun. Pasaran harga rambut palsu di London, England, yang merupakan negara pengimport terbesar ketiga di dunia dalam industri rambut palsu boleh mencecah sehingga AS$1,100 (RM4,631).

Selebriti terkenal dunia seperti Jennifer Lopez, Tyra Banks, Paris Hilton dan Beyonce dilaporkan sanggup berbelanja sehingga AS$1,465 (RM6,168) sebulan untuk mendapatkan gaya rambut menonjol dengan teknik menyambung rambut menggunakan rambut palsu.

Menurut salah seorang pemilik salun, Dawn Riley dari Balmain Hair, permintaan terhadap rambut palsu telah bermula sejak 30 tahun lalu.

“Mereka (selebriti) tidak kisah berbelanja besar semata-mata untuk rambut demi mendapatkan imej yang diidamkan,” kata Riley.

Hari ini, industri rambut palsu bukan sekadar simbol kepada kecantikan, tetapi juga merupakan sebuah perniagaan yang membawa pulangan besar walaupun hanya melalui pemerdagangan rambut manusia.

Tahun lalu sahaja, pihak kastam England melaporkan bahawa, industri rambut palsu membawa pulangan pendapatan lebih daripada AS$46 juta (RM193 juta) menerusi perdagangan rambut palsu, menjadikan negara tersebut sebagai pengimport ketiga terbesar di dunia selepas China dan Amerika Syarikat dengan peningkatan sebanyak 60 peratus sejak 2012.

Walaupun pemakaian rambut palsu menjadi antara kegilaan selebriti antarabangsa untuk kelihatan bergaya, namun masih terdapat segelintir bintang mengkritik industri pembuatan rambut palsu menggunakan rambut sebenar.

Penyanyi terkenal, Jamelia dalam satu kenyataannya kepada MailOnline memberitahu, dia sedar dari mana rambut palsu yang berada di pasaran selepas melihat sendiri pembuatan rambut palsu sewaktu berkunjung ke Chennai beberapa tahun lalu.

“Saya berada di salah sebuah kuil di Chennai dan melihat kepala seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dicukur sehingga botak.

“Siapa sangka rambut panjang kanak-kanak itu bakal digunakan oleh individu lain untuk tujuan kecantikan dan dijual pada harga ribuan dolar,” katanya yang menganggap ia satu bentuk eksploitasi terhadap wanita miskin.

Eksploitasi rambut wanita miskin di India dicukur bagi pelbagai tujuan sebelum diproses menjadi rambut palsu dan dijual di pasaran antarabangsa dengan keuntungan jutaan dolar.