Tanpa disedari, mereka seolah-olah berada dalam zon selesa kerana terlalu sibuk mencari rezeki sehingga ada yang sanggup melakukan dua hingga tiga kerja pada satu-satu masa.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), statistik dari tahun 2010 hingga 2015 menunjukkan kadar kesuburan pasangan di Malaysia semakin merosot sehingga 1.97 kanak-kanak untuk setiap isi rumah.

Angka terbabit dikatakan jatuh merudum ke 1.90 kanak-kanak untuk setiap isi rumah menjelang tahun 2020 dan berterusan sehingga 1.72 pada 2050.

Rawatan

Peningkatan kes ketidaksuburan secara global kini menyaksikan semakin ramai pasangan suami isteri mendapatkan rawatan kesuburan, malah di negara ini sendiri, statistik menunjukkan kira-kira satu daripada enam pasangan mengalami masalah kesuburan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ketidaksuburan ialah penyakit sistem pembiakan yang diukur dengan kegagalan mencapai kehamilan yang tidak dirancang selepas melakukan hubungan seks selama 12 bulan atau lebih.Mengulas keputusan statistik tersebut, Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Rumaya Juhari berkata, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan penurunan kadar kesuburan di Malaysia antara ialah lewat berkahwin, tekanan ekonomi dan perubahan gaya hidup.

“Kesuburan wanita mula menurun bermula usia 35 tahun ke atas dan peluang untuk hamil semakin tipis serta berisiko tinggi.

“Sebaliknya, jika dibandingkan dengan wanita muda, kebarangkalian untuk hamil adalah amat tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Rumaya berkata, trend menunjukkan rakyat Malaysia lebih mengutamakan pembangunan kerjaya dan tahap pendidikan berbanding soal perkahwinan sekali gus menyebabkan mereka lewat mendirikan rumah tangga.

Selain itu, Rumaya berkata, perkahwinan lewat juga adalah disebabkan terlalu meletakkan tanda aras yang tinggi terhadap pemilihan bakal pasangan.

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengambil masa yang lama untuk memilih pasangan yang dirasakan sesuai dan tanpa disedari mereka telah melepasi waktu perdana untuk mendirikan rumah tangga,” katanya lagi.

Tambah Rumaya, tekanan ekonomi turut mempengaruhi seseorang itu terpaksa memikirkan berkali-kali sebelum melahirkan anak.

“Kos untuk membesarkan anak semakin meningkat ditambah dengan tuntutan tempat tinggal, makan minum, menyara keluarga dan pembayaran hutang membuatkan pasangan suami isteri terpaksa menangguhkan hasrat untuk memiliki anak,” ujarnya.

Punca

Dalam pada itu, Rumaya memberitahu, perubahan gaya hidup yang sibuk juga menyebabkan pasangan tidak mahu terbeban dengan tanggungjawab lain.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Seksual & Reproduktif, Klinik Kesihatan Lelaki, Damai Sevice Hospital, Dr. Ismail Thamby yang mengulas dalam konteks perubatan berkata, masalah kesuburan tidak mengira jantina.

“Dalam kalangan pasangan yang mempunyai masalah kesuburan, anggaran 50 hingga 55 peratus kes disebabkan suami dan selebihnya disebabkan isteri,” katanya.

Ketidaksuburan wanita adalah disebabkan sistem peranakan bermasalah seperti ovari tidak menghasilkan ovum, masalah membabitkan tiub falopia, serviks dan rahim.

Selain itu, penyakit radang pelvik (PID) disebabkan kuman klamidia, komplikasi pembedahan serta ketumbuhan fibroid dalam rahim menyukarkan kehamilan.

“Bagi lelaki, ketidaksuburan dikaitkan dengan penghasilan sperma tidak berkualiti dari segi kuantiti, pergerakan dan bentuk disebabkan faktor ubatan, pengambilan dadah, gangguan hormon, ketumbuhan pada zakar serta komplikasi pembedahan di bahagian kemaluan,” katanya.

Menurut beliau, amalan gaya hidup tidak sihat dan pe­ngambilan makanan tidak se­imbang serta berlebihan juga me­nyumbang kepada ketidaksuburan lelaki dan wanita.

Namun begitu, Ismail berkata, pasangan yang mengalami ketidaksuburan kini berpeluang menimang cahaya mata menerusi teknologi yang semakin berkembang.

“Rawatan bermula dengan mencari punca masalah kesuburan membabitkan penilaian terhadap suami isteri sebelum memulakan kaedah rawatan yang bersesuaian dikenali Teknik Reproduksi Dibantu (ART),”katanya.