Surut sahaja bahang itu, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam teruja menyambut kedatangan bulan Ramadan dalam masa tiga hari saja lagi.

Pada bulan itulah, pelbagai peristiwa penting berkaitan sejarah Islam berlangsung.

Antaranya ialah pensyariatan ibadah puasa, solat tarawih, perang Badar, Nuzul al-Quran dan lailatulqadar.

Pendakwah dan penulis buku, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, setiap umat Islam harus gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Katanya, orang yang beriman dan bertakwa setiap tahun tidak sabar-sabar untuk meraikan kedatangan bulan tersebut.

“Pada bulan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa, digandakan amal ibadah, hikmah solat tarawih pada malam hari, diturunkan al-Quran dan lailatulqadar.

“Sekiranya kegembiraan itu tidak dirasakan dalam diri, kena tanya balik diri sendiri.

“Lebih menyedihkan lagi jika terdapat individu yang tidak gembira langsung dengan kedatangan bulan Ramadan kerana perlu berpuasa pada siang hari,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Pahrol, bulan Ramadan merupakan hadiah terbesar daripada Allah untuk sekalian umat Islam.

Pelbagai ganjaran telah dijanjikan untuk individu yang meraikan Ramadan dengan amal-amal ibadah sama ada yang khusus mahupun ibadah sunat.

Disebabkan itu, ia merupakan bulan terbaik untuk menjana takwa atau iman.

Latihan diri

Bulan Ramadan merupakan peluang terbaik melatih diri membangunkan sifat-sifat mahmudah seperti sabar dan reda.

Pada masa sama, ia juga merupakan kesempatan yang diberikan oleh Allah untuk manusia memperbaiki hubungan dengan sang Pencipta.

Sementara itu, Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, Prof. Madya Dr. Fariza Md. Sham berkata, umat Islam perlu membuat persiapan rapi sebelum menyambut kedatangan bulan Ramadan.

Hal ini kerana berpuasa pada siang hari memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi selain perlu berdepan dengan cabaran dan ujian yang pelbagai.

“Oleh yang demikian, antara persiapan yang boleh dilakukan ialah dengan bersedia dari segi fizikal, mental dan emosi.

“Bagi individu yang memerlukan pengambilan ubat-ubatan untuk penyakit tertentu, mereka perlu mendapatkan bimbingan serta nasihat daripada doktor.

“Ramai individu yang terlepas pandang namun perancangan rutin perubatan sangat penting kerana ia juga sebahagian daripada persiapan menghadapi bulan Ramadan,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, persediaan lain yang boleh dilakukan ialah perubahan rutin kerja harian individu.

Katanya, sesetengah majikan sedia maklum dengan ibadah puasa dan melakukan perubahan dari segi jadual kerja harian. Ia secara tidak langsung memudahkan perjalanan ibadah umat Islam pada siang hari dan memberi ruang untuk individu bekerja dengan lebih baik.

Meskipun begitu, umat Islam tidak seharusnya menjadikan berpuasa sebagai alasan untuk tidak produktif.

Kongsinya, Rasulullah sendiri pernah berperang dalam keadaan lapar pada perang Badar.

Tabiat buruk

“Setiap orang perlu bekerja seperti biasa kerana kerja itu juga merupakan ibadah.

“Ada yang mengambil kesempatan sehingga habis semua kerja tertangguh sebab berpuasa.

“Jangan sesekali menangguh kerja sehingga menyebabkan urusan orang lain terganggu kerana ia boleh menjadi satu dosa,” tegasnya.

Selain berlapar dan meninggalkan perkara yang membatalkan puasa pada siang hari, umat Islam perlu merebut kesempatan untuk mendalami dan menghayati agama lebih mendalam pada bulan Ramadan.

Jelasnya, amal dan ibadah perlu ditingkatkan kerana setiap pahala itu meningkat sehingga 70 kali ganda.

Dari situ, ia berupaya menjadi titik permulaan untuk istiqamah dalam beribadah secara konsisten sehingga ke bulan berikutnya.

Bahkan, tabiat buruk lain yang didorong oleh mulut, mata, tangan dan anggota lain seperti merokok juga boleh ditinggalkan.

Berbincanglah dengan doktor jika anda bergantung kepada rutin pengambilan ubat tertentu pada bulan puasa agar tidak mengganggu ibadah.