Menurut Farah (bukan nama sebenar), 26, masalah yang dia alami itu membuatkan hidupnya tertekan sehingga timbul perasaan untuk membunuh diri sebagai jalan terakhir menamatkan penderitaan yang dia alami.

Tekanan dan emosi yang takut keterlaluan akibat hamil anak luar nikah ketika berusia 17 tahun membuatkan Farah bagai hilang arah apabila mengambil keputusan untuk membunuh diri sebagai jalan terakhir.

“Pada usia 17 tahun ketika itu, saya buntu mencari jalan penyelesaian dan diselubungi perasaan takut dan tekanan melampau,” tutur wanita yang berasal dari Selatan tanah air itu.

Pada waktu tersebut, Farah berasa begitu tertekan apatah lagi dia masih me­nuntut di sekolah menengah sehingga akhirnya membuatkan gadis itu bertindak nekad terjun dari atas bangunan sekolahnya dengan niat untuk membunuh diri, sekali gus mengakhiri penderitaan yang dialaminya.

Apa yang dialami oleh Fa­rah itu adalah salah satu daripada beribu-ribu kisah yang juga dialami oleh segelintir individu yang pernah bertindak untuk menamatkan riwayat hidup melalui cara membunuh diri.

Berdiri atas visi untuk menjadikan dunia terutama­nya Malaysia bebas daripada gejala bunuh diri, Befrien­ders bergerak bersama barisan sukarelawan untuk membantu golongan yang menghadapi masalah dengan sokongan emosi.

Menurut Pengarah Publisiti Befrienders Kuala Lumpur, Ardy Ayadali, 40, Befrienders merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan telah ditubuhkan sejak tahun 1970 untuk memberi sokongan emosi kepada individu yang mempunyai masalah emosi yang serius sehingga mahu membunuh diri.

“Individu yang terfikir untuk membunuh diri ini sebenarnya masih belum sepenuhnya tekad untuk berbuat demikian dan masih dalam keadaan 50-50 sebelum mereka benar-benar ingin melakukannya,” ujar Ardy yang telah berpengalaman selama 11 tahun bersama Befrienders.

Statistik meningkat

Menurut Ardy, dengan adanya platform komuniti seperti Befrienders, ia sekurang-kurangnya dapat menyediakan bantuan mela­lui luahan sama ada menerusi e-mel atau bersemuka dengan sukarelawan untuk berbincang dan meluahkan masalah yang dihadapi.

Pada tahun 2014, seramai 19,410 individu telah mendapatkan bantuan emosi daripada Befrienders selepas timbul niat untuk membunuh diri akibat pelbagai masalah yang dihadapi. Jumlah tersebut dilihat terus mening­kat saban tahun pada angka 21,256 (2015), 24,821 (2016) dan 26,927 (2017).

“Jumlah individu yang tampil me­minta bantuan sokongan emosi me­ningkat dengan mendadak terutamanya melibatkan golongan remaja,” jelasnya.

Bahkan, menurut data oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kadar bunuh diri pada peringkat global turut menunjukkan peningkatan terutama dalam kalangan remaja berusia seawal 15 hingga 29 tahun sekali gus menjadi penyebab kematian kedua tertinggi selepas kemalangan.

Di Befrienders, terdapat kira-kira 120 orang sukarelawan yang terlibat dalam pelbagai bidang turut serta menjadi anggota terlatih dalam memberikan sokongan moral dan bantuan emosi untuk mendengar masalah yang membelenggu individu bermasalah sehingga timbul niat untuk membunuh diri.

Sukarelawan yang ingin menyer­tai Befrienders dipilih berdasarkan nilai keperimanusiaan yang ada pada diri mereka.

Menjelaskan lebih lanjut, Ardy memberitahu, sukarelawan yang terpilih akan menjalani sesi latihan kemahiran terlebih dulu selama dua bulan.

“Antara persediaan yang akan diberikan adalah subjek menden­gar secara aktif, kesedaran diri bagi menangani individu yang mempunyai masalah mental serta latihan memahami emosi bagi menterjemahkan rasa simpati,” kata Ardy.

Sokongan emosi

Dalam pada itu, Ardy menegaskan bahawa sukarelawan di Befrienders tidak seperti ahli psikologi ataupun pakar psikiatri dalam membantu permasalahan yang dihadapi oleh seseorang individu tersebut.

Sebaliknya, badan sukarelawan itu lebih menjurus menjadi tempat untuk seseorang yang menghadapi kemungkinan untuk membunuh diri tampil meluahkan emosi dan perasaan yang mereka hadapi.

Menurut pentadbir Befrienders, Kenny Lim, 42, badan sukarelawan itu lebih kepada memberi sokongan emosi kepada mereka yang menghadapi kesukaran hidup dan ingin membunuh diri.

“Pada masa sama, menerusi pertubuhan ini sekurang-kurangnya ia dapat menyebarkan pengetahuan mengenai cara memberi sokongan emosi kepada masyarakat,” tutur lelaki berketurunan Cina itu.

Menurut Kenny, biasanya jika seseorang itu terlintas untuk membunuh diri, perkara tersebut terjadi berkemungkinan kerana mereka mempunyai masalah yang sukar untuk diluahkan kepada individu terdekat seper­ti keluarga dan kawan-kawan.

Dakwanya lagi, individu yang bermasalah itu adakalanya berasa takut akan dihakimi semata-mata hanya untuk mengambil perhatian selain mempunyai perasaan tidak selesa untuk bercerita dengan kelompok yang dikenalinya.

“Di Befrienders, segala kerahsiaan adalah terjamin termasuk sama ada individu terbabit ingin mendedahkan identiti sebenar mereka atau tidak.

“Dari situ, mereka akan berasa lebih selesa kerana dapat meluahkan masalah yang terbuku di hati selain mendapat sokongan emosi,” jelasnya.

Bagi sukarelawan Befrienders, mereka perlu memahami keadaan psikologi individu yang merancang untuk membunuh diri melalui tiga perkara iaitu, individu yang terfikir untuk membunuh diri, individu yang telah terfikir untuk membunuh diri termasuk cara yang akan digunakan dan individu yang telah merancang untuk membunuh diri dan tekad untuk melakukannya.

Secara purata, hampir setiap hari Befrienders mendapat panggilan telefon daripada individu bermasalah yang ingin membunuh diri.

Perkhidmatan percuma

Selain perkhidmatan telefon, Befrienders juga menyediakan perkhidmatan melalui e-mel dan mereka yang inginkan bantuan boleh membuat temu janji untuk perjumpaan secara peribadi.

Salah seorang sukarelawan Befrienders, Carmen Yap, 53, menjelaskan, berdasarkan pengamatan yang diterima, kebanyakan faktor kes bunuh diri remaja bawah umur adalah disebabkan faktor perhubungan selain masalah mental.

“Masalah remeh seperti dibuli turut menyumbang kepada salah satu penyebab seseorang itu berasa seperti hendak membunuh diri akibat tekanan dan kemurungan yang dilalui,” kata Carmen.

Di Befrienders cawangan Kuala Lumpur, talian untuk mereka yang ingin mendapatkan bantuan sokongan dibuka selama 24 jam untuk dihubungi dan akan dijawab oleh sukarelawan yang bertugas.

Bahkan, Befrienders turut membuka cawangan di beberapa buah negeri seluruh Malaysia.

“Kami tidak meminta bayaran dan kami menerima sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan jantina untuk mendapatkan perkhidmatan di sini,” katanya.

Bagi individu yang datang ke Befrienders, mereka akan menjalani sesi rundingan dan meluahkan masalah yang dihadapi di dalam sebuah bilik khas bersama seorang sukarelawan.

Dalam sesi tersebut, sukarelawan perlu mengelak daripada me­lakukan beberapa perkara seperti tidak memberikan kata-kata manis untuk menyedapkan hati individu bermasalah itu selain tidak menganggap mereka yang terfikir untuk membunuh diri ini sekadar inginkan perhatian.