Tujuan utama pusat itu dibangunkan semula adalah untuk membantu anak-anak muda mencapai segala impian yang terpendam.

Bangunan itu terletak berdekatan landasan kereta api dan bertentangan dengan sebuah masjid.

Pusat kebudayaan itu sering kali menganjurkan persembahan-persembahan budaya dan dianggarkan kira-kira 300 orang belia mengikuti kelas seni serta budaya seperti kelas teori muzik, tarian klasik, hip hop, bahasa Inggeris dan bahasa Perancis.

Pengasasnya yang juga penerbit filem, Nabil Ayouch berkata, mereka cuba memberi kesedaran kepada golongan muda bahawa keganasan bukan cara terbaik untuk menonjolkan diri sebaliknya terdapat alternatif yang lebih berkesan.

Hubungan

Nabil menjalin hubungan yang baik bersama penduduk di daerah itu selepas penggambaran filem Horses of God yang memaparkan kisah anak-anak muda di perkampungan tersebut menjadi radikal.

“Ketika penggambaran filem di kawasan Monumen Sidi, saya berasa seolah-olah berada di satu kawasan yang kosong dan mengharapkan sesuatu,” ujarnya.

Justeru, Nabil akhirnya memutuskan untuk menubuhkan sebuah pusat kebudayaan di kawasan itu.

“Sebenarnya, pusat kebudayaan ini jauh lebih baik berbanding beberapa institusi kebudayaan yang lain. Setiap waris pelajar hanya perlu membayar yuran yang murah dengan memperuntukkan subsidi,” katanya.

Pusat kebudayaan itu menayangkan filem secara percuma dan menganjurkan pameran karya seniman antarabangsa yang berupaya menarik penonton daripada lokasi yang jauh.

Penolong Pengurus Pusat Kebudayaan Maghribi, Soumia Errahmani berkata, tiada panggung wayang dan aktiviti-aktiviti kebudayaan di kawasan itu pada tahun 2014.

Berbekalkan sumbangan daripada pihak swasta dan institut kebudayaan asing, Pusat Kebudayaan Maghribi berjaya membuktikan bahawa terdapat individu yang berbakat dan berpotensi dalam bidang seni di sebalik tanggapan negatif sesetengah pihak.

“Projek untuk menubuhkan pusat kebudayaan itu memberikan satu pengajaran iaitu usaha tangga kejayaan,” ujarnya.

Soumia berkata, dia sendiri telah mendaftar dan mengikuti beberapa kelas kebudayaan di pusat tersebut serta bercita-cita untuk menjadi pemain gitar serta menubuhkan sebuah kumpulan nyanyian.

Dalam pada itu, Soumia yang menguruskan pendaftaran di pusat berkenaan bekerja keras untuk meyakinkan ibu bapa tentang kualiti yang ditawarkan di pusat itu.

Persepsi

“Dalam masyarakat konservatif Maghribi, kesenian termasuk tarian dilihat sebagai sesuatu yang bertentangan tetapi kini, ibu bapa datang memberi sokongan dan melihat persembahan anak-anak mereka.

“Kebanyakan ibu bapa bimbang melihat anak perempuan menari dan mereka akan datang untuk mendapatkan khidmat nasihat serta meminjam buku-buku yang ada,” katanya.

Bagi Nabil yang dibesarkan dalam sebuah keluarga yang berkemampuan, pusat kebudayaan itu ditubuhkan untuk memecahkan tembok penghadang yang tidak kelihatan dari segi geografi.

Justeru, pada November 2017, dia membuka sebuah pusat kebudayaan yang sama di daerah Beni Makada di Tangiers iaitu sebuah kawasan penduduk yang terkenal sebagai pusat penagihan dadah.

Pengarahnya, Annafs Azzakia Ben Sbih berkata, dia mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap kawasan itu, sekali gus membuktikan bahawa terdapat golongan muda yang berbakat.

Nabil berkata, idea ia adalah untuk mewujudkan rangkaian dengan menganjurkan beberapa program yang berkaitan.

“Guru-guru yang terlatih akan diberikan ganjaran serta pusat ini menjadi platform kepada anak-anak muda untuk hidup secara aktif. – AFP