Bergantung kepada rawatan dialisis tiga kali seminggu, anggota polis itu adakalanya meninggalkan rumahnya di Batu Muda, Kuala Lumpur seawal 6 pagi ke pusat dialisis. Pada awalnya, dia mendapatkan rawatan di sebuah pusat dialisis di kawasan rumah kedai di Selayang, Selangor. Bagaimanapun, sejak enam tahun lalu dia menjalani rawatan dialisis di sebuah masjid di Petaling Jaya.

“Kelebihan rawatan di masjid ialah keadaannya yang begitu tenteram. Ia memang sesuai dengan situasi orang sakit kerana apabila ditimpa penyakit ketenangan memang suatu yang diinginkan.

“Satu sesi rawatan dialisis mengambil masa yang lama iaitu empat jam. Jadi, apabila di masjid, mudah untuk menunaikan solat termasuk solat Subuh apabila perlu keluar rumah awal pagi. Mendengar azan dan alunan al-Quran semasa menjalani rawatan turut memberikan kedamaian,” katanya ketika ditemui di Pusat Hemodialisis Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz, Jalan Templer, Petaling Jaya baru-baru ini.

Enggan fotonya dirakamkan, Ajmain berkata, buah pinggangnya gagal berfungsi berpunca daripada penyakit darah tinggi.

Di kerusi di depan Ajmain pula kelihatan seorang wanita, Rohani Kulop, 57, dari Taman Medan duduk tersenyum setelah menjalani rawatan.

“Sudah dua tahun saya menjalani rawatan dialisis di sini. Suasana di kawasan masjid begitu tenang sehingga rasa seperti tidak mahu balik. Sungguh!,” selorohnya meski bergelut dengan penyakit strok.

Tidak hanya dilihat sekadar pusat ibadah dan spiritual semata-mata, masjid sememangnya mempunyai peranan yang luas. Sewaktu zaman Rasulullah SAW, masjid diangkat begitu tinggi sebagai pusat tumpuan masyarakat sehingga menjadi pusat dakwah, pentadbiran, ilmu, kebajikan dan tempat merawat para mujahid yang cedera.

Justeru, usaha masjid-masjid di negara ini yang menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan termasuk menjadi institusi kesihatan dilihat selaras dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW.

Kebajikan ummah

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 2012 di Cyberjaya juga pernah bertitah supaya masjid-masjid baharu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk memelihara kebajikan ummah termasuk pusat dialisis dan ruang riadah.

Rawatan dialisis penting bagi penghidap masalah buah pinggang kerana ia mengambil alih peranan organ dalaman itu untuk membuang sisa toksik, bahan kimia berlebihan dan cecair dari darah.

Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz (MJSAA) merupakan salah sebuah masjid di negara ini yang dilengkapi pusat dialisis. Telah beroperasi sejak 2010, ia dikendalikan oleh Persatuan Dialisis MJSAA yang merupakan inisiatif anak kariah masjid tersebut.

Yang Dipertua persatuan itu, Zaidah Haron berkata, pihaknya memiliki kelulusan penuh dan lesen Kementerian Kesihatan untuk mengendalikan pusat dialisis itu yang dilengkapi 16 mesin dialisis, seorang doktor pakar nefrologi, seorang pembantu perubatan dan empat jururawat terlatih.

Terletak di tingkat bawah masjid, pusat dialisis berkeluasan 186 meter persegi itu beroperasi secara sukarela tanpa bermotifkan keuntungan.

“Rawatan dialisis bukannya murah. Kos satu rawatan biasanya RM200 ke atas, ia perlu dijalani tiga kali seminggu, jadi bayangkan berapa banyak yang perlu dihabiskan pesakit dalam sebulan? Hampir RM3,000.

Lebih murah

“Bagaimanapun, di pusat rawatan ini, kita tawarkan dengan harga yang lebih murah iaitu RM170. Tidak cukup itu, jika ada pesakit yang tidak mampu bayar, kita akan menanggung bayarannya.

“Bagi pesakit yang belum ditaja, kami juga membantu para pesakit untuk mendapatkan bantuan tajaan seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Pentadbiran Awam (JPA), Pertubuhan Keselamatan Sosial dan sebagainya,” kata Zaidah yang merupakan bekas ketua biro wanita masjid tersebut.

Menyorot sejarah, pada awalnya, tujuan pusat dialisis itu ditubuhkan kerana prihatin dengan kebajikan pesakit Islam setempat yang mengalami masalah kegagalan buah pinggang tetapi lama-kelamaan ia dibuka kepada siapa sahaja yang memerlukan rawatan dialisis termasuk bukan Islam dan warga asing.

“Pada masa ini kami sedang merawat 25 pesakit termasuk masyarakat India, Cina, warga Indonesia dan Libya.

“Apabila pusat dialisis di masjid, secara tidak langsung ia menjadi medium dakwah dan mengubah persepsi bukan Islam terhadap masjid. Ada pesakit bukan Islam yang semakin ingin mengenali Islam, mahu mengetahui tentang wuduk dan sebagainya. Mereka semakin mesra Islam. Itulah yang kita mahu tonjolkan kepada masyarakat luar tentang masjid bahawa Islam tidak tertutup dan menerima kehadiran bukan Islam,” katanya.

Zaidah berkata, ahli-ahli persatuan itu bekerja secara sukarela tanpa sebarang elaun atau bayaran. Segalanya dilakukan secara sukarela.

“Pusat dialisis ini ditubuhkan atas keprihatinan ahli kariah sendiri demi mengimarahkan masjid.

“Menguruskan pusat dialisis juga bukan mudah, kos operasinya puluhan ribu ringgit sebulan. Kebersihan juga perlu sentiasa dijaga, sebab itu ada beberapa pusat dialisis di luar sana yang telah diarahkan tutup.

“Kami mengalu-alukan pihak yang ingin menyalurkan derma dan bantuan kewangan kerana selama ini dengan bantuan dan derma orang ramailah, pusat dialisis ini dapat terus beroperasi. Derma itu bukan untuk kami, tetapi untuk pesakit-pesakit ini,” katanya.

Pusat komuniti

Selain pusat dialisis, mungkin tidak ramai menyedari, terdapat juga masjid-masjid di negara ini yang dilengkapi dengan klinik. Salah satunya di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya, Selangor.

Klinik Waqaf An-Nur Masjid Al-Falah yang terletak di pekarangan masjid Al-Falah mula beroperasi sejak kira-kira enam tahun lalu. Klinik itu dibina dan direka sendiri oleh penduduknya dengan kos RM600,000.

Nazir masjid tersebut, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, hasrat penduduk adalah untuk mentransformasikan masjid sebagai pusat komuniti.

“Kebetulan, antara perkhidmatan di masjid yang sering orang terlepas pandang ialah kesihatan.

“Menerusi infaq dan derma orang ramai atau syarikat korporat, kami bina klinik di pekarangan masjid ini. Selepas siap dibina, kami serahkan kepada pihak KPJ Healthcare Berhad yang turut sama mempunyai perancangan menubuhkan klinik di masjid bagi mengendalikan operasi klinik. Berkonsepkan wakaf, bayaran yang dikenakan kepada pesakit juga murah iaitu serendah RM5 dengan menggunakan tenaga-tenaga profesional KPJ,” katanya.

“Kami hanya menyediakan binaan atau tapak, semuanya dioperasikan oleh KPJ. Kami tidak perlu bayar apa-apa,” katanya.

Syed Zainal Abidin berkata, klinik itu memang dirancang untuk dimanfaatkan semua tidak kira penduduk Islam mahupun bukan Islam.

“Klinik ini beroperasi setiap hari melainkan Ahad dan sehingga hari ini, klinik ini dimanfaatkan oleh orang Islam dan bukan Islam.

“Di Masjid Al-Falah selain menganjurkan ceramah-ceramah agama, kita juga sentiasa melibatkan penduduk bukan Islam dalam program-program seperti kursus memberikan pertolongan CPR, penjagaan anak dan sebagainya,” ujarnya.

Usaha masjid-masjid di negara ini yang semakin menerapkan nilai-nilai kemasyarakatan termasuk menjadi institusi kesihatan dilihat selaras dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW.