Perkampungan dikenali sebagai Gajah Makmur, diasaskan pada tahun 1991 selepas berlaku satu peristiwa aneh di situ.

Suatu ketika, penduduk kampung tersebut telah merawat seekor gajah liar yang cedera sehingga ia pulih.

Namun, beberapa hari selepas dirawat, gajah tersebut telah lari ke dalam hutan dan sehingga kini ia masih gagal ditemui.

Selepas peristiwa tersebut, penduduk kampung menjadi takut setiap kali gajah liar masuk ke ladang pertanian atau kampung mereka.

Biasanya, penduduk di situ akan mengeluarkan semua peralatan seperti periuk, kuali dan pembesar suara untuk menakutkan haiwan gergasi itu.

Itulah salah satu konflik antara manusia dan gajah yang berlaku selepas perkembangan pesat pembukaan ladang kelapa sawit di Kampung Gajah Makmur.

Konflik itu lebih kerap berlaku di perkampungan yang terpencil dan jauh daripada pangkalan renjer. Malah, terdapat konflik yang membawa kepada kematian.

Sumatera barat merupakan habitat terbesar gajah Asia selain India. Bagaimanapun, bilangannya semakin berkurangan dari tahun ke tahun.

Pada tahun 2007, dianggarkan terdapat 2,800 ekor gajah di Sumatera sebelum berkurangan kepada 1,700 ekor pada tahun 2014.

Faktor utama yang dikenal pasti menjadi penyebab utama kepupusan haiwan purba itu ialah kemusnahan habitat dan pemburuan haram.

Gajah Sumatera diburu oleh pemburu haram bagi mendapatkan gadingnya yang dipercayai mempunyai nilai tinggi dalam pasaran.

Kesukaran mendakwa pesalah yang memburu gajah dan hidupan liar lain di Sumatera seperti harimau, orang hutan dan badak memburukkan lagi keadaan.

Situasi ini telah mendorong kumpulan pemuliharaan melampaui tugas hakiki mereka dengan melakukan siasatan jenayah secara bebas.

Gagal

Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar telah menubuhkan unit penyiasatan hidupan liar pada tahun 2003.

Buat masa ini, sebanyak tujuh kumpulan penyiasat telah ditempatkan di seluruh negara kepulauan itu bagi menyiasat pembunuhan hidupan liar termasuk gajah.

“Sumber siasatan pemerintah sangat terhad. Bagi menjalankan siasatan menyeluruh, ia memerlukan masa yang lama.

“Mungkin sebulan, kadang-kadang sampai setahun,” ujar ketua penyiasat di Indonesia, Dwi Adhiasto.

Baru-baru ini seorang nelayan di Kampung Gajah Makmur, Mawardi telah menemui dua ekor gajah mati ketika perjalanan menuju ke sungai.

Kedua-dua ekor mamalia tersebut didapati mati bukan secara semula jadi. Justeru, kumpulan penyiasat pemuliharaan segera mengesyaki terdapat unsur-unsur jenayah.

Apabila penguat kuasa turun ke kampung Mawardi, mereka berjaya mengesan suspek yang terlibat membunuh kedua-dua ekor gajah tersebut.

Malangnya, mereka gagal mengesan kedua-dua bangkai gajah yang didakwa mati diracun itu.

“Ia benar-benar tidak jelas. Tidak siapa menjumpai bangkai gajah itu,” ujar seorang renjer hutan yang menyiasat kes tersebut, Sumarsono.

Kes tersebut akhirnya terpaksa ditutup begitu sahaja. Menurut penyelaras sebuah organisasi tempatan, Supintri Yohar, kes tersebut ditutup kerana keengganan penduduk kampung memberi maklumat kepada polis dan penyiasat.

Keadilan

Keadaan ini memaksa penyiasat hidupan liar menyamar sebagai pembeli bagi mendekati pemburu haram sebelum menyerahkan bukti kepada pihak polis.

“Penyiasatan kami berbeza daripada orang biasa. Apabila polis menjalankan operasi, bukti jelas menunjukkan mereka adalah pemburu haram,” ujar Dwi.

Daripada 101 operasi penangkapan penjual hidupan liar pada tahun 2016, 49 daripadanya adalah hasil maklumat penyiasat pemuliharaan.

Bagaimanapun, usaha tersebut masih belum mampu untuk menyelamatkan gajah Sumatera. Para penyiasat memaklumkan, kes gajah diracun sangat sukar diadili kerana suspek tidak mengulangi kesalahan tersebut. Kebanyakan kes keracunan dilakukan oleh para petani yang berang apabila kawasan pertanian mereka dimusnahkan oleh gajah liar.

“Penduduk kampung berkata, mereka tidak berniat membunuh gajah sebaliknya, racun itu digunakan untuk mengawal babi liar.

“Ia hanya alasan oleh masyarakat bagi mengelakkan kes dibawa kepada pihak pengadilan,” ujar Pegawai Haiwan, Suwarno.

Sementara itu, seorang doktor veterinar yang berkhidmat di unit pemuliharaan di Bengkulu, Erni Suyanti Musabine berkata, dia sering melakukan autopsi gajah dalam hutan berdekatan.

Walaupun, dia sering mengesan kehadiran racun pada bangkai gajah yang dianalisis, namun pihak polis tidak pernah memintanya memberi keterangan.

Kes tersebut katanya, tidak dibawa ke mahkamah kerana Bengkulu tidak mempunyai organisasi pemuliharaan yang berpengalaman untuk menyiasat aktiviti pemburuan gajah.

Rentetan itu, pihak pemerintah di Bengkulu telah menggunakan strategi lain untuk mengatasi masalah keracunan gajah dalam kalangan petani.

Salah satu caranya ialah dengan merekrut 12 orang penjinak gajah yang terdiri daripada penari sarkas untuk menghalau gajah liar dari ladang kelapa sawit dan kampung.

“Matlamatnya adalah untuk mencegah konflik antara manusia dan gajah,” jelas seorang penjinak gajah, Barokah sambil menunggang gajahnya yang bernama Nelson.

Nelson merupakan seekor gajah jantan yang diberi nama sempena seorang eksekutif minyak kelapa sawit terkemuka di wilayah itu.

Ia merupakan salah seekor gajah yang berjaya dijinakkan untuk menghalau gajah-gajah liar yang masuk ke ladang.

Sebahagian kawasan perkampungan Gajah Makmur dikelilingi tanah hangus, selepas aktiviti pembersihan oleh penduduk kampung untuk tujuan penanaman kelapa sawit.

Tindakan tersebut menyebabkan habitat gajah musnah sehingga membawa kepada kes pencerobohan kawasan pertanian dan menakutkan penduduk kampung.

“Masyarakat di sini tertanya-tanya sebab gajah-gajah liar ini memusnahkan hasil tanaman mereka,” ujar ketua kampung, Gutomo.

Katanya, usaha menghentikan tindakan penduduk kampung meracun gajah liar menjadi bertambah sukar kerana pencerobohan terus berlaku.

Menurut Gutamo gajah yang memasuki kampung tersebut akan membawa nasib malang kepada mereka.

“Semuanya kerana nama kampung kami (Gajah Makmur). Kampung kami mempunyai nama yang salah,” katanya sambil ketawa.

Pelbagai usaha dilakukan pemerintah Indonesia bagi mengatasi masalah kepupusan gajah Sumatera yang berpunca daripada konflik dengan manusia. - Susunan MOHD. SHAZWAN YUSOP