KELELAHAN menghadap kesesakan jalan raya yang teruk di kota raya Jakarta, Indonesia bukanlah perkara asing yang perlu dilalui bukan sahaja oleh warga tempatan, bahkan juga pelancong asing.

Tersenarai sebagai bandar raya dengan kesesakan trafik ke-12 paling buruk di dunia selepas Bangkok, Thailand, Jakarta juga terkenal dalam kalangan pelancong sebagai syurga membeli-belah seperti di Mangga Dua, Plaza Thamrin dan Tanah Abang.

Namun, di sebalik kemajuan dan pemodenan Jakarta yang dahulunya dikenali sebagai Sunda Kelapa sebelum tahun 1527 itu, terdapat satu lokasi tarikan pelancong kurang dikenali terletak berhampiran dengan kota raya tersebut.

Lokasi pelancongan tersebut yang dikenali sebagai Pulau Sepa merupakan sebuah pulau peranginan menarik walaupun namanya tidak segah pulau-pulau pelancongan lain seperti Pulau Lombok dan Pulau Bali.

110 pulau

Pengalaman kru Panorama menjejakkan kaki ke Pulau Sepa atau turut dikenali sebagai Pulau Sepa Besar atau Pulau Sepa Barat baru-baru ini memberi satu pengalaman menakjubkan lebih-lebih lagi apabila mengetahui bahawa kedudukan pulau tersebut dikelilingi hampir seratus buah pulau yang lain.

Keindahan Pulau Sepa yang merupakan salah satu daripada gugusan di Kepulauan Seribu terletak di bahagian utara pantai Jakarta dan dikelilingi 110 buah pulau lain seperti Pulau Ayer, Pulau Bidadari dan Pulau Kotok.

Perjalanan selama dua jam dengan menaiki bot laju ke Pulau Sepa dari jeti Marina Ancol, Jakarta tidak begitu terasa tatkala di sepanjang perjalanan tersebut, pelancong akan dijamu dengan pemandangan indah dikelilingi air laut berwarna hijau dan tiupan angin yang dingin.

Perkhidmatan bot laju ke Pulau Sepa beroperasi sebanyak dua kali sehari iaitu pada pukul 9 pagi dan 2 petang.

Tambang menaiki bot laju ke Pulau Sepa pula adalah berharga Rp988,000 (RM270) untuk dewasa dan Rp788,000 (RM215) untuk kanak-kanak berusia bawah 12 tahun yang merangkumi tiket perjalanan pergi dan balik, minuman selamat datang, makan tengah hari serta cukai.

Keadaan laut di sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Sepa juga begitu tenang tanpa dihempas gelombang besar kerana kedudukan laut selatnya tenang.

Staf Sekretariat Dinas Pariwisata dan Kebudayaan Provinsi DKI Jakarta, Chairul Anwar memberitahu, pelancong yang datang ke Pulau Sepa boleh berkunjung ke pulau tersebut secara balik hari ataupun menginap sekurang-kurangnya semalam di pulau berkenaan.

Bagaimanapun, Chairul tidak menggalakkan pengunjung untuk tinggal terlalu lama di Pulau Sepa kerana pulau yang mempunyai keluasan cuma sebesar tujuh hektar itu tidak mempunyai kemudahan asas yang lengkap.

Latihan snorkeling

Menurut Chairul, aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung semasa berada di Pulau Sepa agak terbatas dan hanya sesuai dilakukan pada waktu siang sahaja. Pada waktu malam pula, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan pemuzik di kafeteria yang disediakan sambil menikmati suasana malam.

“Pengunjung boleh menginap sekurang-kurangnya selama dua hari satu malam di calet yang disediakan melalui pakej merangkumi tiket perjalanan pergi dan balik, penginapan dan makan sebanyak lima kali sehari pada harga antara Rp1,150,000 (RM315.93) bagi kanak-kanak dan Rp1,680,000 (RM461.53) bagi dewasa,” ujar Chairul.

Tambahnya lagi, harga pakej yang ditawarkan itu berbeza mengikut jenis bilik yang dipilih iaitu Penyu, Napoleon, Kakap dan Gurita yang dilengkapi dengan pendingin hawa, televisyen dan keperluan asas yang lain.

Dalam pada itu, menurut Chairul, para pengunjung hanya memerlukan masa selama 15 minit untuk mengelilingi pulau tersebut dengan menaiki bot yang disediakan.

Pulau Sepa merupakan antara lokasi yang dijadikan tempat untuk melakukan latihan menyelam oleh para penyelam skuba bagi mendapatkan lesen dan sijil kelayakan, Open Water Diver daripada Persatuan Penyelam Profesional, Padi.

Keindahan air laut yang jernih dihiasi terumbu karang indah menjadikan Pulau Sepa sangat sesuai untuk dijadikan lokasi melakukan aktiviti berenang, menyelam, snorkeling dan memancing selain pengunjung juga boleh menyewa peralatan menyelam yang disediakan.

“Maka tidak hairanlah apabila Pulau Sepa turut mendapat jolokan sebagai The Paradise for Divers in Jakarta,” ujar Chairul.

Air payau

Pengunjung yang datang ke Pulau Sepa dengan menaiki bot persendirian diwajibkan untuk bermalam di pulau berkenaan atau sekurang-kurangnya menempah makanan yang disediakan.

Menurut Pengurus Pulau Sepa Resort yang hanya mahu dikenali sebagai Temmy, Pulau Sepa juga merupakan pusat pembiakan penyu sisik kerana ia menjadi salah satu lokasi pendaratan penyu spesies itu untuk bertelur.

“Tidak hairan kerana pantai Pulau Sepa sangat bersih sehinggakan pengunjung sukar untuk menemui sampah sarap yang dibuang mereta-rata tempat,” jelas Temmy.

Menurut Temmy, Pulau Sepa mudah dijaga kerana keluasannya yang kecil dan tidak menjadi tumpuan pelancong untuk datang bercuti seperti pulau-pulau peranginan popular yang lain.

Namun, Temmy mengingatkan pengunjung supaya berhati-hati ketika berenang sehingga ke tengah laut kerana dikhuatiri mereka akan terpijak landak laut yang berbahaya.

Temmy yang telah lebih 30 tahun berkhidmat di Pulau Sepa memberitahu, pulau tersebut tidak mempunyai sumber air tawar seperti air paip dan pelanggan yang menginap di pulau itu akan dibekalkan air payau untuk kegunaan seperti mandi.

Air payau adalah campuran antara air tawar dan air laut.

“Waktu puncak di Pulau Sepa adalah ketika sambutan hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Krismas dan Tahun Baharu.

“Pengunjung dinasihatkan untuk membuat tempahan awal kerana Pulau Sepa hanya boleh menerima 120 orang pengunjung sahaja untuk menginap dalam satu masa,” kata Temmy.