GARVIN
GARVIN

Letusan itu memuntahkan wap, debu dan batu-batuan setinggi sembilan kilometer ke udara. Aktiviti volkanik yang memakan masa hampir sebulan itu seterusnya membentuk sebuah pulau kira-kira 62 kilometer (km) dari barat laut ibu negara Tonga, Nuku’alofa.

Memiliki puncak setinggi 120 meter, pulau yang dikenali sebagai Hunga Tonga-Hunga Ha’apai itu ‘lahir’ antara dua buah pulau sedia ada dan dinamakan sempena nama kedua-dua pulau berkenaan.

Awalnya, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjangkakan pulau itu hanya akan bertahan selama beberapa bulan. Bagaimanapun, saintis kini meramalkan hayatnya mampu bertahan hingga 30 tahun akan datang.

Hunga Tonga-Hunga Ha’apai merupakan pulau pertama seumpamanya yang muncul dan hidup pada era satelit moden, sekali gus memberi peluang kepada saintis untuk merakam imejnya dari angkasa lepas.

“Kejadian ini tidak pernah berlaku dahulu dan menerusi satelit, kami dapat melihat kehidupan awal serta evolusinya,” kata Ketua Saintis Pusat Penerbangan Angkasa Goddard NASA, yang berpangkalan di Greenbelt, Maryland, Amerika Syarikat, Jim Garvin.

Kajian baharu itu menawarkan pandangan tentang jangka hayat dan hakisan yang membentuk pulau tersebut. Memahami proses berkenaan juga dapat memberi gambaran tentang ciri-ciri serupa pada bahagian sistem solar lain termasuk planet Marikh.

“Pulau volkanik adalah antara bentuk muka bumi yang mudah terbentuk. Minat kami menjurus ke arah pengiraan sejauh mana perubahan landskap tiga dimensi dari semasa ke semasa.

“Ia penting kerana proses mengukur ini hanya mampu dibuat beberapa kali di pulau lain seumpamanya. Ini merupakan langkah untuk memahami proses dan kadar hakisan serta menguraikan alasan mengapa ia mampu bertahan lebih lama daripada jangkaan awal,” jelas Garvin.

Hakisan ombak

Sejak 150 tahun lepas, hanya tiga formasi pulau volkanik ‘surtseyan’ termasuk pulau Hunga Tonga-Hunga Ha’apai dikenal pasti di seluruh dunia. Sebagai rekod, fenomena ‘surtseyan’ bermaksud letusan gunung berapi yang berlaku di dasar tasik atau laut.

Ia dinamakan ‘surtseyan’ sempena nama Pulau Surtsey di Iceland yang terbentuk pada tahun 1963 menerusi letusan marin.

Mula dikesan satelit pada Januari 2015, NASA berjaya mencerap perubahan bentuk pulau berkenaan secara bulanan sejak pertama kali muncul menggunakan data satelit beresolusi tinggi membabitkan radar dan sensor optik yang boleh melihat menembusi awan.

Disedarkan oleh letusan gunung berapi melalui program Rapid Response NASA untuk instrumen Spektroradiometer Pengimejan Resolusi Sederhana, Garvin dan rakan saintis lain mengarahkan satelit untuk memerhatikan pulau itu sebaik letusan berakhir.

Menggunakan imej tersebut, pasukan penyelidik menghasilkan peta tiga dimensi daripada topografi pulau tersebut dan mengkaji garis pantai yang berubah-ubah dan isi padunya di atas paras laut.

Menurut Garvin, pihaknya mengenal pasti dua kemungkinan yang mungkin mempengaruhi jangka hayatnya.

“Pertama, pulau ini berpotensi mengalami hakisan yang dipercepatkan oleh pelelasan ombak. Hal ini akan menjejaskan kestabilan kon batu-batuan poros dalam tempoh masa enam hingga tujuh tahun.

“Kesannya, hanya tebing seperti jambatan yang akan tinggal antara dua buah pulau sedia ada bersebelahannya,” jelas Garvin seperti dipetik portal NASA.

Bertutur lanjut, Garvin mengandaikan kemungkinan kedua adalah hakisan berlaku pada kadar perlahan dan menyebabkan kon batu-batuan poros kekal utuh untuk 25 hingga 30 tahun akan datang.

“Senario yang berbeza ini disebabkan oleh kekurangan maklumat mengenai isi padu awal kon batu-batuan poros sejurus selepas letusan iaitu sebelum imej satelit stereo pertama diperoleh dalam masa tiga bulan,” katanya.

Bentuk bujur

Perubahan paling dramatik pada pulau Hunga Tonga-Hunga Ha’apai berlaku dalam tempoh enam bulan pertama dengan kadar hakisan berbeza mempengaruhi bentuknya.

Pada mulanya, pulau baharu itu memiliki bentuk agak bujur dan bercantum dengan pulau lain di sebelah barat. Bagaimanapun, menjelang April lalu, imej satelit menunjukkan bentuknya berubah secara dramatik.

“Tebing abu gunung berapi di sebelah selatan tidak begitu stabil. Tindakan ombak kemudian menyebarkan sedimen yang terhakis untuk membentuk jambatan tanah ke bahagian pulau sedia ada di sebelah timur,” kata pakar pengesan jarak jauh NASA, Dan Slayback.

Pada bulan Mei lalu, rim dinding dalaman kawah di bahagian tenggara dihanyutkan ombak, sekali gus membuka tasik kawah ke lautan.

“Ketika itu, saya dan Garvin berpendapat, hayat pulau ini akan berakhir tidak lama lagi. Begitu pun, menjelang Jun lalu, imej satelit menunjukkan beting pasir terbentuk dan menutup dinding kawah tadi. Ia kemudian menjadi lebih stabil pada penghujung tahun lalu,” tambah Slayback.

Sementara itu ahli geologi Balai Cerap Bumi Lamont-Doherty di Universiti Columbia, New York, AS, Vicki Ferrini berkata, pulau baharu itu terletak di pinggir utara kaldera gunung berapi dasar laut dengan ketinggian 1,400 meter iaitu lebih tinggi daripada lantai laut sekitarnya.

“Di bawah air, asas kubah gunung berapi yang membentuk pulau ini memanjang sekitar 1km dari pantai ke lantai kaldera yang lebih besar dengan jarak merentasi 5km,” ujar Ferrini.

Saintis di NASA turut membandingkan aktiviti di Hunga Tonga-Hunga Ha’apai dengan Pulau Surtsey yang kini berusia 54 tahun.

“Terdapat banyak bahan yang keluar daripada letusan ini, mungkin lebih besar daripada yang berlaku di Pulau Surtsey.

“Selain itu, dua buah pulau yang mengelilingi pulau baharu ini memiliki substrat yang agak kuat, jadi ia membantu mengukuhkannya,” jelas Ferrini.

Tambahnya, pulau baharu Tonga itu mungkin mengalami interaksi serupa seperti Pulau Surtsey yang mana air laut yang panas akan bertindak balas dengan abu letusan dan mengubah batu mudah terhakis menjadi lebih kuat dan kukuh.

“Kami juga berupaya menyelidik ciri-ciri volkanik di Marikh yang serupa dengan pulau ini,” ujar Ferrini.