Sambil bercuti dia mengambil peluang mencuba pelbagai jenis makanan sama ada kedai-kedai makan atau restoran.

“Sekitar tahun 2013, saya mengunjungi restoran The Manhattan Fish Market di Kuala Lumpur.

“Sewaktu menikmati makanan, saya terfikir untuk mencuba perniagaan francais itu kerana ia lebih mudah dan sudah mempunyai jenama,” ceritanya.

Tambahnya, sebaik sahaja pulang ke rumah dia membaca dan mengkaji tentang perniagaan francais.

Setelah berfikir semasak-masaknya, Haslinda yang merupakan graduan dalam bidang pemasaran mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan dalam bidang berasaskan makanan dan minuman dengan menjadi seorang francaisi.

Dia kemudian melayari laman web The Manhattan Fish Market bagi melihat cara untuk menjadi francaisi.

Melalui beberapa e-mel, dia akhirnya dapat berhubung dengan Presiden Perniagaan Francais Revenue Valley Sdn. Bhd., Deric Yeo yang bertanggungjawab menguruskan bahagian francais untuk The Manhattan Fish Market.

Selepas itu, Deric memberi memberitahu Haslinda cara untuk memohon menjadi fancaisi restoran tersebut.

“Setelah permohonan dibuat, tidak lama selepas itu saya dipanggil untuk ditemu duga. Mereka turut melihat latar belakang perniagaan yang saya lakukan. Setelah tiga kali menjalani sesi temu duga, akhirnya mereka bersetuju untuk membenarkan saya menjadi francaisi.

“Saya kemudiannya menghadiri latihan selama enam minggu untuk menjadi salah seorang francaisi. Kursus itu meliputi latihan bermula dari bahagian dapur sehinggalah pengurusan,” jelasnya.

Cabaran

Dalam pada itu, Haslinda mengakui kos untuk menjadi francaisi agak tinggi.

Dia bersyukur kerana mendapat bantuan pinjaman modal daripada Perbadanan Nasional Berhad (PNS).

Kini Haslinda telah mempunyai dua restoran The Manhattan Fish Market yang beroperasi di Kuantan, Pahang dan Brunei.

“Setiap bulan saya mampu meraih jualan antara RM150,000 hingga RM200,000 untuk setiap cawangan.

Haslinda mengakui sepanjang menjadi usahawan francais dalam tempoh lebih empat tahun, dia berhadapan dengan cabaran untuk menguruskan perniagaan itu.

“Antara cabaran tersebut ialah kos operasi dan sewa premis yang tinggi serta mendapatkan staf yang secukupnya. Ada masanya restoran ini kurang dikunjungi oleh pelanggan,”katanya yang turut dibantu oleh pihak pengurusan terutamanya dalam promosi.

Dalam pada itu, Deric menjelaskan, The Manhattan Fish Market merupakan satu jenama tempatan yang memberi peluang kepada masyarakat di negara ini menjadi francaisi.

The Manhattan Fish Market telah memulakan sistem francais pada tahun 2009.

Sehingga kini, restoran makanan segera itu mempunyai cawangan bukan sahaja di Malaysia malahan luar negara termasuk Singapura, Thailand, Indonesia, Oman, Jordan dan Jepun.

“Di Malaysia sahaja, kami mempunyai 36 cawangan di seluruh negeri kecuali Sabah selain berjaya melahirkan enam francaisi.

“Setiap francaisi ini diberi kawasan keutamaan iaitu tiada cawangan lain akan dibuka berhampiran kawasan mereka.

Maju

“Kami sedang mencari individu yang berminat untuk menjadi francaisi bagi Sabah dan Sarawak kerana di kawasan ini masih belum banyak cawangan dibuka,” jelasnya.

Dalam pada itu, francais merupakan salah satu bidang perniagaan yang berkembang maju di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Perniagaan ini sudah lama diperkenalkan, malah usahawan yang lahir daripada bidang tersebut rata-ratanya sudah berjaya memperoleh pendapatan yang lumayan.

Francais merujuk kepada satu sistem melibatkan sebuah syarikat pemberi francais iaitu francaisor memberi hak kepada syarikat lain iaitu francaisi bagi mengendalikan perniagaan, mengikut sistem yang ditetapkan.

Selalunya, francaisor mempunyai produk yang diterima baik oleh masyarakat dan kukuh dari segi jenamanya, mempunyai model perniagaan tersendiri dan manual operasi menyeluruh.

Bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan tetapi kekurangan pengalaman model francais antara salah satu bidang yang boleh diceburi.

Selalunya jenama yang telah kukuh di pasaran pasti mempunyai pelanggannya yang tersendiri.

Model perniagaan ini lengkap dengan khidmat nasihat teknikal, jaringan latihan, produk yang ditawarkan dan kelengkapan yang disediakan menyeluruh oleh francaisor kepada francaisi.

Pelbagai jenis produk boleh dijadikan model perniagaan francais ini antaranya seperti makanan dan minuman, perkhidmatan dobi, pusat asuhan kanak-kanak, rawatan kecantikan dan kesihatan serta peruncitan.

Pemasaran

Dalam pada itu, Pengarah Myhomme Group Resources (M) Sdn. Bhd., Amran Shah Idris, kedai dobi layan diri Aqua Nano yang diusahakannya sejak tahun 2009 kini telah berkembang menjadi satu perniagaan francais.

Jelasnya, sehingga kini terdapat lebih 130 cawangan Aqua Nano di Malaysia dan Indonesia.

“Saya mula menjadikan Aqua Nano ini sebagai satu perniagaan francais sekitar tahun 2012. Dari tahun 2009 hingga 2011 saya lebih banyak memberi tunjuk ajar dan nasihat tentang cara-cara untuk membuka kedai dobi.

“Pada tahun 2012, saya berfikir kenapa tidak jadikan kedai ini sebagai satu jenama sahaja dan kemudian ia difrancaiskan. Melalui kaedah ini, ia akan memudahkan proses pemasaran dilakukan,” katanya.

Tambahnya francaisi yang berminat menjadikan perniagaan dobi layan diri ini terdiri daripada pelbagai kaum.

Dalam pada itu, Amran Shah menjelaskan, pakej rendah yang ditawarkan oleh pihaknya juga menjadi faktor ramai yang memilih untuk menjadi francaisi.

“Kami menawarkan pakej francaisi dengan kos permulaan serendah RM250,000. Francaisi boleh mencadangkan tempat dan kemudian kami akan melakukan kaji selidik untuk pasaran di kawasan itu.

“Selain itu, kami juga turut memberi khidmat nasihat untuk pemilihan lokasi di samping memberi latihan untuk menguruskan perniagaan kedai dobi layan diri ini,” tegasnya.

Tambahnya, dia juga telah memperkenalkan satu sistem yang membolehkan setiap francaisi memantau jualan setiap masa.

Ini bermakna, setiap pengguna yang menggunakan dobi layan diri ini akan diketahui terus oleh francaisi.

Dalam pada itu, Amaran Shah menjelaskan, purata keuntungan bersih yang diraih secara bulanan bagi kebanyakan francaisi yang mengusahakan kedai dobi layan diri ini adalah 35 peratus daripada jualan.