Kelihatan di atas meja, tersedia sejenis hidangan berupa pencuci mulut berwarna kekuningan yang dihiasi dengan bahan sampingan berwarna-warni sekali gus menambah kemeriahan pada hidangan tersebut.

Sajian yang cukup dikenali sebagai pencuci mulut diraja itu dianggap cukup eksklusif sementelah ia menjadi hidangan istimewa kerabat diraja Pahang.

Dikenali sebagai puding raja, manisan yang menghimpunkan beraneka jenis bahan seperti pisang lemak manis, kismis, ceri, buah prun, biji gajus dan jala mas yang dihidangkan bersama susu cair sememangnya begitu menyelerakan.

Bahkan, puding raja yang dahulunya dianggap sebagai hidangan mewah, kini boleh dinikmati oleh siapa sahaja sementelah ia telah dikomersialkan menjadi sajian istimewa yang boleh dinikmati oleh semua.

Rumit

Cara penyediaan puding raja sememangnya agak rumit dan memerlukan kemahiran untuk menghasilkan sajian tersebut yang benar-benar enak.

Sedar terdapat permintaan terutama individu dari luar Pahang yang belum pernah merasai keenakan puding raja untuk merasai keistimewaan makanan itu, seorang wanita, Siti Rabiatuladawiyah Muhammad Ali, 36, telah mengambil peluang tersebut untuk menjana pendapatan.

Biarpun telah mempunyai kerjaya tetap suatu ketika dahulu, Rabiatuladawiyah atau lebih mesra disapa Adawiyah sanggup berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada perniagaan puding raja yang diusahakannya secara online.

Menurut Adawiyah, keputusannya untuk menceburi bidang perniagaan puding raja dibuat secara tidak sengaja selepas dia mengidam untuk merasai hidangan tersebut sewaktu hamil anak kembar pada tahun lalu.

“Kali pertama saya merasai puding raja semasa bekerja di syarikat DRB Hicom di Pekan, Pahang.

“Sejujurnya saya tidak tahu bahawa puding raja sebenarnya hidangan istimewa dari istana khusus untuk kerabat diraja,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Selepas sekian lama, pada tahun lalu, Adawiyah berasa mengidam untuk menikmati puding raja sewaktu hamil anak kembar.

Pada waktu itu, Adawiyah telah pun pulang ke Selangor dan mendapati sangat sukar untuk mencari restoran atau kedai yang ada menjual puding raja.

“Saya akhirnya ada terjumpa sebuah restoran yang menyediakan hidangan puding raja, tetapi rasanya tidak seenak seperti puding raja yang saya makan sewaktu di Pekan,” tutur anak jati kelahiran Selangor itu.

Dek kerana telah jatuh cinta dengan makanan diraja itu, Adawiyah cuba untuk menghasilkan sendiri puding raja di rumah.

Menjadikan sumber internet serta bertanya kepada rakan-rakan yang berasal dari Pahang sebagai rujukan, Adawiyah mengakui untuk menghasilkan puding raja bukanlah sesuatu yang mudah dan ia sangat rumit.

Menurutnya, kerumitan untuk menghasilkan puding raja terletak pada penyediaan jala mas yang menjadi antara bahan utama dalam hidangan tersebut.

Pusat telur

Semasa mula-mula menghasilkan sendiri puding raja, sebanyak 10 papan telur terbuang begitu sahaja selepas jala mas yang cuba dihasilkan tidak menjadi.

“Jala mas yang dihasilkan daripada kuning telur tidak menjadi seperti yang sepatutnya kerana ia bergumpal ketika ditebar di dalam air gula,” katanya yang begitu menggemari masakan dari Pahang.

Akhirnya, 10 papan telur ayam terpaksa dibuang begitu sahaja. Hasil daripada tunjuk ajar daripada kenalan, Adawiyah diberitahu bahawa kuning telur itu perlu dibuang pusatnya terlebih dulu.

Pada bahagian kuning telur, terdapat mata putih atau juga dikenali sebagai pusat telur yang perlu ditarik dengan berhati-hati agar kuning telur tersebut tidak pecah.

Adawiyah yang hanya menggunakan telur daripada gred A memberitahu, jika kuning telur itu pecah, ia akan menjadi cair dan jala mas tidak akan menjadi semasa ditebar di atas air gula mendidih yang diletakkan daun pandan.

Jika diikutkan, jala mas sepatutnya perlu dibuat dengan menggunakan telur itik bagi mendapatkan warna oren yang lebih terang, tetapi memandangkan kosnya yang mahal, memadai jika menggunakan telur ayam daripada gred A sahaja.

Percubaan demi percubaan, Adawiyah mengambil masa selama dua bulan untuk mendapatkan hasil puding raja yang sepatutnya.

Namun begitu, Adawiyah juga mengolah puding raja yang dihasilkan supaya tidak terlalu manis berdasarkan pandangan yang disuarakan oleh ahli keluarganya.

Berdiri atas jenama Puding Raja by ChintaQasehAdawiyah, wanita itu tidak menyangka percubaannya menjual puding raja secara kecil-kecilan melalui dalam talian semakin mendapat sambutan sehingga dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan tersebut.

Berkat sokongan dan dorongan daripada suami tercinta, Nasarudin Yawaris, 37, yang turut sama membantu memudahkan perniagaan isterinya dengan membuat servis penghantaran puding raja kepada pelanggan.

Menurut Nasarudin, kelainan yang ditawarkan oleh Puding Raja by ChintaQasehAdawiyah ialah, mereka turut menyediakan perkhidmatan penghantaran kepada pelanggan sehingga ke Melaka.

“Ada pelanggan yang tidak pernah merasai puding raja dan begitu teruja untuk menikmatinya,” jelas lelaki berasal dari Perak itu.

300 hingga 350 bekas

Bahkan, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang pernah mencuba sendiri puding raja yang dihasilkan Adawiyah turut memuji keenakan sajian yang dihasilkan itu.

Dakwa Siti, sebagai anak jati negeri Pahang, dia tahu tentang penyediaan puding raja yang sememangnya agak rumit dan belum pernah menyediakan hidangan itu sendiri.

Dalam seminggu, sebanyak 300 hingga 350 bekas puding raja akan terjual mengikut kehendak pelanggan dengan harga berbeza mengikut saiz bekas bermula daripada RM10 hingga RM40 sebekas dengan anggaran 100 kilogram pisang lemak manis akan digunakan.

Ditanya tentang perjalanan perniagaan puding raja semasa bulan puasa, Nazarudin memberitahu, buat pertama kalinya dia bersama isteri akan menjual pencuci mulut tersebut di Bazar Ramadan Kelana Jaya.

“Saya tidak meletakkan keuntungan sebagai sasaran utama, sebaliknya kepuasan pelanggan yang lebih diutamakan.

“Apabila pelanggan berpuas hati, tidak mustahil mereka akan mencari semula Puding Raja by ChintaQasehAdawiyah pada masa akan datang,” jelas Nazarudin.

Pelanggan yang ingin merasai keenakan Puding Raja by ChintaQasehAdawiyah boleh membuat tempahan di talian 013-234 8064 atau berkunjung ke laman Instagram Chintaqasehadawiyah.

Puding Raja by ChintaQasehAdawiyah tawar khidmat penghantaran hingga ke depan pintu rumah juadah manisan eksklusif popular diraja Pahang untuk dinikmati ketika berbuka puasa.