Pastinya kita sedar mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia. Ia juga memberi isyarat jelas kepada kita sebagai manusia supaya berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar ini.

Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan menerima padahnya.

Perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, peningkatan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksik adalah antara kesan buruk yang kita tanggung kerana kealpaan menjaga alam sekitar.

Begitu juga kesedaran tentang kepentingan kitar semula. Selain kertas, tin aluminium dan kaca, pakaian juga sebenarnya boleh dikitar semula.

Pakaian yang tidak dipakai terbiar dalam almari sehingga tiada ruang untuk mengisi pakaian yang baru dibeli, malah ada yang menjadikannya sebagai kain buruk.

Dalam usaha mengitar semula pakaian-pakaian lama yang sudah tidak dipakai, sebuah syarikat kitar semula tekstil, Life Line Clothing Malaysia (LLCM) mengambil inisiatif mengumpulkan pakaian lama yang diperoleh daripada sumbangan orang ramai sejak tahun 2013.

Terletak di Jalan Sultan Mohamad 6, Bandar Sultan Suleiman, Klang Utara, Pelabuhan Klang, Selangor, ia hanya mengambil masa 30 minit perjalanan dari pusat bandar Shah Alam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dale Warren berkata, pihaknya mengalu-alukan apa jua jenis pakaian dan kain tanpa mengira jenama dan keadaan yang tidak dimahukan untuk mereka kitar semula.

Katanya, pakaian tersebut bukan hanya baju dan seluar semata-mata, ia termasuklah tudung, topi, kasut, beg tangan, tali pinggang dan permainan lembut.

“Usaha ini dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik orang ramai terhadap kepentingan mengitar semula tekstil lama dan mengurangkan pembuangan sampah di pusat pelupusan dengan memberi ‘nyawa kedua’ kepada pakaian terpakai.

Cemar air

“Sisa tekstil adalah fabrik yang dianggap tidak boleh diguna lagi dan lazimnya akan dibuang. Jika diamati, berjuta-juta tan tekstil dibuang setiap tahun di seluruh dunia.

“Dianggarkan 10 juta tan tekstil dibuang setiap tahun di Eropah dan Amerika Syarikat, manakala di China saja melebihi 20 juta tan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di pejabatnya di LLCM, Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Jelas Warren, proses penguraian tekstil berlaku secara semula jadi dengan membebaskan metana iaitu gas rumah hijau yang berbahaya dan penyumbang utama pemanasan global.

Malah, terdapat bahan pewarna dan kimia dalam tekstil serta komponen lain pakaian atau kasut yang boleh meresap ke dalam tanah sekali gus mencemarkan tanah dan saliran air.

“Hal ini kerana kebanyakan tekstil diperbuat daripada bahan sintetik iaitu fabrik dihasilkan daripada serat tiruan campuran petrokimia. Tekstil petrokimia seperti nilon, poliester, akrilik dan spandex, manakala serat tiruan lain seperti rayon dihasilkan daripada pulpa kayu.

“Fabrik yang diperbuat daripada bahan sintetik seperti beg plastik mengambil masa beratus-ratus tahun untuk terurai. Sehubungan itu, mengitar semula tekstil adalah cara paling bermanfaat mengelakkan pencemaran dan ia boleh diolah semula menjadi aksesori fabrik lain,” ujarnya yang juga merupakan warganegara Australia.

Dalam pada itu, Warren memberitahu, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa badan kebajikan seperti Majlis Kanser Nasional (Makna), Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dan Pertubuhan Komuniti Kitar Semula Malaysia (RCOMM Lestari) bagi penyediaan logistik serta infrastruktur untuk aktiviti kitar semula pakaian lama.

“Setiap hasil daripada kutipan pakaian terpakai tong LLCM akan disumbangkan sama rata kepada tiga badan kebajikan ini. Sejak beroperasi, kami telah mengendalikan sebanyak 6,000 tan pakaian terpakai yang dimanfaatkan untuk badan kebajikan yang memerlukan,” tuturnya.

Kategori

Sementara itu, Eksekutif Jualan LLCM, Zaki Suratman memberitahu, pakaian lama yang dikumpulkan akan diasingkan mengikut kategori dan keadaan. Antaranya ialah pakaian, cadar, langsir, selimut, sarung bantal dan stoking.

“Pihaknya mengendalikan 40 hingga 50 tan pakaian seminggu dengan proses pengasingannya dilakukan secara manual, oleh itu ia membabitkan pekerja yang ramai kerana jumlah kategori pakaian yang diasingkan adalah sebanyak 300 jenis.

“Jumlah pekerja yang bekerja pada satu-satu masa di kilang LLCM adalah seramai 300 orang di bahagian am dan 30 orang di bahagian pengurusan,” katanya yang telah bekerja di syarikat itu sejak tiga tahun lalu.

Tambah pemuda yang berasal dari Klang itu, tekstil yang masih elok akan dijual semula kepada industri pakaian terpakai dan ada yang disumbangkan kepada golongan yang memerlukan.

Tekstil yang tidak boleh digunakan langsung seperti spandex, poliester, likra dan material berzip dan plastik akan dihantar ke kilang kitar semula lain untuk dijadikan bahan bakar industri.

“Kami mempunyai matlamat untuk mencapai sisa sifar iaitu mengitar semua tekstil yang diterima. Ini bermaksud, tiada tekstil akan dibuang sebagai sampah tapak pelupusan.

“Secara amnya, trend kitar semula pakaian lama sudah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan kesedaran mengenainya juga meningkat di luar negara. Namun, trend berkenaan masa dilihat perlahan di negara ini,” ujarnya yang juga berusia 25 tahun.

Mengulas lanjut, Zaki memberitahu, jumlah keseluruhan tong LLCM di Malaysia adalah sebanyak 978 unit kesemuanya. Kawasan yang terlibat adalah di Kuala Lumpur, Shah Alam, Kuala Selangor, Sabak Bernam; Bentong, Pahang; Teluk Intan, Tanjung Malim, Perak; Muar, Johor dan beberapa kawasan di sekitarnya.

“Begitupun, cabaran yang kami hadapi adalah mentaliti sebahagian daripada masyarakat Malaysia yang menjadikan tong LLCM sebagai lokasi pembuangan sampah domestik atau sampah dari dapur. Kami juga berhadapan dengan kegiatan vandalisme yang tiada kesudahan.

“Oleh itu, kami sering mengadakan kempen hijau tentang kesedaran menjaga alam sekitar dan teknik pelupusan sampah yang betul bersama komuniti penduduk yang terlibat dengan kerjasama RCOMM Lestari dan beberapa lagi pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) lain,” tuturnya.

Menurutnya lagi, majoriti masyarakat Malaysia akan membeli baju baharu setiap tahun, jadi jumlah pakaian di dalam rumah akan bertambah dari semasa ke semasa.

Nasihat Zaki, masyarakat boleh mengasingkan pakaian mengikut beberapa kategori sebagai contoh baju kerja, baju harian, baju majlis keramaian, baju basahan dan baju yang sudah tidak dipakai lagi.

“Anda boleh dermakan pakaian itu ke dalam tong LLCM yang disediakan. Di samping itu, anda juga dapat mengurangkan penggunaan ruang di dalam almari baju, sekali gus membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Usaha yang dilakukan oleh Life Line Clothing Malaysia secara tidak langsung mendidik orang ramai tentang pentingnya kitar semula pakaian terpakai sekali gus menyumbang kepada kelangsungan badan-badan kebajikan.