Ahli perniagaan Palestin-Amerika itu telah melabur sebanyak AS$1.4 bilion (RM5.58 bilion) bagi membina jalan yang luas, pusat beli-belah serba moden dan sebuah amfiteater gaya Rom berdekatan Tebing Barat.

Beliau berharap, projek hartanah itu menjadi ‘lampu isyarat’ kepada Israel bagi membuktikan dirinya mampu membina bangunan mewah di Palestin.

Setakat ini, kira-kira 3,000 orang tinggal di barisan blok menara berwarna kuning air itu yang dibina di kawasan bukit tandus di utara Ramallah sejak hampir sedekad lalu. Ia adalah bandar raya pertama yang dibina dan dirancang oleh rakyat Palestin sendiri di wilayah berkenaan.

Pembinaan kini masih diteruskan dan beberapa jalan masih dalam keadaan sunyi, namun Bashar berharap ia akan menarik 40,000 orang lagi ke bandar perumahan itu.

“Rawabi yang bermaksud bukit-bukit dalam bahasa Arabnya, pada empat atau lima bulan lalu telah menjadi destinasi untuk semua rakyat Palestin.

Setiap bulan, sekurang-kurangnya 100,000 rakyat Palestin akan mengunjunginya dan meluahkan rasa kagum,” kata Bashar, 56, ketika berada di salah sebuah kafe pusat beli-belah baharu itu.

Perumahan simetri dan perancangan rapi di Rawabi telah banyak diperkatakan menyerupai penempatan Israel. Kebanyakan rakyat Palestin tidak dibenarkan untuk melawatnya, berbanding dengan bandar lainnya di wilayah yang diduduki oleh mereka.

Ia turut membina sebuah pusat sukan ekstrem dan amfiteater yang mempunyai 15,000 tempat duduk, berserta gambar-gambar gergasi bintang hiburan Arab dan Barat selain sebuah pawagam bakal dibina.

Reka bentuk dan kemudahan mewah di bandar itu telah mencetuskan kritikan kerana ia hanya akan memenuhi permintaan golongan elit dan bukannya rakyat Palestin yang miskin.

Bagaimanapun, Bashar menegaskan bahawa terdapat permintaan dan mengatakan rakyat Palestin sendiri akan menentukan sama ada projeknya itu berjaya atau tidak.

Kehidupan lebih baik

“Saya tidak tahu siapa yang memutuskan apa yang dikehendaki oleh rakyat Palestin. Adakah pekerjaan? Adakah menakluk Dunia? Kami akan memutuskan sendiri apa yang kami mahu dan tidak semua orang mahukan perkara yang sama,” tegasnya.

Beliau berpendapat, rakyat Palestin berhak mendapatkan kehidupan yang lebih baik. Mereka tidak boleh ditindas kerana hidup di bawah penaklukan.

Bagi rakyat Palestin yang ingin melihatnya, bandar itu menawarkan visi kehidupan pada masa hadapan di wilayah yang bergolak itu.

Saed Abu Fkheida dan isterinya kelihatan membeli-belah di kedai berjenama antarabangsa seperti Max Mara, Juicy Couture, Armani Jeans dan Lacoste di pusat beli-belah Q Centre, dibina seperti yang terdapat di bandar lainnya dengan bantuan dana dari Qatar.

Walaupun kebanyakan kedai masih kosong sejak kompleks beli-belah itu dibuka enam bulan lalu, dia tetap kagum dengan kemudahan yang ada dan tidak seperti di kawasan lain di Tebing Barat.

“Semuanya boleh didapati di satu tempat. Ada pakaian dan mainan. Di Ramallah, anda perlu melawat beberapa tempat untuk mencari apa yang anda mahu,” katanya.

Penduduk pertama kali berpindah ke Rawabi pada tahun 2015. Ketika itu, harga rumah pangsa di sana bernilai AS$70,000 (RM278,950) hingga AS$180,000 (RM717,300).

Kebanyakan pembeli merupakan golongan kaya terutamanya mereka yang bekerja di negara-negara Teluk dan Arab.

Salah seorang pembeli, Fatimah Nazzal mengakui pembangunan itu terasa kosong ketika dia berpindah bersama suaminya, Iyad dan tiga anak perempuannya selepas pulang dari Arab Saudi.

Bagaimanapun, katanya, taraf kehidupan di situ menyamai apa yang dialaminya ketika berada tinggal di luar negara. – AFP