Lebih mesra dipanggil Snozze, dia kemudiannya membuat lakaran berbentuk perkataan atau imej yang bersesuaian dengan tema.

Setiap karya yang dihasilkannya perlu berkualiti dan membawa makna serta kisah tertentu.

Menurut Snozze, terdapat beberapa peringkat untuk menghasilkan sesebuah karya iaitu memilih tema, menyediakan lakaran, menetapkan masa, menyediakan bahan dan akhir sekali ialah melukis.

Di samping itu faktor cuaca juga menjadi keutamaan kerana permukaan yang basah akan menyukarkan proses melukis.

Pada zaman moden, penggunaan cat sembur dan pen penanda merupakan alatan yang wajib selain peralatan seperti berus untuk memperkemaskan lagi hasil lukisan.

“Kesemua peringkat itu perlu dilakukan dengan cermat bagi memastikan kelancaran proses melukis agar dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Terdapat beberapa istilah tertentu yang digunakan oleh artis grafiti dalam beberapa peringkat tersebut seperti menanda nama atau taging, mencoret dinding (bombing) dan menandatangani (throw up),” katanya ketika ditemui K2 di Balai Seni Negara (BSN), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lepasan Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) itu mula menceburi seni grafiti sejak tahun 2006.

Daripada situ, dia berkenalan dengan beberapa artis grafiti yang lain.

Bimbang

Mengungkap kisah awal pembabitannya, Snozze turut mendapat tentangan keluarga yang bimbang bidang tersebut tidak mempunyai masa depan yang cerah.

Bagaimanapun, anak ketiga daripada lima beradik itu tidak mudah mengalah dan terus berusaha memperbaiki serta menghasilkan hasil-hasil karya yang lebih baik.

“Setelah melihat hasil-hasil karya saya mendapat pengiktirafan dan disiarkan di akhbar, barulah mereka menerima dan mula memberikan sokongan tidak berbelah bahagi,” ujarnya.

Kini, Snozze merupakan antara pelukis yang aktif malah terlibat dalam pelbagai acara tempatan dan antarabangsa seperti di Indonesia, China, Myanmar, Jepun, Korea dan Senegal.

Gemar menampilkan lukisan grafiti berbentuk binatang dan rumah Minangkabau, Snozze menyatakan bahawa itu adalah trademark atau pengenalan diri setiap hasil karyanya.

Seni grafiti adalah satu cabang seni rupa yang wujud di Malaysia sekitar 20 tahun lalu iaitu pada penghujung 1990-an.

Sejarah awal merekodkan grafiti bermula di Batu Pahat, Johor oleh sekumpulan anak-anak muda berusia 20-an sebelum berhijrah ke Kuala Lumpur dan seterusnya memperluaskan lagi seni tersebut.

Pada mulanya, seni itu digunakan sebagai kaedah untuk menonjolkan perasaan sebelum konsepnya turut berubah mengikut peredaran masa.

Walaupun ia kelihatan aneh dan mendapat pandangan negatif daripada kebanyakan orang awam, namun kewujudan pelukis grafiti dan hasil-hasil karya mereka yang menakjubkan merupakan bukti perkembangan seni tersebut yang tidak dapat disangkal lagi.

Kualiti

Meskipun grafiti bersifat tidak kekal, ia sentiasa akan muncul menghiasi ibu kota dan antara lokasi yang sering menjadi tumpuan ialah di Wangsa Maju, Kampung Pandan dan Datuk Keramat.

Tambah Snozze, setiap pelukis grafiti membawa konsep dan makna yang berbeza dalam karya masing-masing.

Secara amnya, terdapat dua kategori senario grafiti di Malaysia iaitu estetik dan vandal.

Grafiti estetik dilahirkan oleh insan seni yang mementingkan kualiti artistik dalam setiap penghasilan karya dan ia dilakukan melalui satu perancangan manakala grafiti vandal adalah aktiviti menanda atau melukis secara semberono tanpa mengira masa dan tempat.

Karya-karya yang dipaparkan itu kebanyakannya mempunyai pengaruh dan unsur Barat, namun ramai penggiat grafiti masa kini lebih berminat untuk mencipta lukisan-lukisan yang memberi imej positif.

Ujar Snozze, bagi seorang pelukis, dia berasa sangat berpuas hati dan teruja apabila menyaksikan orang ramai gembira melihat karya dihasilkan apatah lagi jika lokasi lukisan itu menjadi pilihan bergambar atau berswafoto.

Seorang lagi artis grafiti, Nah Yin Yinn, 32, berkata, artis grafiti kini bukan lagi sekadar melakukan contengan di dinding-dinding kosong.

Ujarnya yang dikenali sebagai Annienah, seni grafiti sudah berkembang luas termasuk kerjaya sebagai pelukis grafiti itu sendiri.

“Jika sebelum ini orang ramai sering dimomokkan bahawa grafiti itu adalah satu vandalisme, kini ia tidak lagi kerana kebanyakan pemilik bangunan mendapatkan khidmat artis grafiti untuk menghias bangunan mereka.

“Kebanyakan artis grafiti kini bekerja sebagai pelukis sepenuh masa dan meraih pendapatan melalui projek-projek yang ditawarkan oleh pelbagai pihak,” katanya yang sudah berkecimpung dalam kerjaya tersebut sejak empat tahun lalu.

Tambah gadis kelahiran Gopeng, Perak itu, pelukis grafiti juga sering melakukan aktiviti melukis grafiti secara percuma selepas selesai menyiapkan projek yang berbayar.

Ujarnya, kebiasaannya selepas selesai menyiapkan projek yang diterima, baki peralatan seperti cat sembur, cat air dan bahan-bahan yang lain akan dikumpulkan semula.

“Baki bahan-bahan yang masih ada itu kebiasaannya digunakan untuk melakukan projek-projek amal.

“Kami akan memilih lokasi-lokasi yang tampak kosong, mendekati pemiliknya dan kemudiannya menawarkan untuk melukis di bangunan atau binaan tersebut,” katanya.

Pasangan duo

Anienah turut memaklumkan usaha-usaha mereka itu diterima baik memandangkan ia mampu menjadi daya penarik kepada orang ramai.

Jelas Annienah, pada 2015, dia mula berkolaborasi bersama Snozze untuk menjalankan projek lukisan bersama.

Bermula daripada situ, Snozze dan Annienah dikenali sebagai pasangan artis duo yang giat melaksanakan projek grafiti dengan nama pena bananasalak malah kebanyakan hasil kerja mereka bernilai ribuan ringgit.

Projek akan datang mereka adalah pada awal Mei hadapan dengan melibatkan lima lagi pelukis untuk mewakili Malaysia di pameran Asia International Art Exchange Exhibition 2019 di Taiwan yang menghimpunkan para pelukis Asia daripada pelbagai bidang seni.

Dalam pada itu, antara hasil projek pasangan duo tersebut yang dapat disaksikan ialah Happy Jumping Elephant di Pudu, Kuala Lumpur, The Turtle di Petaling Jaya, Selangor dan Sakura Wall di Pukekohe, New Zealand.

Sementara itu, Snozze memberitahu, masyarakat sering menganggap bahawa mural dan grafiti adalah satu seni yang sama, namun terdapat beberapa perkara yang membezakan kedua-dua seni tersebut.

Menurutnya, mural dihasilkan secara bebas yakni tidak hanya dalam bentuk tulisan semata-mata. Lukisan mural lebih ke arah berbentuk keceriaan dan santai.

Berbeza dengan grafiti, ia merupakan satu seni yang berbentuk perkataan atau imej tetapi setengah karyanya membawa maksud tertentu sama ada ekspresi, mistik dan spiritual.

Antaranya, lukisan grafiti ikan kelisa yang melambangkan kepercayaan feng syui masyarakat Cina dan lukisan seekor gorila yang mahir menggunakan bahasa isyarat bernama Koko.

“Namun begitu, ada juga artis grafiti yang menghasilkan lukisan yang santai dan tanpa makna. Antaranya, lukisan berbentuk perkataan yang membawa maksud nama pelukis atau kumpulan yang diwakili,” ujar Snozze menutup bicara.

Karya grafiti Mohd. Mahfudz Abd. Rashid dan Nah Yin Yinn bukan sahaja mendapat tempat di hati masyarakat tempatan malah turut dipamerkan di luar negara.