Atas dasar keprihatinan terhadap perekonomian masyarakat Orang Asli, Craftxproject iaitu sebuah badan sukarela telah ditubuhkan atas inisiatif untuk mendekati masyarakat dan membantu ekonomi masyarakat tersebut.

Menurut salah seorang anggota Craftxproject, Elda Elissa Al-Azmi, 24, kumpulan tersebut bergerak bersama tiga lagi ahli lain iaitu Liyana Amer Shah, 30; Nor Juliani Abd. Jabar, 28, dan Nurul Ain Wahidah Zainip, 24.

Elda, Liyana dan Nor Juliani pada asalnya merupakan ahli MyCorps iaitu sebuah pertubuhan sukarelawan yang banyak menjalankan misi kemanusiaan bukan sahaja di Malaysia, bahkan di luar negara.

Antara negara yang menjadi tumpuan Mycorps untuk misi kemanusiaan adalah seperti di Kemboja, Bangladesh, Sri Lanka dan beberapa buah negara di Asia Barat.

Selepas pulang ke Malaysia, seramai 40 orang sukarelawan yang terdiri daripada alumni Mycrops telah dihantar ke seluruh negara untuk menjalankan projek sukarelawan.

Elda serta rakannya telah ditempatkan di Negeri Sembilan dan mereka telah memilih perkampungan Orang Asli Kampung Guntur, Juasseh sebagai kampung untuk menjalankan projek sukarelawan yang diberi nama Craftxproject.

Bengkel

Menurut Elda, dia bersama ahli yang lain telah melakukan tinjauan dan memilih Kampung Guntur kerana mendapati terdapat penduduk kampung yang mengusahakan kraftangan, namun cuma dijual dalam kalangan mereka sahaja.

“Mereka (Orang Asli) mempunyai kemahiran membuat kraftangan, namun tidak dikembangkan,” tutur Elda semasa ditemui kru Panorama.

Antara kraftangan yang dihasilkan masyarakat Orang Asli di Kampung Guntur ialah seperti bubu, bakul, tikar mengkuang dan bujam iaitu beg yang diisi sirih dan digunakan semasa proses meminang.

Melihat pada kemahiran yang dimiliki, Craftxproject hadir dengan idea untuk membuat penambahbaikan terhadap kraf yang dihasilkan melalui penganjuran bengkel jahitan agar hasil tangan masyarakat Orang Asli itu boleh dipelbagaikan.

“Kami mengadakan bengkel jahitan kepada mereka untuk menambah baik hasil tangan yang dihasilkan,” ujar Elda.

Cerita Elda, Craftxproject pernah menjalinkan kerjasama dengan pihak Kraftangan Malaysia untuk mengadakan bengkel kraftangan memandangkan masyarakat Orang Asli di sana hanya tahu menghasilkan tikar mengkuang.

Ternyata, melalui bengkel yang diadakan itu banyak membantu penduduk Orang Asli Kampung Guntur untuk menghasilkan lebih banyak hasil kreatif menggunakan daun mengkuang seperti bakul dan beg.

Kampung Guntur yang mempunyai tarikan air terjun iaitu Jeram Tengkek menjadi salah satu sebab pemilihan kampung tersebut selain kerana ia menjadi tumpuan orang luar untuk datang ke sana.

Secara tidak langsung, pengunjung yang datang boleh melihat kraftangan yang dihasilkan masyarakat Orang Asli di situ dan boleh terus membelinya.

Liyana yang merupakan ketua projek berkata, Craftxproject berminat untuk membantu perekonomian Orang Asli kerana dia dan rakan-rakan yang lain begitu menghargai kraftangan.

Dakwa Liyana, dia berasa bimbang jika warisan kraf Orang Asli hilang ditelan zaman jika tidak jaga dan diketengahkan.

“Orang kampung sendiri telah menunjukkan kesungguhan dengan menghasilkan kraftangan baharu setiap kali kami datang melawat,” ujarnya.

Persepsi

Bercerita tentang usaha yang dilakukan, Craftxproject pernah memanggil pihak kraftangan Terengganu untuk mengajar masyarakat Orang Asli Kampung Guntur mengenai seni anyaman beg yang turut disertai oleh anggota sukarelawan terbabit.

“Kami turut menganyam dan mengambil masa selama satu setengah hari untuk menyiapkan sebuah beg, sedangkan mereka (Orang Asli) berjaya menghasilkan beberapa buah beg dalam masa sehari walaupun pertama kali membuatnya,” kata Liyana kagum.

Perkara itu membuktikan bahawa persepsi masyarakat tentang Orang Asli tidak suka belajar dan lemah adalah tidak benar.

Sebagai sebuah badan sukarelawan kecil, Craftxproject akan terus menjalankan projek tersebut biarpun sedar tentang kekangan dana untuk menggerakkan aktiviti secara besar-besaran.

Namun, beberapa perancangan telah diatur seperti membuka kelas anyaman dengan mengenakan yuran berpatutan kepada orang ramai bagi menambah dana bagi menggerakkan projek-projek lain.

Pada masa sama, Craftxproject juga berharap ada pihak swasta yang sudi untuk menghulurkan sumbangan bagi menggerakkan projek kemasyarakatan yang dijalankan.

Sehingga kini, Craftxproject telah membuat bengkel kraf bersama masyarakat Orang Asli Kampung Guntur sebanyak empat kali dan sepanjang bengkel itu, banyak manfaat dan perubahan dapat dilihat melalui hasil kraftangan yang telah dipelbagaikan.

Kraftangan yang dihasilkan itu akan dibeli semula oleh Craftxproject menggunakan dana yang ada dan menjualnya melalui laman Instagram di Craftxproject selain dijual kepada kenalan.

“Secara tidak langsung, usaha ini dapat membantu penduduk Orang Asli Kampung Guntur menjana pendapatan sampingan,” kata Liyana.

Dalam pada itu, Craftxproject turut menyeru individu yang berminat untuk menjadi sukarelawan agar tampil bagi menggerakkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan khususnya untuk Orang Asli.

Menyimpan hasrat untuk membantu lebih ramai lagi komuniti Orang Asli di Malaysia, Craftxproject berharap agar usaha yang dilakukan mereka tidak dipandang sepi oleh orang awam dengan sama-sama memberikan perhatian terhadap masyarakat minoriti tersebut.

Craftxproject sebuah badan sukarelawan kecil yang digerakkan oleh empat orang srikandi bantu masyarakat Orang Asli Kampung Guntur dengan membuat bengkel kraf bagi bantu jana pendapatan.