Sesuai dengan judulnya, prop yang direka cukup sederhana.

Di atas pentas, sebatang pokok ‘tumbuh’ menjulang melepasi langit-langit. Sementara bahagian bawahnya pula tersedia pangkin dan sebuah rumah usang.

Hanya berbekalkan bilangan prop yang minimal, empat pelakon teater Pokok, Haliza Misbun yang membawakan watak Mardiah, Ebby Saiful (Darwis), Rahim Jailani (Tuk Kaya) dan Buyung Zasdar (Amud) dilihat mampu menjayakan naskhah berkenaan dengan cemerlang.

Di situlah mereka berbicara sesama sendiri dan di lokasi sama juga tempat para pelakon bermonolog meluahkan rasa.

Sungguhpun Pokok tidak seperti teater konvensional lain yang memerlukan bantuan prop, muzik dan pelakon yang banyak, namun mesej yang ingin dipersembahkan, sampai ke jiwa penonton.

U-Wei ketika ditemui usai pementasan memberitahu, karya garapan Tan Sri Johan Jaaffar tersebut meletakkan pokok sebagai perlambangan yang menyaksikan pelbagai ragam manusia berlaku di persekitarannya.

“Pokok yang dipersembahkan dalam naskhah ini hanyalah titik fokal sahaja. Cerita sebenar adalah isu-isu yang terjadi di persekitarannya.

“Sebagai pengarah, saya tidak meletakkan had dalam imaginasi. Saya juga membiarkan penonton bebas memberikan makna terhadap perlambangan pokok itu sendiri,” katanya.

Berbanding teater komersial yang menampilkan pengarah dan pelakon popular, Pokok sebagai sebuah produksi berpaksikan indie dilihat lebih senang mempertaruhkan naskhah berbeza yang kaya dengan mesej serta jalan cerita berbeza.

Indie

Begitulah resmi teater indie yang mahukan penonton menggunakan daya imaginasi untuk berfikir dan meletakkan justifikasi tersendiri terhadap tontonan mereka.

Bagaimanapun, baik teater komersial mahupun indie, kesudian khalayak untuk membeli tiket dan menonton adalah kurang berbanding cabang hiburan lain.

Menurut U-Wei atau nama sebenarnya, Zuhir Saari, 64, industri teater di Malaysia masih lagi merangkak dan tidak setanding dengan industri teater luar negara.

“Tidak kira komersial atau indie, kita masih lagi berada di belakang. Apa yang saya lihat, orang kita tiada budaya menonton.

“Ketika saya belajar di New York, Amerika Syarikat dahulu, saya dan kawan-kawan wajib pergi menonton filem setiap minggu dan kami akan berdikusi mengenainya.

“Di Malaysia, penonton lebih gemar menyaksikan naskhah filem di rumah menerusi pemain DVD,” katanya.

Melanjutkan bicara, U-Wei menjelaskan bahawa orang Melayu khususnya bukanlah bangsa panasaran.

“Apabila tiada rasa panasaran dan ingin tahu, mereka tidak akan hiraukan apa yang berlaku.

“Apabila sudah terhantuk, baru mereka sedar tentang perkara yang terjadi di sekeliling,” katanya lagi.

Bijak

Dalam pada itu, Haliza Misbun yang sebelum ini bermula menerusi teater Kelas 2020 yakin bahawa teater indie bakal hidup selagi ada penggiat seni yang mempercayai naskhah sebegini.

“Saya percaya, teater indie yang memperjuangkan suara masyarakat akan terus hidup.

“Hal ini kerana, dalam masyarakat yang sibuk mengejar kebendaan dan leka dengan media sosial, masih ada segelintir yang setia dengan produksi sebegini.

“Biarpun setahun sekali, saya rasa kita perlu memberikan sokongan yang jitu terhadap teater indie,” ujarnya jujur.

Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Cinderella itu juga berasa sangat berbangga apabila ada dalam kalangan golongan muda yang mahu menonton teater indie.

“Bagi saya, golongan muda yang menonton teater indie adalah golongan muda yang luar biasa.

“Mereka membuktikan bahawa ada golongan yang bijaksana, berbanding sekelompok individu yang lebih terarah untuk menyokong artis mi segera,” tegasnya.

Berbalik pada naskhah Pokok, Haliza, 46, memberitahu bahawa dia menerima tawaran untuk menjayakan watak Mardiah disebabkan kehadiran U-Wei dan Johan Jaaffar yang menjadi tulang belakang teater tersebut.

“Saya berpendapat bahawa naskhah ini sungguh istimewa kerana ia ditulis oleh Tan Sri Johan Jaaffar dan diarahkan oleh U-Wei.

“Melihat dua nama itu sahaja saya sudah teruja dan terus bersetuju untuk menjayakan naskhah ini,” katanya sambil tersenyum.

Bebas

Bagi penggiat teater Naque Ariffin, 26, teater indie dirasakan sebagai platform terbaik untuk mempersembahkan naskhah-naskhah berkualiti tanpa banyak kekangan.

“Naskhah-naskhah yang dipentaskan di panggung indie lebih terbuka untuk berbicara perihal masyarakat, berbanding naskhah komersial.

“Selalunya, naskah indie juga jujur dan penonton dapat menerima mesej yang disampaikan secara terus,” ujarnya.

Melihat pada latar belakangnya, pemilik nama lengkap Mohammad Naqiuddien Tajul Ariffin itu pernah mengarahkan teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada September lalu.

Justeru, ketika ditanya jenis teater bagaimanakah yang dekat di hatinya, ini respons Naque: “Saya letakkan diri di tengah-tengah, Jadi, saya boleh pilih platform mana yang sesuai untuk saya suarakan sesuatu pendapat, mengikut kesesuaian,” katanya yang diberi tanggungjawab untuk mengelolakan pencahayaan sepanjang pementasan teater Pokok.

Mula dipentaskan pada 7 Disember, teater Pokok boleh disaksikan sehingga 16 Disember depan.

Tiket-tiket berharga RM20 hingga RM50 boleh didapati di www.airasiaredtix.com.