Begitupun, akibat terlalu lama ditinggalkan, kawasan kaki Bukit Maras terbiar dan hanya dipenuhi semak-samun sebelum ia mula berubah wajah pada penghujung tahun 2016.

Setiausaha PLUT, Anuar Ngah berkata, dia menemui lokasi itu tanpa sengaja ketika sedang meneliti peta dalam aplikasi Google Maps bagi mencari kawasan yang sesuai untuk melakukan aktiviti luncur udara.

Menurutnya, mereka mula meneroka Bukit Maras usai pertandingan Luncur Udara Antarabangsa Terengganu (Tipco) yang diadakan di Bukit Bubus, Besut sekitar Mei tahun lalu.

“Setelah melihat lokasi Bukit Maras dalam Google Maps, saya bersama beberapa peserta Tipco pergi ke kawasan tersebut bagi meninjau keadaan sekeliling.

“Seorang peluncur udara profesional dari Nepal, Sano Babu Sunuwar telah memanjat sebatang pokok untuk meninjau kawasan persekitaran sebelum dia menuding jari ke arah puncak Bukit Maras,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ujar anak jati kelahiran Kuala Nerus itu, walaupun pada mulanya usaha untuk menghidupkan semula Bukit Maras mendapat tentangan dan halangan daripada segelintir pihak, berkat kesabaran akhirnya ia membuah hasil.

Kini, lokasi itu semakin menjadi tumpuan dalam kalangan penggemar sukan lasak bagi menjalankan aktiviti luncur udara serta melakukan pendakian dan berkhemah di puncak bukit sambil menikmati pemandangan seluruh bandar Kuala Terengganu termasuk Laut China Selatan.

Anuar yang sudah tujuh tahun berkecimpung dalam arena sukan lasak berkata, memiliki peralatan lengkap luncur udara sememangnya memerlukan modal yang besar tetapi pengalaman ‘terbang’ di udara pasti menjanjikan kepuasan yang tersendiri.

Risiko

Tambah Anuar, peralatan luncur udara yang berharga antara RM13,000 hingga RM15,000 itu turut menjadi penyebab bilangan penggiat sukan lasak tersebut tidak ramai di Malaysia selain berhadapan dengan risiko kecederaan.

“Kelajuan angin dengan kelajuan 5 hingga 15 kilometer sejam yang konsisten di puncak bukit merupakan antara faktor yang mendorong PLUT memilih Bukit Maras. Ia dijangka mampu menggamit lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.

“Kami jangkakan aktiviti luncur udara secara tandem iaitu terbang bersama juruterbang profesional akan mula dibuka kepada orang ramai selepas selesai kerja-kerja menyiapkan lokasi pendaratan kecemasan pada masa terdekat,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Maras, Zakaria Mamat, 63, berkata, kawasan yang dahulunya hanya dipenuhi dengan dusun buah-buahan tempatan itu kini mula mendapat tumpuan para pengunjung.

“Sebagai orang lama di kampung ini, sudah semestinya kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung yang ingin sama-sama menikmati panorama indah di puncak bukit selepas mendaki sejauh 1.6 kilometer.

Punca rezeki

“Diharap lokasi ini dapat menarik perhatian pihak tertentu untuk dibangunkan seterusnya menjadi salah satu produk pelancongan baharu buat negeri Terengganu,” kata Zakaria yang merupakan seorang pesara kerajaan.

Dalam pada itu, Zulkifli Mohd., 33, berkata, pembukaan kawasan itu kepada orang ramai turut membawa punca rezeki bagi keluarganya yang berniaga di kaki Bukit Maras.

Ujar Zulkifli, kebiasaannya dia hanya berniaga pada hari Jumaat dan Sabtu berikutan jumlah kedatangan luar biasa para pendaki di kawasan tersebut.

“Saya hanya menjual kudapan ringan seperti kuih-muih, sandwic termasuk air kelapa serta mangga yang sedikit sebanyak dapat membantu menambah pendapatan sampingan keluarga.

“Sudah semestinya kami menyambut kehadiran pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dengan tangan terbuka dan berharap Bukit Maras mampu muncul sebagai salah satu tarikan pelancongan terbaharu di negeri ini,” katanya.

Bagi seorang pendaki, Zainal Abidin Harun, 53, pula, Bukit Maras berpotensi besar untuk dimajukan pada masa akan datang, sekali gus menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

Jelas penjawat awam itu, Bukit Maras juga menjadi lokasi santai buat para ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka melakukan aktiviti pendakian.

“Bukit Maras semakin menjadi tumpuan sejak akhir-akhir ini dan saya juga tidak melepaskan peluang untuk membawa isteri serta sembilan anak kami beriadah sambil menikmati pemandangan yang indah.

“Jika ada pihak berkaitan yang ingin bangunkan Bukit Maras seperti menyediakan tandas awam atau kemudahan-kemudahan lain, memang saya sebagai salah seorang pendaki amat alu-alukan,” katanya.