Ketika itu, kehidupan keluarganya di Mindanao agak sukar selepas bergelut untuk memperoleh pendapatan berjumlah AS$1,000 (RM3,878.50) setahun hasil tanaman pokok kopi.

Bagaimanapun, Durbia kini menjadi salah seorang daripada ratusan petani di Filipina yang sedang menjalani latihan di Coffee For Peace (CfP).

Latihan itu adalah untuk meningkatkan keuntungan para petani selain memelihara alam sekitar.

Setelah itu, Dubria mula mengeksport kopi Arabica sekurang-kurangnya AS$5 (RM19.39) setiap kilogram setelah belajar cara-cara untuk menuai dan memproses biji kopi yang berkualiti tinggi.

Tanggungjawab

“Ia bukan kerana keuntungan semata-mata tetapi kami juga perlu bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan meningkatkan keamanan sejagat,” katanya.

CfP yang ditubuhkan pada tahun 2008 di selatan Mindanao menawarkan skim selama tiga tahun untuk melatih para petani menghasilkan kopi berkualiti selain menggalakkan masyarakat menuai hasil serta memproses secara bersama-sama.

Petani digalakkan untuk menjual hasil tuaian mereka dengan harga yang mahal walaupun pengusaha kopi tempatan membeli lebih tinggi daripada nilai pasaran.

Naib Presiden CfP, Twinkle Bautista berkata, layanan kepada pengusaha kopi diberikan secara sama rata dengan tujuan untuk menyatukan para petani dan mengajar mereka antara satu sama lain.

“Produk kami adalah keamanan dan kopi hanya alat untuk menghasilkannya,” katanya.

Sementara itu, bagi Kagawad Abe dan masyarakat setempat, pusat pemprosesan kopi yang ditubuhkan CfP menjadikan mereka lebih dekat dengan petani Kristian.

“Ia membawa kaum wanita bersama dan memberi peluang kepada mereka untuk bekerja secara bebas seterusnya menyumbang kepada pendapatan masyarakat tempatan.

“Berbanding lima tahun lalu, kini kami saling mengenali antara satu sama lain dan menjalinkan kerjasama,” katanya.

Perniagaan kopi di bawah CfP semakin berkembang pesat dengan keuntungan jualan mencecah tiga kali ganda kepada AS$46,000 (RM178,411) pada tahun lalu.

Pencapaian itu membolehkan CfP memenangi Anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan serantau kerana menggalakkan keamanan serta pembangunan.

Ketua Eksekutif Enterprise Masyarakat di Scotland (CEIS), Gerry Higgins berkata, kejayaan CfP adalah disebabkan oleh misi mereka yang luar biasa.

“Kopi untuk keamanan adalah luar biasa dan tidak ramai yang menyedari sekiranya masyarakat bersatu padu, maka dapat mengurangkan konflik yang berlaku.

“Kopi telah menyatupadukan masyarakat pelbagai suku kaum di Filipina,” katanya.

Perubahan

CfP mendakwa mereka tidak lagi melihat industri kopi sebagai sesuatu yang misteri kerana petani Filipina semakin maju.

Malah, CfP berkata, petani Filipina kini boleh menuntut harga yang lebih tinggi kepada pengusaha dan syarikat kopi berjenama seperti Nestle.

Namun, ketua suku Orang Asli, Baby Jerlina Owok berkata, cabaran utama mereka adalah masyarakat yang enggan menerima perubahan kerana terlalu berbangga dengan kaedah tradisional.

“Kami perlu meyakinkan rakyat berkali-kali untuk beralih daripada tradisional kepada teknologi,” katanya.

Owok menambah, bijian kopi mereka meningkat hampir dua kali ganda sejak beberapa tahun lalu.

Bagi wanita seperti Owok dan Dubria, cita-cita mereka lebih besar daripada meraih keuntungan.

Dubria melihat bahawa penanaman kopi mampu mengurangkan kesan penebangan hutan dan hakisan tanah yang berlaku.

Dubria memberitahu, masyarakat Filipina perlu mempertahankan kemakmuran yang telah dikecapi.

“Kami perlu menggalakkan dan membantu masyarakat lain menghasilkan kopi yang berkualiti.

“Justeru, kami akan menarik mereka untuk meningkatkan taraf hidup menerusi CfP,” katanya.

Dalam pada itu, Dubria berharap agar mereka dapat melakar kejayaan seperti petani-petani yang lain. – Reuters